Thursday, July 14, 2016

IKS Putra Damai

 Papan tanda IKS Putra Damai

IKS Putra Damai merupakan salah satu daripada kawasan perindustrian berskala kecil dan sederhana yang lebih dikenali sebagai IKS yang terdapat di Wangsa Maju. Kawasan ini wujud bermula pada tahun 1995 apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan bengkel-bengkel kecil yang wujud di sekitar kawasan Datuk Keramat bagi memberi laluan kepada pembinaan sistem Transit Aliran Ringat (LRT) di Kuala Lumpur. Kebanyakan daripada pemilik-pemilik bengkel ini adalah terdiri daripada orang Melayu dan segelintir India Muslim dan pihak DBKL juga turut membangunkan gerai Majlis di sini dan menyewakannya untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan di sini.


Pada tahun 2012, timbul isu bahawa kawasan ini akan diambil alih bagi tujuan untuk dibangunkan dan pemilik-pemilik bengkel yang kebanyakannya dimiliki kaum melayu ini bangun membantah kepada pihak DBKL apabila mereka diberi notis untuk mengosongkan premis masing-masing di dalam tempoh 30 hari. Isu ini kemudian menjadi lebih melarat apabila parti-parti politik mula campur tangan samada dari pihak pembangkang dan juga di pihak parti pemerintah. Selepas itu, isu berkenaan ini mula senyap dan tidak lagi berkumandang di media.



Lokasi IKS Putra Damai ini adalah terletak di Taman Setapak Jaya berhampiran dengan Taman Sri Rampai dan PPR Sungai Bunus serta Kg Baru Cina Ayer Panas, Setapak. Lokasi ini sangat strategik berikutan kawasan ini berhampiran dengan laluan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur di dalam tempoh anggaran 15 minit ke bangunan KLCC dan Kampong Baru KL jika tiada kesesakan trafik. Kebanyakan premis di sini menjalankan aktiviti membaiki dan mengecat kenderaan dan terdapat juga lain-lain aktiviti seperti perniagaan barang lusuh dan penjualan barangan hardware.  Walaupun terletak berhampiran dengan pusat Bandar, keadaan infrastruktur dan kebersihan di kawasan ini berada dalam keadaan sangat menyedihkan dan tidak terurus. Rata-rata pemilik bengkel di sini masih menggunakan bangunan kayu dan kenderaan buruk dilihat diletakkan di merata-rata tempat dan mencacatkan pemandangan bagi sesiapa yang melihatnya. Adalah agak menyedihkan apabila melihat kawasan yang tidak terurus ini dan ditambah pula dengan sampah – sarap yang berlonggok dan menimbun hampir di setiap penjuru kawasan ini.

Suasana di bengkel di sekitar kawasan IKS Putra Damai

Kadangkala penulis berfikir mengapakan pemilik-pemilik bengkel ini tidak mahu menaiktaraf kedai mereka ini. Faktor kewangan tidak mencukupi pasti menjadi alasan utama                                     jika kita bertanya pada pemilik bengkel ini. Tetapi alasan itu seperti tidak munasabah kerana mereka telah pun mula beroperasi menjalankan perniagaan mereka sejak lebih 20 tahun yang lalu dan kerajaan juga telah pun menganugerahkan pemilikan tanah secara sementara kepada mereka. Bukankah lebih elok jika masing-masing menaiktaraf kedai mereka menjadi lebih cantik dan tersusun berbanding daripada keadaan sekarang yang seolah-olah seperti di kawasan setinggan awal tahun 70an. Dengan keadaan bangunan yang sangat usang dan uzur, kawasan ini juga terletak di atas rizab pencawang elektrik TNB dan sangat berisiko untuk terjadinya kebakaran dan kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan mungkin boleh mengancam keselamatan kawasan perumahan berhampiran.

Tiang pylon pencawang elektrik yang terletak di tengah-tengah IKS Putra Damai

Jika dibandingkan dengan kawasan IKS lain seperti di Sungai Besi dan Ampang, kawasan mereka adalah jauh lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan kawasan IKS Putra Damai ini. Jika mereka masih selesa dengan keadaan sekarang ini, adalah tidak mustahil jika suatu hari nanti tanah mereka ini akan diambil-alih oleh kerajaan untuk dibangunkan semula. Seharusnya mereka perlu peka dengan keadaan masa kini di kala masih ramai peniaga yang masih tidak mempunyai tapak untuk berniaga dan permintaan kawasan perindustrian kecil ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.


Bangunlah dari tidur dan janganlah mengharapkan pertolongan kerajaan semata-mata. Jika mereka merasakan mereka tidak mampu, serahkanlah kepada mereka yang lebih berhak. Jika kamu masih di takuk lama dan enggan berubah maka tindakan kamu ini beerti menyia-nyiakan peluang yang ada dan hanya akan membawa kerugian kepada kamu sendiri di masa akan datang. 

No comments:

Post a Comment