Saturday, May 28, 2022

WANGSA MAJU MY TOWN - SIRI 2

Dahulu masa aku zaman sekolah, ada perbezaan budak ikut kawasan. Yang duduk di kawasan rumah flat of course kita panggil budak flat. Mostly yang duduk dekat Seksyen 1,2,4 dan 10. Diorang ni kebanyakannya dari golongan B40. Kalau tgk gaya tu memang ada nampak la juga. Mostly end up diorang ni akan jadi budak rempit main motor. Sebab memang dulu kebanyakan budak flat ni jadi mat rempit. Agaknya pengaruh daripada keliling dan akhirnya budak-budak yang baru pun terikut sama. Tapi bukan semua sama. Ada jugak yang rajin belajar, tak terikut dengan pengaruh rakan sebaya dan akhirnya berjaya keluar dari B40  jadi orang yang berjaya. 

Yang duduk di rumah teres pulak kita panggil anak orang kaya. Especially yang duduk dekat area Seksyen 5 dengan Seksyen 6. Mostly diorang ni terdiri daripada anak pegawai tinggi kerajaan, kontraktor dan businessman. Setakat Mercedes dengan BMW tu benda biasa la kalau dekat area sana. Budak-budak yang duduk area sini mostly akan jadi budak kereta. Kalau tgk drama pukul 7 tu mostly gaya hidup tu mcm diorang la. Tapi biasa lah bukan semua mcm tu. Ada yang berjaya jugak dlm pelajaran dan kehidupan tak terikut-ikut dengan budaya tak baik ni. 

Untuk posting kali ni, aku nak cerita pasal sekolah-sekolah dekat Wangsa Maju. Meh jom aku cerita sikit. 


1st, aku mulakan dengan sekolah aku iaitu SMK Seksyen 5 Wangsa Maju. Zaman aku dorg panggil budak Seksyen 5. Sekolah ni antara sekolah yang berjaya dan antara yang terbaik dalam Wangsa Maju dari segi akademik. Benda ni pun diakui jugak dekat Jabatan Pendidikan Wilayah. So bangga jugak lak rasanya. Lepas batch aku, budak sekolah sini diorang panggil Svian. Aku pun tak tau mcm mana nak sebut. SV tu singkatan untuk Seksyen 5. Nampak style la kot agaknya. Sekolah aku ni antara satu-satunya sekolah yang ada pengajaran pendidikan khas untuk kurang upaya. Katanya sebab pengetua dulu anak dia kurang upaya mental. So akhirnya jadi la adanya pendidikan khas dekat sini. 


Yang ni pulak SMK Wangsa Melawati. Dekat je dengan rumah aku. Kalau siapa yang sekolah sini kami panggil budak Wangsa. Sekolah ni pun antara sekolah yang agak berjaya jugak. Kebanyakan yang sekolah dekat sini adalah anak tentera sebab sekolah ni sebelah je dengan Kem Askar PULAPOT. Ramai juga kawan aku yang sekolah dekat sini. Yang aku ingat dulu pernah sekolah ni buat Flying Fox dari tingkat atas sampai ke bawah. So bukan kaleng-kaleng juga sekolah ni.


SMK Seksyen 2 ni pula budak yang sekolah sini kitorg panggil Budak Seksyen 2 atau Budak R2. Budak sekolah sini dulu banyaknya dari bangsa cina. Sekarang tak tau lah mcm mana. Sekolah sini banyak melahirkan gamers-gamers sejati masa zaman aku dulu. Mana taknya, sebelah sekolah ja berlambak cybercafe. Dulu sekolah ni agak terjejas nama dia sebab pernah masuk tv kes budak ponteng sekolah. Walaupun keliling sekolah ni dah ditembok mcm Tembok Besar Cina, budak-budak sini ada ja akal diorang nak panjat pagar ponteng. Tapi bagi aku setiap sekolah ada ja budak ponteng sekolah. Sekolah aku dulu pun sama juga lebih kurang. 



SMK Zon R1 ni antara sekolah yang legend jugak. Di kala tempat lain dah tukar daripada R kepada Seksyen, sekolah ni masih mengekalkan nama R1 tanpa menukar kepada Seksyen 1. So budak-budak sini dari dulu sampai sekarang kami panggil budak R1. Sekolah sini dulu ramai dari bangsa India. Mungkin asal daripada pekerja estet Hawthornden dulu. Budak R1 masa zaman aku dulu famous bab sukan. Masuk sukan bola sepak, olahraga biasa sekolah ni la yang tapau semua. Kalau tgk rekod sekarang ni pun sekolah ni masih mengekalkan budaya sukan antara pelajar. Semoga dapat dikekalkan la nama yang lejeng tu untuk generasi baru.



SMK Taman Sri Rampai ni antara sekolah yang lama juga la dalam Wangsa Maju. Budak yang sekolah sini kami panggil budak rampai. Kadang-kadang ada juga yang dipanggil budak rejang atas sebab lokasi sekolah ini di Jalan Rejang. Sekolah ni tak berapa dengar apa yang femes di kalangan budak dia. Aku pun tak berapa ada kawan sangat dekat sekolah sini. Biasa lalu depan sekolah je kalau nak pergi Sri Rampai. 

Setakat tu je lah cerita pasal budak-budak sekolah masa zaman aku. Banyak lagi sekolah di Wangsa Maju ni tapi rasa cukuplah setakat ni. Budak-budak sekolah zaman aku dulu biasa lah nakal sikit-sikit. Budak sekarang silap-silap lagi teruk dari zaman aku dulu. Tapi bagi alumni sekolah-sekolah Wangsa Maju ni, sumbanglah sikit kebanggaan untuk sekolah korang. Bantu mana yang boleh sebab kalau korang masih tinggal di sini, anak-anak korang pula yang akan sekolah dekat sini balik. 

Kalau ada yang nak share pasal sekolah korang boleh la share dekat komen bawah ni ya.


Friday, May 27, 2022

WANGSA MAJU MY TOWN- Siri 1

Aku dah tinggal di Wangsa Maju ni sejak dari tahun 1993. Masa tu aku taska pun belum lagi. Kawasan Wangsa Maju ni kira masa tu memang ceruk betul. Nak sebut Wangsa Maju orang tanya balik dekat mana tu. Makanya terpaksalah sebut Setapak baru orang tahu. Padahal keliling Wangsa Maju dah ada dah pembangunan macam Taman Melawati dengan Keramat. Tapi sebab tak berapa famous so orang pun tak berapa nak tahu.Agaknya la..

Kehidupan aku waktu kecil cuma sekadar di sekitar Wangsa Melawati, Keramat, Klang Gates, Seksyen 5, Seksyen 4 dan Seksyen 2 sahaja. Maklumlah masa tu cuma menapak je tak ada transport. Lepas aku ada motor bapak aku masa Tingkatan 4 (2003) baru lah berjalan jauh sikit aku. Banyak sangat yang berubah kalau dikira sejak dari zaman aku sekolah. Jadi aku nak recall balik memori aku di zaman kecil dahulu.


Ni jalan masuk ke kawasan kediaman aku. Jalan ni menghala ke Wangsa Melawati dan ke Keramat AU5. Dulu sini tak ada lampu isyarat. Tak salah dalam tahun 2001 gitu baru dipasang. Kalau masuk musim bunga, pokok-pokok keliling ni akan berbunga warna pink dan putih. Memang cantik macam dekat Jepun. Tepi tu dulu longkang besar. Banyak juga ikan keli masa tu ada kt situ. Sekarang da tak ada dah. Kecik-kecik dulu rajin juga main longkang.Biasa la budak-budak. Sekarang DBKL dah simen longkang tu dan tukar jadi kawasan rekreasi. Cantik juga la sekarang banding dengan dulu. 


Ni pulak jalan menghala masuk Wangsa Melawati juga. Tapi exit dari lebuhraya MRR2. Dulu zaman aku sekolah sini hutan je. Cuma Petronas sebelah tu je yang dah lama. Belah kiri tu kawasan kedai naik dalam tahun 2002 tak silap. Sekolah agama tu dalam Masjid rasanya 2006 baru siap. Masjid tu pulak dalam 2002 baru siap. So sebelum tahun tu keliling ni cuma pokok dengan tanah kosong je. Yang menarik dekat sini, dulu ada satu signboard yang pemaju lama letak. Dia tunjuk Wangsa Melawati, Seksyen 1,2,3,4,5,6,78,9,10 dan Wangsa Walk. Yang kelakarnya Seksyen 3,7,8 dan 9 sampai sekarang tak ada. Wangsa Walk tu pula kalau tengok memang hairan sebab masa tu dalam tahun 2000 mana ada lagi Wangsa Walk. Sampai kena teka-teka apa benda Wangsa Walk ni. Rupanya tahun 2008 baru lah siap Wangsa Walk ni. 




Yang ni pulak kawasan sekitar Seksyen 4, Wangsa Maju. Masa aku sekolah, sini memang terkenal budak flat. Dulu ada pasar basah dekat sini. Nampak sendu tapi jadilah untuk orang dekat-dekat sini nak beli barang. Makan dekat pasar tu pun sedap. Faveret aku nasi lemak makcik dengan roti canai brader. Memang sedap betul lagi-lagi lepas joging pagi-pagi. Tapi masa tahun 2011, kerajaan ambil alih pasar ni dan tukar jadi Kedai Rakyat 1 Malaysia. Tahun 2016 last-last bungkus tutup sampai sekarang. Sebelah pasar tu pulak ada kedai runcit Kam Yuen. Kedai ni daripada aku duduk tahun 1993 sampai sekarang ada lagi. Kiranya nak dekat 29 tahun gak la kedai ni. Dulu masa sekolah beli rokok batang kat kedai ni lah. Jahat pulak rasanya masa sekolah dulu-dulu


Yang ni pulak sekolah menengah aku. Dari tahun 2000 sampai 2004 aku dekat sini. Dulu sekolah aku nama SMK R5/R6. Masa tu Wangsa Maju tak panggil lagi seksyen. Lepas tahun 2000 baru diorang tukar daripada R ke Seksyen. Apa maksud R tu pun aku tak tahu sampai sekarang. 

Masa aku dulu cuma 1 sesi je sekolah ni. Lepas aku habis sekolah baru dia jadi 2 sesi. Sekarang dah tak tau la aku. Masa zaman sekolah dulu aku jalan kaki je dari rumah. Balik sekolah singgah mapley NZ depan sekolah makan sana. Dulu nasi putih lauk ayam cuma RM4.00 je. Tapi kena pakai baju sekolah baru dapat diskaun. Kalau baju biasa kena RM5.00. Entah pape la NZ tu. 

Cikgu sekolah masa zaman aku pun dah tak ada dah. Yang aku ingat pengetua sekolah yang jadi cikgu BM aku. Taslim nama dia tak silap. Muka garang tapi mengajar baik je. Anak dia pun sekolah sini kalau tak silap. 



Sini pula tempat melepak budak-budak sekolah aku dulu. Dulu nama dia stesen minyak ProJET kalau siapa yang masih ingat. Dekat sini jual hotdog panjang, burger dengan air kopi. Kira pelik juga masa tu boleh makan dekat stesen minyak. Masa zaman aku dulu, dekat sini jadi port dating budak sekolah aku. Kekadang jadi tempat budak-budak ngisap rokok jugak. Dekat tepi tu dia ada buat pondok dengan kerusi meja untuk orang hang out. Last aku pergi cuma tinggal pondok je. 



Yang ni pula simpang nak menghala ke Wangsa Walk dari Seksyen 4. Masa aku dulu sini cumasimpang tiga je. Lepas Wangsa Walk buka baru jadi simpang empat. Kawasan Wangsa Walk tu dulu kawasan tanah kosong je. Sebelum ni katanya kawasan lombong. Tapi masa aku masuk tahun 2001 kolam lombong tu dah kering dah. Mungkin takut budak-budak sekolah mandi sana agaknya. Yang aku ingat kawasan tanah sini jenis tanah merah lembut. Kalau pijak tanah dia boleh tenggelam sampai buku lali juga. Tak tahu apa yang dilombong kat sini. Mungkin bijih timah barangkali. 

InsyaAllah lepas ni aku akan story banyak lagi pasal Wangsa Maju. Jauh mana kita pergi pun kita kena tahu asal mana kita duduk. Orang lain mungkin lain ceritanya tapi mungkin lebih menarik kalau semua cerita boleh digabungkan sekali. Ada yang nak share cerita boleh la share di komen nanti ya


Sunday, November 28, 2021

Sejarah Wangsa Maju: The historic trail of Jalan Genting Klang (Siri 1)

 Bagi penduduk Wangsa Maju, Jalan Genting Klang mungkin tidak asing bagi mereka. Jalan ini merupakan jalan yang menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur yang bermula daripada Kg Klang Gates dan berakhir di Jalan Pahang. Walaupun jalan ini hanyalah sekadar jalan biasa di Wangsa Maju, Jalan ini menyimpan sejarah yang mungkin tidak diingati oleh generasi Wangsa Maju sekarang ini. Ditambah dengan pembangunan pesat di sekitar Jalan Genting Klang, tidak ramai menyangka satu masa dahulu jalan ini pernah menentukan hidup mati penduduk di Kuala Lumpur.

Suatu ketika dahulu apabila Kuala Lumpur mula dibuka pada tahun 1870an, akses ke Kuala Lumpur hanyalah melalui Sungai Klang semata-mata dan jalan darat hanya dibuka selepas ekonomi berkembang dengan kewujudan lombong bijih timah. Pada waktu itu, Raja Abdullah iaitu penguasa Kuala Lumpur pada ketika itu telah membuka lombong bijih timah di sekitar Kuala Lumpur sehingga ke Hulu Klang. Beliau bekerjasama dengan Kapitan Cina pada waktu itu dengan mengimport para kuli daripada Tanah Besar China pada waktu itu untuk menguruskan lombong bijih timah yang semakin lama semakin banyak dibuka di sepanjang Sungai Klang. Kewujudan lombong bijih timah ini juga menjadi magnet kepada para pedagang daripada Sumatra dan Bugis untuk berniaga dan mengusahakan tanah di sekitar Kuala Lumpur. 

Jalan-jalan darat kemudian mula dibuka di sekitar Kuala Lumpur di samping pengangkutan air di Sungai Klang yang masih menjadi pengangkutan utama di Kuala Lumpur pada awal tahun 1880an. Pada waktu ini, para pedagang (bukan pendatang) dari Sumatra dari suku Mendailing dan Rawa mula mengusahakan tanah di sekitar Setapak dan Gombak dan dari sinilah Jalan Genting Klang wujud. Namun begitu jalan ini masih tidak bernama kerana suasana Setapak (dahulu dikenali Sungai Tapak - InsyaAllah diizinkan akan diceritakan di post akan datang) masih lagi hutan belantara dan tidak banyak rumah kediaman wujud pada masa itu. 

Maka ditakdirkan berlakulah perang saudara yang kini dikenali sebagai Perang Klang. Perang yang asalnya meletus di Klang disebabkan perbalahan di antara Raja Abdullah (kemudian Tengku Kudin) dan Raja Mahadi merebak sehingga ke Kuala Lumpur dan berlarutan sehingga 10 tahun lamanya. Jalan Genting Klang pada waktu itu menjadi laluan tentera Raja Mahadi untuk menyerang Kuala Lumpur daripada Rawang dan akhirnya tentera Raja Mahadi yang diketuai Che Soho atau Shariff Masahor berjaya menawan Kuala Lumpur dengan pertempuran yang dikenali sebagai Fall of Kuala Lumpur. Dikhabarkan Kuala Lumpur pada waktu itu bermandi darah dan penduduk setempat ketika itu tiada pilihan samada menyokong Raja Mahadi yang disokong Chong chong serta puak Ghee Hin  ataupun menyokong Tengku Kudin yang disokong Yap Ah Loy serta puak Hai San dan masing-masing berbunuh semasa sendiri tanpa mengira bangsa samada Cina ataupun Melayu. 

Tidak lama kemudian, hadir pula tentera bantuan daripada Pahang diketuai Imam Perang Rosu untuk membantu Tengku Kudin menawan semula Kuala Lumpur. Kehadiran tentera Pahang ini menambah lagi penderitaan orang Kuala Lumpur pada waktu itu apabila mereka bertindak membunuh penduduk tempatan dan membakar hampir kesemua kampung dan pekan yang ada di Kuala Lumpur. Kampung-kampung melayu dan cina yang wujud di sekitar Jalan Genting Klang pada waktu itu hampir habis dimusnahkan sepanjang perjalanan mereka melalui jalan tersebut untuk menawan Kuala Lumpur. Akhirnya melalui serangan 2 arah iaitu daripada arah Petaling-Damansara oleh tentera Tengku Kudin-Yap Ah Loy dan dari arah Setapak oleh tentera Pahang. Beribu-ribu orang telah disembelih dan kepala mereka dipacak di sekitar jeti di Kuala Lumpur (kini Pasar Seni) sebagai membalas dendam di dalam peperangan. Pada waktu ini Selangor dikenali dikenali sebagai Zaman Keris dan Pemuras iaitu zaman apabila 2orang berjumpa, orang menyerang dan membunuh satu sama lain dahului sebelum bertanya khabar dan menyatakan mereka di pihak mana (Tengku Kudin atau Raja Mahadi).

Jalan Genting Klang pada waktu dahulu merupakan salah satu laluan pintas ke Pahang dengan melalui jalan yang dipanggil sebagai Genting Bidai. Jalan ini juga merupakan salah satu laluan orang Ulu Klang pada zaman dahulu untuk ke Kuala Lumpur dan terus ke Klang untuk menghantar barang dagangan bijih Timah samada melalui Jeti Kuala Lumpur ataupun melalui jalan darat. Maka sebab itulah nama Jalan Genting Klang ini diperolehi iaitu Jalan dari Genting Bidai ke Klang yang dipendekkan menjadi Jalan Genting Klang. Perubahan dan fenomena semasa menyebabkan tinggalan sejarah Perang Klang di Jalan Genting Klang kini sudah pun hilang ditelan zaman. Diharapkan tulisan ini dapat memberi sedikit maklumat kepada mereka yang membacanya dan memberi peringatan tentang peristiwa berdarah yang pernah berlaku di jalan ini suatu ketika dahulu.


Jalan ke Genting Bidai yang kini telah ditutup dan menjadi Empangan Klang Gates.

Jalan Genting Klang pada masa kini yang telah membangun pesat.


Laluan Jalan Genting Klang pada waktu dahulu yang tembus sehingga ke Pahang. Peta ini dilukis oleh Frank Swettenham, Residen British di Selangor pada ketika dahulu. Pada bulatan merah sini dapat dilihat laluan perjalanan tentera Pahang melalui Jalan Genting Klang melalui Genting Bidai untuk menyerang Kuala Lumpur
Lombong bijih timah yang dibuka di sekitar Setapak suatu ketika dahulu.


Sambungan: Jalan Genting Klang- Saksi keperitan pekerja ladang meneruskan hidup. 



Monday, June 17, 2019

Sejarah Wangsa Maju: Setapak


Mukim Setapak merupakan antara daerah terawal yang dibuka di Kuala Lumpur. Namun begitu, sejarah Mukim Setapak ini agak kelam berikutan tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi di internet mahu pun di dalam buku sejarah. Kesilapan orang lama untuk tidak menulis rekod menyebabkan banyak kisah-kisah bersejarah yang berlaku di Mukim Setapak ini hilang lenyap di arus zaman tanpa diketahui oleh generasi terkini.

Mengikut rekod, Mukim Setapak asalnya diduduki oleh orang asli dan orang Minangkabau iaitu seawal  tahun 1880an iaitu tahun di mana Kuala Lumpur mula dibuka. Sejarah yang sebenar adalah perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur telah menyebabkan orang-orang kanan Raja Abdullah membuka sekitar kawasan Kuala Lumpur sebagai kawasan baru di dalam Negeri Selangor. Ini berikutan keadaan di Klang yang merupakan kawasan komersial Negeri Selangor pada masa itu berada di dalam keadaan huru-hara disebabkan oleh pertempuran yang dicetuskan oleh Raja Mahdi. Mukim Kerinci (kini Bangsar), Mukim Petaling, Mukim Batu dan Mukim Setapak mula dibuka untuk dibangunkan dengan perlombongan bijih timah dan tanaman padi. Ramai yang tidak mengetahui bahawa pembesar Negeri Selangor iaitu Dato Alam Setapak merupakan pemimpin tempatan pertama yang membuka mukim ini untuk dibangunkan. Beliau telah membuka beratus-ratus ekar tanah untuk dibangunkan sawah padi bagi tujuan bekalan makanan untuk penduduk di Kuala Lumpur selain membuka lombong bijih timah secara kecil-kecilan di sekitar Sg. Gombak. Namun nama beliau tenggelam dan hanya nama Sultan Puasa sahaja yang naik sebagai pembuka Kuala Lumpur berikutan hubungan beliau yang rapat dengan Kapitan Cina seperti Yap Ah Loy pada waktu itu.


Gambar yang diambil oleh British pada tahun 1892 di Setapak, Kuala Lumpur yang menunjukkan kegiatan orang kampung yang mengerjakan sawah padi pada ketika itu.



Peta pada tahun 1960 yang menunjukkan kewujudan sawah padi sekitar Kg Padang Balang. Kawasan ini kini menjadi Taman Greenwood dan Bandar Baru Sentul pada masa kini.

Pada waktu dahulu di sekitar tahun 1890an sehingga tahun merdeka, kawasan Setapak dan sekitar mukim Gombak terkenal dengan sawah padi. Malahan, terdapat gesaan pada waktu itu menyarankan agar negeri-negeri lain seperti Pahang dan Negeri Sembilan untuk belajar kaedah menanam padi daripada penduduk kampung di sekitar kawasan Setapak dan Gombak bagi menghasilkan sumber beras yang mencukupi untuk negara. Namun begitu, bermula pada tahun 1960an, kawasan sekitar Setapak ini mula tercemar kerana pembuangan sisa daripada kilang dan bengkel yang dibina di sekitar kawasan tersebut. Pencemaran air ini menyebabkan hasil padi merosot dan merosakkan hasil tanaman padi dan menyebabkan penduduk kampung tidak lagi mahu menanam padi di kawasan Setapak ini. Apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diwujudkan, penduduk kampung memohon untuk kawasan sawah padi ini dilupuskan dan digantikan dengan kawasan komersial dan kediaman sejajar dengan arus pembangunan di Kuala Lumpur. Maka sedikit demi sedikit, pemandangan sawah padi ini mula hilang dan diganti dengan bangunan batu dan kawasan baru mula wujud menggantikan kawasan pertanian ini seperti di Taman Dato Senu, Bandar Baru Sentul dan taman perumahan lain di sekitar Setapak. Adalah diharapkan semoga pihak kerajaan dapat menyimpan rekod dan membuat kajian sejarah di kawasan setapak ini supaya segala simpanan sejarah lama ini dapat ditatap oleh generasi akan datang untuk mengenal sejarah asal Wangsa Maju di masa akan datang.

Sunday, September 23, 2018

Gonggang: Nama yang hilang di Setiawangsa


Bila disebut tentang Gonggang, pasti ramai yang tercengang dan tertanya-tanya apakah maksud perkataan itu. Jika disemak pada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun, perkataan gonggang ini tidak dijumpai dan bermaksud perkataan ini bukanlah datang daripada Bahasa Melayu. Tetapi apakah signifikan perkataan Gonggang ini dengan kaitannya Wangsa Maju ini?

Gonggang merupakan salah satu daripada mukim di Kuala Lumpur yang mula wujud seawal kuala Lumpur dibuka oleh Raja Abdullah pada awal abad ke 19. Lokasi Gonggang ini dipercayai terletak di sekitar Jalan Ampang sehingga ke sempadan Ulu Kelang dan kini merangkumi kawasan sekitar Jelatek, Setiawangsa dan Wangsa Maju. Jika diselusuri sejarah, nama Gonggang dipercayai berasal daripada nama pokok sagu yang dikenali sebagai pokok Gonggang. Jika merujuk kepada buku Celia Lowe bertajuk  Wild Profusion: Biodiversity Conservation in an Indonesian Archipelago, pokok ini banyak dijumpai di Indonesia dan tidak mustahil banyak dijumpai di sekitar kawasan pinggir Kuala Lumpur pada masa dahulu dan menyebabkan kawasan itu dinamakan sebagai Gonggang. Selain itu, nama Gonggang juga boleh dikaitkan dengan satu suku kaum melayu di sekitar Kepulauan Riau di Indonesia. Terdapat kemungkinan suku kaum ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan memberi nama kawasan tersebut sebagai Gonggang sebagai tanda kawasan suku kaum mereka itu.

Nama Gonggang dipercayai telah disebut seawal tempoh ketika berlakunya Perang Saudara Selangor atau Perang Klang yang meletus pada 1867 – 1874. Pada waktu itu, lokasi yang disebut sebagai Gonggang ini digunakan sebagai laluan ke Kuala Lumpur untuk menyerang dan berundur ke Pahang dan Kuala Kubu di Ulu Selangor oleh tentera yang menyokong Raja Mahadi. Berdasarkan semakan sejarah, antara lokasi yang menggunakan nama Gonggang adalah berikut:
  1. Kawasan Perkuburan Kg Gonggang (Kini dikenali Tanah Perkuburan Jalan Ampang yang terletak di sebelah KLCC)
  2. Kg Gonggang (Kini dikenali sebagai Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur)
  3.  Ladang Getah Gonggang Estate (Kini telah  dibangunkan dan dikenali sebagai Setiawangsa)



Keratan peta topografi Kuala Lumpur yang menunjukkan lokasi Gonggang Estate yang berhampiran dengan Hawthornden Estate.  
 Laporan pembangunan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) yang menunjukkan perubahan nama Gonggang Estate kepada Setiawangsa.


Sehingga kini, para sejarawan masih berdebat dan sedang menjejak lokasi kg Gonggang di mana terletaknya makam Raja Laut iaitu Kerabat Diraja Selangor yang menjadi Penghulu dan Majistret di Kuala Lumpur. Walaupun dipercayai beliau dikuburkan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, para sejarawan mempercayai bahawa terdapat kawasan perkuburan Diraja terletak di sekitar Gonggang di mana para kerabat Diraja dan raja-raja kerajaan lama terdahulu dimakamkan.  (sebelum Kesultanan Selangor bermula). Namun disebabkan oleh pembangunan pesat di Kuala Lumpur, lokasi makam tersebut mungkin sudah ditelan pembangunan ataupun telah dipindahkan ke lokasi lain yang tidak diketahui.

Raja Laut sebagai Penghulu dan Majistret Pertama Kuala Lumpur. Nama beliau diabadikan pada sebatang jalan yang sangat popular di Kuala Lumpur iaitu Jalan Raja Laut. (sumber daripada https://wangsamahkota.files.wordpress.com/2012/11/raja-muda-laut-raja-muda-selangor.jpg) 

Nama Gonggang kali terakhir digunakan pada tahun 1980an apabila pihak kerajaan melalui syarikat pemaju I&P mula untuk memajukan kawasan yang dikenali sebagai Gonggang Estate atau Ladang Gonggang. Ladang Getah yang dimiliki oleh Loke Yew ini telah mendapat kebenaran daripada kerajaan dan pemilik syarikat perladangan tersebut untuk ditebus dan dibangunkan sebagai kawasan komersial dan perumahan sebagai langkah untuk memajukan Kuala Lumpur. Kampung-kampung kecil yang berada di Ladang Gonggang ini dipindahkah ke Perumahan Kos Rendah yang terletak di Keramat dan nama Gonggang Estate telah ditukar kepada Setiawangsa selepas ia dibangunkan. Sejak daripada itu, nama Gonggang ini akhirnya hilang di dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya. Nama Kg Gonggang juga kini telah hilang dan diganti dengan Kg Datok Keramat dan tiada lagi nama Gonggang disebut kecuali di dalam Sejarah Kuala Lumpur. Adalah dipercayai nama Jalan Enggang yang terletak di persimpangan Jelatek / Keramat adalah berasal daripada nama Gonggang dan ditukar oleh pemaju atas sebab yang tidak diketahui. Walaupun nama Gonggang ini telah berkubur, namun begitu sejarah nama Gonggang masih terpahat di dalam dokumen lama Kuala Lumpur dan menjadi sebahagian daripada sejarah Wangsa Maju yang menjadi salah satu daripada daerah yang termaju di Bandaraya Kuala Lumpur ini.

Sunday, September 2, 2018

SEJARAH WANGSA MAJU: KENANGAN PEJABAT POS SETAPAK


Pada zaman dahulu, pejabat pos merupakan perkhidmatan utama yang sangat penting bagi orang awam untuk sebarang urusan. Jika kita melihat filem-filem lama terutamanya filem P. Ramlee di tahun 1950-an dan 1960-an, pejabat pos dilihat sebagai tempat untuk bagi perkhidmatan seperti menyimpan wang, mengirim wang, mengutus surat dan menghantar telegram. Perkhidmatan ini pada waktu dahulu sangat penting kerana pergerakan dan servis perkhidmatan adalah sangat terhad dan pejabat pos telah bertindak sebagai pusat setempat atau one-stop center untuk semua jenis perkhidmatan tersebut.

Pejabat Pos Setapak tidaklah merupakan tempat bersejarah berbanding Pejabat Pos Taiping yang telah menjadi tapak warisan yang menjadi Pejabat Pos pertama di Malaysia. Namun begitu, Pejabat Pos Setapak menjadi sedikit popular kerana kemunculannya di dalam filem P. Ramlee iaitu Masam-masam Manis pada 1965. Kemunculan Pejabat Pos Setapak di dalam filem ini menjadi tarikan kepada penduduk sekitar Setapak dan Wangsa Maju dan menjadi tanda tanya tentang lokasi sebenar pejabat pos ini.


Poster filem Masam-Masam Manis (1965). Retrieve from http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/films/p-masammm.htm



Berdasarkan cerita orang lama, Pejabat Pos Setapak dahulu terletak di Jalan Pahang (dahulu dikenali sebagai Pahang Road). Tapak sebenarnya sukar hendak dikenalpasti tapi dianggarkan terletak berhampiran dengan Restoran McDonald’s dan Stesen Minyak Petron pada masa kini. Pejabat pos ini mungkin dipindahkan berikutan Jalan Pahang diperbesarkan dan menjadi lebuh raya bertol pada tahun 1990-an dan akhirnya ditutup pada 2002. Pejabat Pos Setapak kini terletak di simpang Jalan Gombak off Jalan Setapak berhampiran dengan Balai Polis Setapak dan masih lagi berfungsi sehingga kini.




 Babak yang menunjukkan pandangan dari hadapan Pejabat Pos Setapak.


 Lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa kini. 



Anggaran lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa dahulu.


Jika dilihat di dalam filem Masam-masam Manis (1965), kawasan di sekitar kawasan Setapak pada masa itu masih di dalam suasana kampung dan masih banyak pokok-pokok serta tanah lapang di kawasan sekitar. Keadaan trafik di sana juga masih lengang dan tidak sesibuk kini yang setiap hari sesak dengan kereta tanpa mengira hari ditambah pula dengan pembinaan dan penaiktarafan jalan yang menambah lagi kesesakan trafik hari ini. Filem ini menggamit kenangan penduduk Wangsa Maju kerana banyak lokasi penggambaran filem ini dijalankan di sekitar kawasan Setapak dan Ulu Klang. Ada tempat yang masih wujud dan ada juga yang sudah tiada dan hanya tinggal kenangan. Namun begitu, filem ini tetap akan menjadi kenangan penduduk Wangsa Maju dan Setapak dari dulu, kini dan selamanya.


Babak Nurkiah sedang menunggu bas sebelum dompetnya dicopet dan berkenalan dengan Cikgu Shaari. Lokasi penggambaran babak ini dianggarkan dijalankan di sekitar kawasan Setapak.

Friday, August 17, 2018

M3 MALL KEBANGGAAN WARGA TAMAN MELATI



Di celah-celah kawasan perkampungan dan rumah flat yang berselerak di Taman Melati, terbina sebuah pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah kawasan kediaman Melayu di sini dikenali sebagai M3 Mall. Pusat membeli-belah ini asalnya adalah kawasan perumahan setinggan yang telah dibersihkan untuk pembangunan di sekitar kawasan Taman Melati. Namun begitu, masih ramai orang luar yang tidak menyedari kewujudan pusat membeli-belah ini kerana lokasinya yang jauh daripada jalan utama. Tetapi ia menjadi kelebihan kepada mereka yang berkunjung di sini terutamanya orang tempatan kerana ia kurang sesak dan tempat parking yang luas dan memberi keselesaan kepada pengunjung pusat membeli –belah ini.

Tidak banyak kedai yang menarik dibuka di sini. Tetapi ia sangat sesuai untuk dikunjungi keluarga kerana kebanyakan perniagaan lebih tertumpu kepada golongan berkeluarga terutamanya yang memiliki anak kecil berbanding pusat membeli belah lain yang dipenuhi pasangan bercinta dan budak-budak nakal yang berpeleseran. Tempat ini sesuai dikunjungi tidak kira samada pada waktu hari biasa mahupun pada hari minggu dan boleh menjadi tempat untuk berlibur bagi keluarga berpendapatan sederhana berbanding untuk pergi ke pusat membeli belah yang lain seperti Sungei Wang Plaza, IKEA dan Midvalley yang sesak dan berkos tinggi.





 Pasaraya The Store mungkin sudah hampir pupus di Kuala Lumpur ini tetapi ia masih lagi berdiri megah di M3 Mall ini dan menawarkan harga barangan mampu milik kepada golongan sederhana.


 Kedai Outlet Store yang menawarkan barangan sukan bagi mereka yang gemar bersukan. Harga di sini juga berpatutan berbanding daripada harga di kedai-kedai berjenama sukan di tempat lain.


Booth jualan yang menawarkan barangan seperti tudung, jubah dan lain-lain.

 Food court mini. Boleh lah daripada tak ada langsung.

 Gelanggang Dodge Ball yang boleh disewa di sini. Tak sangka ada gelanggang DodgeBall di kawasan sini. Tempat lain rasanya tak ada lagi.

Macam biasa kedai kain Nagoya. Lepas ini tak perlu pergi ke Nagoya Jalan Tunku Abdul Rahman di KL tu. 

 Kedai faveret aku Mr DIY. Barang dia macam biasalah. Murah dan bermacam-macam.


Masih banyak lagi ruang kosong untuk sesiapa yang ingin berniaga di sini.

Bagi sesiapa yang nak berjalan-jalan tetapi ingin tempat yang santai untuk keluarga boleh lah datang di sini. Di sini juga banyak mainan untuk kanak-kanak kecil bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga di hari minggu. Lokasi dia boleh lah Waze atau Google Maps lokasi M3 Mall, Taman Melati. Parking dia murah dalam RM4.00 sekali masuk. Kalau tak nak parking di dalam boleh parking di tepi jalan berhadapan dengan M3 Mall ni. Tapi jangan parking sesuka hati nanti terhalang kedai orang naya jadinya kerana banyak kedai-kedai kecil wujud di sepanjang jalan di hadapan M3 Mall ini.

Selamat berlibur.