Bila disebut tentang Gonggang, pasti ramai yang tercengang
dan tertanya-tanya apakah maksud perkataan itu. Jika disemak pada kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka sekalipun, perkataan gonggang ini tidak dijumpai dan
bermaksud perkataan ini bukanlah datang daripada Bahasa Melayu. Tetapi apakah
signifikan perkataan Gonggang ini dengan kaitannya Wangsa Maju ini?
Gonggang merupakan salah satu daripada mukim di Kuala Lumpur
yang mula wujud seawal kuala Lumpur dibuka oleh Raja Abdullah pada awal abad ke
19. Lokasi Gonggang ini dipercayai terletak di sekitar Jalan Ampang sehingga ke
sempadan Ulu Kelang dan kini merangkumi kawasan sekitar Jelatek, Setiawangsa
dan Wangsa Maju. Jika diselusuri sejarah, nama Gonggang dipercayai berasal
daripada nama pokok sagu yang dikenali sebagai pokok Gonggang. Jika merujuk
kepada buku Celia Lowe bertajuk Wild
Profusion: Biodiversity Conservation in an Indonesian Archipelago, pokok ini
banyak dijumpai di Indonesia dan tidak mustahil banyak dijumpai di sekitar
kawasan pinggir Kuala Lumpur pada masa dahulu dan menyebabkan kawasan itu
dinamakan sebagai Gonggang. Selain itu, nama Gonggang juga boleh dikaitkan
dengan satu suku kaum melayu di sekitar Kepulauan Riau di Indonesia. Terdapat
kemungkinan suku kaum ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan memberi nama kawasan
tersebut sebagai Gonggang sebagai tanda kawasan suku kaum mereka itu.
Nama Gonggang dipercayai telah disebut seawal tempoh ketika
berlakunya Perang Saudara Selangor atau Perang Klang yang meletus pada 1867 –
1874. Pada waktu itu, lokasi yang disebut sebagai Gonggang ini digunakan
sebagai laluan ke Kuala Lumpur untuk menyerang dan berundur ke Pahang dan Kuala
Kubu di Ulu Selangor oleh tentera yang menyokong Raja Mahadi. Berdasarkan
semakan sejarah, antara lokasi yang menggunakan nama Gonggang adalah berikut:
- Kawasan Perkuburan Kg Gonggang (Kini dikenali Tanah Perkuburan Jalan Ampang yang terletak di sebelah KLCC)
- Kg Gonggang (Kini dikenali sebagai Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur)
- Ladang Getah Gonggang Estate (Kini telah dibangunkan dan dikenali sebagai Setiawangsa)
Keratan peta topografi Kuala Lumpur yang menunjukkan lokasi Gonggang Estate yang berhampiran dengan Hawthornden Estate.
Laporan pembangunan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) yang menunjukkan perubahan nama Gonggang Estate kepada Setiawangsa.
Raja Laut sebagai Penghulu dan Majistret Pertama Kuala Lumpur. Nama beliau diabadikan pada sebatang jalan yang sangat popular di Kuala Lumpur iaitu Jalan Raja Laut. (sumber daripada https://wangsamahkota.files.wordpress.com/2012/11/raja-muda-laut-raja-muda-selangor.jpg)
Nama Gonggang kali terakhir digunakan pada tahun 1980an
apabila pihak kerajaan melalui syarikat pemaju I&P mula untuk memajukan
kawasan yang dikenali sebagai Gonggang Estate atau Ladang Gonggang. Ladang
Getah yang dimiliki oleh Loke Yew ini telah mendapat kebenaran daripada
kerajaan dan pemilik syarikat perladangan tersebut untuk ditebus dan
dibangunkan sebagai kawasan komersial dan perumahan sebagai langkah untuk
memajukan Kuala Lumpur. Kampung-kampung kecil yang berada di Ladang Gonggang ini
dipindahkah ke Perumahan Kos Rendah yang terletak di Keramat dan nama Gonggang
Estate telah ditukar kepada Setiawangsa selepas ia dibangunkan. Sejak daripada
itu, nama Gonggang ini akhirnya hilang di dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya.
Nama Kg Gonggang juga kini telah hilang dan diganti dengan Kg Datok Keramat dan
tiada lagi nama Gonggang disebut kecuali di dalam Sejarah Kuala Lumpur. Adalah
dipercayai nama Jalan Enggang yang terletak di persimpangan Jelatek / Keramat
adalah berasal daripada nama Gonggang dan ditukar oleh pemaju atas sebab yang
tidak diketahui. Walaupun nama Gonggang ini telah berkubur, namun begitu
sejarah nama Gonggang masih terpahat di dalam dokumen lama Kuala Lumpur dan menjadi
sebahagian daripada sejarah Wangsa Maju yang menjadi salah satu daripada daerah
yang termaju di Bandaraya Kuala Lumpur ini.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih untuk tulisan tajuk gonggang ini. Izinkan ditambah sedikit maklumat. Menurut penulis British, Shellabear juga merakamkan yang 'gonggang' bermaksud mengorek/membuat terowong (to drive in galleries/tunnels) yakni satu lagi cara yg orang Melayu dulu2 melombong bijih timah, selain cara melampan dan melereh. Benar, terdapat kisah juga di mana cara gonggang digunakan untuk membuat terowong dari Bukit Nanas semasa Perang Kelang
ReplyDelete/ Perang Saudara Selangor dari 1867 dulu. Perkara seperti ini dibincang juga dalam buku berjudul Tarikh Raja Asal yg diterbitkan oleh Areca Books. Terima kasih.
dalam loghat klate gonggang/gongge ada maksud. contoh...gigi bergonggang, lantai papan (rumah kayu) bergonggang
ReplyDelete