Bagi generasi kini, pasti ramai yang tidak pernah mendengar
tentang ladang Hawthornden dan mungkin jika ditanya, ramai yang akan menganggap
ladang ini terletak di luar negara. Ini mungkin disebabkan tiada sebarang tanda
atau maklumat yang diberikan berkenaan ladang hawthornden dan hasil carian di Google
juga tidak memberi sebarang maklumat yang jelas berkenaan ladang ini.
Pelan Pembangunan Taman Sri Rampai. Tidak diketahui tahun berapa pelan ini dilukis tetapi dapat dilihat nama Ladang Hawthornden diletakkan pada pelan ini. Kawasan Ladang Hawthornden di dalam pelan ini kini menjadi asrama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rumah PPR Desa Rejang.
Ladang Hawthornden merupakan nama asal bagi Wangsa Maju sebelum
ditukar oleh pihak kerajaan pada 1984. Ladang ini dimiliki oleh hartawan cina
yang bernama Loke Yew di atas nama syarikatnya yang bernama Hawthornden Rubber Estate
Company Ltd. Loke Yew merupakan seorang pendatang daripada Cina pada asalnya
dan menjadi hartawan selepas melibatkan diri dalam perniagaan lombong bijih
timah dan ladang getah di Malaya pada sekitar awal tahun 1900 an. Beliau telah banyak
berjasa kepada kemajuan Kuala Lumpur dan seorang yang dermawan di mana antara
jasa beliau yang sangat diingati adalah beliau telah mendermakan bangunan milik
beliau untuk menjadi sekolah di tengah-tengah kuala lumpur yang kini dinamakan
sebagai Victoria Institution School. Beliau dikebumikan di Kampung Loke Yew di
Jalan Semarak, Kuala Lumpur berdekatan dengan UTM Jalan Semarak di mana kini telah
pun menjadi kawasan rizab untuk Kementerian Pertahanan. Atas jasa beliau yang
banyak berjasa kepada Kuala Lumpur, nama beliau telah diabadikan pada nama
jalan di Pudu yang dinamakan sebagai Jalan Loke Yew sebagai mengenang sumbangan
beliau ke atas pembangunan awal Kuala Lumpur.
Wong Loke Yew atau lebih dikenali dengan nama Loke Yew.
Kubur Loke Yew di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Selain Ladang Hawthornden, terdapat juga beberapa ladang
getah di sekitarnya seperti Ladang Gonggang, Ladang Kent dan Ladang Wardieburn
yang kini telah pun lenyap menjadi kawasan perumahan dan komersial di sekitar
Wangsa Maju. Ladang Hawthornden dipilih untuk dibangunkan menjadi Bandar Baru Wangsa
Maju di era zaman pemerintahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan
kerjasama di antara pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat
Perumba yang merupakan pemaju utama bagi kawasan Wangsa Maju ini. Antara tujuan
utama kawasan ini dibangunkan adalah berikutan polisi kerajaan pada waktu itu
untuk mewujudkan bandar baru di pinggi bandar Kuala Lumpur bagi meningkatkan
populasi penduduk bandar, mengurangkan kawasan perkampungan setinggan, menarik
penduduk luar bandar untuk tinggal di kawasan bandar dan memberi peluang kepada
warga bumiputra untuk memiliki hartanah di kawasan Kuala Lumpur khususnya.
Bagi yang sering membaca blog, pasti anda semua pernah
membaca atau mendengar kisah serangan ‘dawn raid’ atau serangan subuh yang
menyaksikan pemilikan syarikat Guthrie oleh negara Malaysia dalam tempoh 5 jam
sahaja pada tahun 1981. Kisah ini sebenarnya sedikit sebanyak turut berkait
kepada kewujudan wangsa maju dan pembangunan di sekitar kawasan Kuala Lumpur.
Di awal tahun 1980an, kawasan sekitar Kuala Lumpur masih merupakan kawasan luar
bandar dan hanya dikelilingi oleh ladang getah, lombong bijih timah dan kampung
setinggan. Pada waktu itu, pembangunan di sekitar Kuala Lumpur sukar untuk
dijalankan berikutan kebanyakan pemilik-pemilik ladang getah dan lombong bijih
timah ini enggan untuk menyerahkan pemilikan tanah mereka kepada kerajaan untuk
dibangunkan. Ini menyebabkan kawasan sekitar kuala lumpur kekal menjadi kawasan
luar bandar yang hanya dihuni oleh penduduk kampung dan pekerja ladang. Selain
itu, ekonomi Malaysia pada waktu itu juga masih mengharapkan kepada pertanian
dan bijih timah dan tidak banyak kilang perusahaan ditubuhkan dan beroperasi pada
waktu itu.
Kejayaan Malaysia menawan syarikat gergasi British Guthrie di dalam serangan subuh atau 'dawn raid' (Petikan suratkhabar NST, 1981)
Dr Mahathir selaku perdana menteri pada waktu itu
berpandangan jauh di dalam membangunkan ekonomi Malaysia, meningkatkan daya pembangunan
di kawasan bandar dan mengurangkan jurang ekonomi yang sangat melebar di antara
orang kaya dan orang miskin di kawasan bandar. Beliau melihat keperluan mewujudkan
bandar baru dapat menarik warga bumiputra untuk tinggal di kawasan bandar di
samping merancakkan lagi ekonomi bandar melalui peningkatan populasi penduduk bandar.
Namun keengganan pemilik ladang getah untuk memberi kerjasama terutamanya
pemilik ladang British menyebabkan beliau merancang untuk melaksanakan serangan
dawn raid untuk mengajar
pemilik-pemilik ladang yang sombong ini. Selepas kejayaan kerajaan Malaysia
‘menawan’ syarikat perladangan gergasi British Guthrie, maka barulah
pemilik-pemilik ladang dan lombong ini membuka mata dan mula memberi kerjasama
untuk menyerahkan tanah mereka di sekitar Kuala Lumpur untuk dibangunkan kepada
kerajaan. Perlahan-lahan, kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur mula dibangunkan
satu persatu dan antara tempat yang mula-mula dibangunkan kerajaan pada waktu
itu adalah di Taman Setapak Jaya dan Seksyen 1 Wangsa Maju. Pembangunan Wangsa
Maju ini turut dirasmikan sendiri oleh Dr Mahathir sebagai menunjukkan
keprihatinan dan kesungguhan beliau untuk melihat sendiri kawasan ini
dibangunkan.
Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Turut dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.
Perasmian Wangsa Maju oleh Dr Mahathir yang dihadiri oleh Datuk Bandar dari seluruh dunia. Nama Wangsa Maju diumumkan sendiri oleh Dr Mahathir menggantikan nama asal kawasan ini iaitu Ladang Hawthornden.
Kini ladang getah Hawthornden di Wangsa Maju hanya menjadi
kenangan lalu dan saki-baki ladang getah ini masih boleh dilihat di Bukit
Dinding, Seksyen 6 Wangsa Maju. Tinggalan kilang memproses getah di Kg Puah,
Gombak juga telahpun dirobohkan pada tahun 2012 bagi memberi laluan kepada
pembangunan di kawasan sekitarnya. Dalam tempoh tidak sampai 20 tahun, Ladang
Hawthornden yang dahulunya hanyalah ladang getah berubah rupa menjadi Bandar
Wangsa Maju yang pesat membangun. Memori ladang getah ini kini mungkin hanya
diingati oleh generasi lama yang pernah melihat sendiri tempat ini suatu ketika
dahulu.
Tinggalan pokok getah di Bukit Dinding, Wangsa Maju
Good
ReplyDelete