Monday, September 21, 2026

SEJARAH WANGSA MAJU: MENJEJAK ASAL SEJARAH DI SUMATERA

Pada tahun ini Alhamdullilah diizinkan Allah untuk berkelana ke bumi Sumatera. Memang telah lama hasrat untuk berkelana ke bumi Sumatera Barat ini yang sangat berkait rapat dengan sejarah Hulu Kelang. Niat di hati ingin berkelana sejauh ke tanah asal Mandailing tapi apa kan daya jarak dan masa tidak mengizinkan. Tetapi di hati tetap bersyukur dapat melawat ke bumi Sumatera ini. 

Sejarah orang Sumatera sangat berkait rapat dengan Sejarah Selangor. Berdasarkan sejarah, terdapat 3 gelombang utama kedatangan orang Indonesia ke Negeri Selangor sebelum merdeka (dahulu tiada beza Indonesia dan Malaysia). Gelombang pertama adalah gelombang dari Sulawesi iaitu orang-orang Bugis yang mula tiba ke Selangor. Ketibaan mereka disambut dan dengan kelompangan kerajaan beraja yang jatuh di Melaka serta perang yang tidak berhenti-henti di Johor-Riau, orang-orang Bugis yang diketuai oleh Raja Lumu dilantik menjadi Sultan dan dimahkotakan oleh Sultan Perak. Gelombang kedua pula adalah daripada orang-orang Sumatera dan gelombang yang terakhir adalah dari mereka yang tiba daripada Tanah Jawa. Gelombang kedua dari Sumatera inilah yang banyak membentuk sejarah Negeri Selangor dan turut menjadi asas kepada sempadan Selangor pada hari ini.

Terdapat 3 kaum utama dari Sumatera yang hadir dan menetap di Selangor iaitu kaum Minangkabau, Mandailing dan Rao atau Rawa. Pada asalnya mereka ini dari keturunan dan beradat yang berbeza tetapi kehadiran mereka serentak di Selangor menyatukan mereka ini dan kerajaan British pada waktu itu turut memanggil mereka sebagai the Sumatrans people. Penghijrahan mereka ini adalah disebabkan pertelingkahan antara golongan agamawan dan golongan adat sehingga mengakibatkan perang saudara yang dipanggil Perang Paderi. Punca perang ini adalah disebabkan oleh perbezaan pendapat di mana golongan agamawan menganggap kaum minang yang terlampau memegang adat telah lari dari agama Islam manakala golongan kaum adat pula menganggap orang agamawan hendak menghilangkan adat resam yang telah lama dipegang oleh mereka. 

Berdasarkan perjalanan di bumi Padang, di sini masih dapat dilihat sedikit kesan tinggalan daripada kesan perang saudara ini. Di sini, masjid ada di mana-mana dan syiar Islam begitu tebal di sini dan pada masa yang sama, adat pepatih dan amalan berkabilah atau suku juga turut menebal di sini. Berdasarkan sejarah, kesan daripada perang saudara ini membawa kepada kehadiran penjajah Belanda yang akhirnya menjajah bumi Sumatera. Kesan daripada itu, akhirnya golongan agamawan dan kaum adat akhirnya meletak senjata, berdamai dan bergabung untuk melawan penjajah Belanda. Hasil daripada itu datanglah pepatah 'Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah'. Di sini, akhirnya golongan agamawan mengakui adat perpatih dan kaum adat bersetuju meninggalkan amalan yang bercanggah dgn syarak. 

Di Padang, adat pepatih masih menebal walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan Indonesia berbanding adat pepatih di Malaysia. Setiap suku masih memiliki ketua yang dipanggil datuak atau datuk dan sebarang urusan berkaitan adat seperti berkahwin, urusan masjid, harta pusaka wajib dibawa ke mesyuarat adat untuk dibincangkan. Amalan seperti laga kerbau, sihir, menyembah kubur atau nenek moyang ditinggalkan sepenuhnya walaupun amalan ini masih diamalkan di sesetengah tempat di Indonesia. 

Namun begitu, adat ini hanya tinggal adat sahaja tanpa sebarang kuasa. Selepas Sultan Pagaruyung terakhir yang memerintah Padang menyerahkan kuasa kepada Belanda, sejak itu kuasa adat hilang perlahan-lahan sehingga Indonesia merdeka. Amalan adat pepatih hanya diamalkan untuk orang setempat dan tidak dijadikan kuasa kepada kerajaan memerintah. Istana Pagaruyung yang dibakar dan dimusnahkan oleh golongan agamawan dan Belanda dibina semula sekadar sebagai peringatan kepada orang Minang bahawa suatu masa dahulu kerajaan Minangkabau pernah berdiri di Padang suatu masa dahulu. 

Di mana hubungan orang Minangkabau dengan Negeri Selangor?

Selepas perang paderi meletus, ramai orang minang, mandahiling, kerinci, rawa dan batubara lari daripada perang dan berhijrah ke Selangor. Kebanyakan mereka adalah penyokong golongan agamawan yang lari apabila kalah  berperang dengan kaum adat. Di Selangor, mereka berkampung dan berdagang bagi mengumpul dana untuk dihantar ke golongan agamawan untuk berperang melawan kaum Adat. Merekalah yang mula-mula membuka Kuala Lumpur, Gombak dan Hulu Langat serta melombong bijih timah sebelum kehadiran orang-orang Cina. Orang-orang Sumatera ini terkenal dengan rajin dan pandai melombong menggunakan kaedah gonggang iaitu menggali dan menapis tanah untuk mengeluarkan bijih. Hasil bijih ini kemudian dibawa ke Klang untuk dijual dan menjadi sumber kewangan kepada perang di Sumatera. Walaupun begitu, disebabkan kekuatan pegangan adat mereka tidak rela untuk bekerja di bawah orang Melayu dan lebih rela berusaha sendiri menjadi sumber rezeki. Raja Abdullah yang memerintah Klang pada waktu itu melihat peluang ini dan mula menjejak sumber bijih timah yang dilombong oleh orang Sumatera ini dan membawa beliau ke Hulu Kelang. Melihat sumber alam yang masih banyak, Raja Abdullah meminjam wang daripada orang Cina dan turut membawa buruh-buruh cina untuk membuka bijih timah di Hulu Kelang. Daripada inilah membawa kepada pembukaan Kuala Lumpur dan penghijrahan besar-besaran orang cina dan orang Sumatera ke Kuala Lumpur. 


InsyaAllah cerita ini disambung selepas ini.