Monday, June 17, 2019

Sejarah Wangsa Maju: Setapak


Mukim Setapak merupakan antara daerah terawal yang dibuka di Kuala Lumpur. Namun begitu, sejarah Mukim Setapak ini agak kelam berikutan tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi di internet mahu pun di dalam buku sejarah. Kesilapan orang lama untuk tidak menulis rekod menyebabkan banyak kisah-kisah bersejarah yang berlaku di Mukim Setapak ini hilang lenyap di arus zaman tanpa diketahui oleh generasi terkini.

Mengikut rekod, Mukim Setapak asalnya diduduki oleh orang asli dan orang Minangkabau iaitu seawal  tahun 1880an iaitu tahun di mana Kuala Lumpur mula dibuka. Sejarah yang sebenar adalah perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur telah menyebabkan orang-orang kanan Raja Abdullah membuka sekitar kawasan Kuala Lumpur sebagai kawasan baru di dalam Negeri Selangor. Ini berikutan keadaan di Klang yang merupakan kawasan komersial Negeri Selangor pada masa itu berada di dalam keadaan huru-hara disebabkan oleh pertempuran yang dicetuskan oleh Raja Mahdi. Mukim Kerinci (kini Bangsar), Mukim Petaling, Mukim Batu dan Mukim Setapak mula dibuka untuk dibangunkan dengan perlombongan bijih timah dan tanaman padi. Ramai yang tidak mengetahui bahawa pembesar Negeri Selangor iaitu Dato Alam Setapak merupakan pemimpin tempatan pertama yang membuka mukim ini untuk dibangunkan. Beliau telah membuka beratus-ratus ekar tanah untuk dibangunkan sawah padi bagi tujuan bekalan makanan untuk penduduk di Kuala Lumpur selain membuka lombong bijih timah secara kecil-kecilan di sekitar Sg. Gombak. Namun nama beliau tenggelam dan hanya nama Sultan Puasa sahaja yang naik sebagai pembuka Kuala Lumpur berikutan hubungan beliau yang rapat dengan Kapitan Cina seperti Yap Ah Loy pada waktu itu.


Gambar yang diambil oleh British pada tahun 1892 di Setapak, Kuala Lumpur yang menunjukkan kegiatan orang kampung yang mengerjakan sawah padi pada ketika itu.



Peta pada tahun 1960 yang menunjukkan kewujudan sawah padi sekitar Kg Padang Balang. Kawasan ini kini menjadi Taman Greenwood dan Bandar Baru Sentul pada masa kini.

Pada waktu dahulu di sekitar tahun 1890an sehingga tahun merdeka, kawasan Setapak dan sekitar mukim Gombak terkenal dengan sawah padi. Malahan, terdapat gesaan pada waktu itu menyarankan agar negeri-negeri lain seperti Pahang dan Negeri Sembilan untuk belajar kaedah menanam padi daripada penduduk kampung di sekitar kawasan Setapak dan Gombak bagi menghasilkan sumber beras yang mencukupi untuk negara. Namun begitu, bermula pada tahun 1960an, kawasan sekitar Setapak ini mula tercemar kerana pembuangan sisa daripada kilang dan bengkel yang dibina di sekitar kawasan tersebut. Pencemaran air ini menyebabkan hasil padi merosot dan merosakkan hasil tanaman padi dan menyebabkan penduduk kampung tidak lagi mahu menanam padi di kawasan Setapak ini. Apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diwujudkan, penduduk kampung memohon untuk kawasan sawah padi ini dilupuskan dan digantikan dengan kawasan komersial dan kediaman sejajar dengan arus pembangunan di Kuala Lumpur. Maka sedikit demi sedikit, pemandangan sawah padi ini mula hilang dan diganti dengan bangunan batu dan kawasan baru mula wujud menggantikan kawasan pertanian ini seperti di Taman Dato Senu, Bandar Baru Sentul dan taman perumahan lain di sekitar Setapak. Adalah diharapkan semoga pihak kerajaan dapat menyimpan rekod dan membuat kajian sejarah di kawasan setapak ini supaya segala simpanan sejarah lama ini dapat ditatap oleh generasi akan datang untuk mengenal sejarah asal Wangsa Maju di masa akan datang.

Sunday, September 23, 2018

Gonggang: Nama yang hilang di Setiawangsa


Bila disebut tentang Gonggang, pasti ramai yang tercengang dan tertanya-tanya apakah maksud perkataan itu. Jika disemak pada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun, perkataan gonggang ini tidak dijumpai dan bermaksud perkataan ini bukanlah datang daripada Bahasa Melayu. Tetapi apakah signifikan perkataan Gonggang ini dengan kaitannya Wangsa Maju ini?

Gonggang merupakan salah satu daripada mukim di Kuala Lumpur yang mula wujud seawal kuala Lumpur dibuka oleh Raja Abdullah pada awal abad ke 19. Lokasi Gonggang ini dipercayai terletak di sekitar Jalan Ampang sehingga ke sempadan Ulu Kelang dan kini merangkumi kawasan sekitar Jelatek, Setiawangsa dan Wangsa Maju. Jika diselusuri sejarah, nama Gonggang dipercayai berasal daripada nama pokok sagu yang dikenali sebagai pokok Gonggang. Jika merujuk kepada buku Celia Lowe bertajuk  Wild Profusion: Biodiversity Conservation in an Indonesian Archipelago, pokok ini banyak dijumpai di Indonesia dan tidak mustahil banyak dijumpai di sekitar kawasan pinggir Kuala Lumpur pada masa dahulu dan menyebabkan kawasan itu dinamakan sebagai Gonggang. Selain itu, nama Gonggang juga boleh dikaitkan dengan satu suku kaum melayu di sekitar Kepulauan Riau di Indonesia. Terdapat kemungkinan suku kaum ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan memberi nama kawasan tersebut sebagai Gonggang sebagai tanda kawasan suku kaum mereka itu.

Nama Gonggang dipercayai telah disebut seawal tempoh ketika berlakunya Perang Saudara Selangor atau Perang Klang yang meletus pada 1867 – 1874. Pada waktu itu, lokasi yang disebut sebagai Gonggang ini digunakan sebagai laluan ke Kuala Lumpur untuk menyerang dan berundur ke Pahang dan Kuala Kubu di Ulu Selangor oleh tentera yang menyokong Raja Mahadi. Berdasarkan semakan sejarah, antara lokasi yang menggunakan nama Gonggang adalah berikut:
  1. Kawasan Perkuburan Kg Gonggang (Kini dikenali Tanah Perkuburan Jalan Ampang yang terletak di sebelah KLCC)
  2. Kg Gonggang (Kini dikenali sebagai Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur)
  3.  Ladang Getah Gonggang Estate (Kini telah  dibangunkan dan dikenali sebagai Setiawangsa)



Keratan peta topografi Kuala Lumpur yang menunjukkan lokasi Gonggang Estate yang berhampiran dengan Hawthornden Estate.  
 Laporan pembangunan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) yang menunjukkan perubahan nama Gonggang Estate kepada Setiawangsa.


Sehingga kini, para sejarawan masih berdebat dan sedang menjejak lokasi kg Gonggang di mana terletaknya makam Raja Laut iaitu Kerabat Diraja Selangor yang menjadi Penghulu dan Majistret di Kuala Lumpur. Walaupun dipercayai beliau dikuburkan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, para sejarawan mempercayai bahawa terdapat kawasan perkuburan Diraja terletak di sekitar Gonggang di mana para kerabat Diraja dan raja-raja kerajaan lama terdahulu dimakamkan.  (sebelum Kesultanan Selangor bermula). Namun disebabkan oleh pembangunan pesat di Kuala Lumpur, lokasi makam tersebut mungkin sudah ditelan pembangunan ataupun telah dipindahkan ke lokasi lain yang tidak diketahui.

Raja Laut sebagai Penghulu dan Majistret Pertama Kuala Lumpur. Nama beliau diabadikan pada sebatang jalan yang sangat popular di Kuala Lumpur iaitu Jalan Raja Laut. (sumber daripada https://wangsamahkota.files.wordpress.com/2012/11/raja-muda-laut-raja-muda-selangor.jpg) 

Nama Gonggang kali terakhir digunakan pada tahun 1980an apabila pihak kerajaan melalui syarikat pemaju I&P mula untuk memajukan kawasan yang dikenali sebagai Gonggang Estate atau Ladang Gonggang. Ladang Getah yang dimiliki oleh Loke Yew ini telah mendapat kebenaran daripada kerajaan dan pemilik syarikat perladangan tersebut untuk ditebus dan dibangunkan sebagai kawasan komersial dan perumahan sebagai langkah untuk memajukan Kuala Lumpur. Kampung-kampung kecil yang berada di Ladang Gonggang ini dipindahkah ke Perumahan Kos Rendah yang terletak di Keramat dan nama Gonggang Estate telah ditukar kepada Setiawangsa selepas ia dibangunkan. Sejak daripada itu, nama Gonggang ini akhirnya hilang di dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya. Nama Kg Gonggang juga kini telah hilang dan diganti dengan Kg Datok Keramat dan tiada lagi nama Gonggang disebut kecuali di dalam Sejarah Kuala Lumpur. Adalah dipercayai nama Jalan Enggang yang terletak di persimpangan Jelatek / Keramat adalah berasal daripada nama Gonggang dan ditukar oleh pemaju atas sebab yang tidak diketahui. Walaupun nama Gonggang ini telah berkubur, namun begitu sejarah nama Gonggang masih terpahat di dalam dokumen lama Kuala Lumpur dan menjadi sebahagian daripada sejarah Wangsa Maju yang menjadi salah satu daripada daerah yang termaju di Bandaraya Kuala Lumpur ini.

Sunday, September 2, 2018

SEJARAH WANGSA MAJU: KENANGAN PEJABAT POS SETAPAK


Pada zaman dahulu, pejabat pos merupakan perkhidmatan utama yang sangat penting bagi orang awam untuk sebarang urusan. Jika kita melihat filem-filem lama terutamanya filem P. Ramlee di tahun 1950-an dan 1960-an, pejabat pos dilihat sebagai tempat untuk bagi perkhidmatan seperti menyimpan wang, mengirim wang, mengutus surat dan menghantar telegram. Perkhidmatan ini pada waktu dahulu sangat penting kerana pergerakan dan servis perkhidmatan adalah sangat terhad dan pejabat pos telah bertindak sebagai pusat setempat atau one-stop center untuk semua jenis perkhidmatan tersebut.

Pejabat Pos Setapak tidaklah merupakan tempat bersejarah berbanding Pejabat Pos Taiping yang telah menjadi tapak warisan yang menjadi Pejabat Pos pertama di Malaysia. Namun begitu, Pejabat Pos Setapak menjadi sedikit popular kerana kemunculannya di dalam filem P. Ramlee iaitu Masam-masam Manis pada 1965. Kemunculan Pejabat Pos Setapak di dalam filem ini menjadi tarikan kepada penduduk sekitar Setapak dan Wangsa Maju dan menjadi tanda tanya tentang lokasi sebenar pejabat pos ini.


Poster filem Masam-Masam Manis (1965). Retrieve from http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/films/p-masammm.htm



Berdasarkan cerita orang lama, Pejabat Pos Setapak dahulu terletak di Jalan Pahang (dahulu dikenali sebagai Pahang Road). Tapak sebenarnya sukar hendak dikenalpasti tapi dianggarkan terletak berhampiran dengan Restoran McDonald’s dan Stesen Minyak Petron pada masa kini. Pejabat pos ini mungkin dipindahkan berikutan Jalan Pahang diperbesarkan dan menjadi lebuh raya bertol pada tahun 1990-an dan akhirnya ditutup pada 2002. Pejabat Pos Setapak kini terletak di simpang Jalan Gombak off Jalan Setapak berhampiran dengan Balai Polis Setapak dan masih lagi berfungsi sehingga kini.




 Babak yang menunjukkan pandangan dari hadapan Pejabat Pos Setapak.


 Lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa kini. 



Anggaran lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa dahulu.


Jika dilihat di dalam filem Masam-masam Manis (1965), kawasan di sekitar kawasan Setapak pada masa itu masih di dalam suasana kampung dan masih banyak pokok-pokok serta tanah lapang di kawasan sekitar. Keadaan trafik di sana juga masih lengang dan tidak sesibuk kini yang setiap hari sesak dengan kereta tanpa mengira hari ditambah pula dengan pembinaan dan penaiktarafan jalan yang menambah lagi kesesakan trafik hari ini. Filem ini menggamit kenangan penduduk Wangsa Maju kerana banyak lokasi penggambaran filem ini dijalankan di sekitar kawasan Setapak dan Ulu Klang. Ada tempat yang masih wujud dan ada juga yang sudah tiada dan hanya tinggal kenangan. Namun begitu, filem ini tetap akan menjadi kenangan penduduk Wangsa Maju dan Setapak dari dulu, kini dan selamanya.


Babak Nurkiah sedang menunggu bas sebelum dompetnya dicopet dan berkenalan dengan Cikgu Shaari. Lokasi penggambaran babak ini dianggarkan dijalankan di sekitar kawasan Setapak.

Friday, August 17, 2018

M3 MALL KEBANGGAAN WARGA TAMAN MELATI



Di celah-celah kawasan perkampungan dan rumah flat yang berselerak di Taman Melati, terbina sebuah pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah kawasan kediaman Melayu di sini dikenali sebagai M3 Mall. Pusat membeli-belah ini asalnya adalah kawasan perumahan setinggan yang telah dibersihkan untuk pembangunan di sekitar kawasan Taman Melati. Namun begitu, masih ramai orang luar yang tidak menyedari kewujudan pusat membeli-belah ini kerana lokasinya yang jauh daripada jalan utama. Tetapi ia menjadi kelebihan kepada mereka yang berkunjung di sini terutamanya orang tempatan kerana ia kurang sesak dan tempat parking yang luas dan memberi keselesaan kepada pengunjung pusat membeli –belah ini.

Tidak banyak kedai yang menarik dibuka di sini. Tetapi ia sangat sesuai untuk dikunjungi keluarga kerana kebanyakan perniagaan lebih tertumpu kepada golongan berkeluarga terutamanya yang memiliki anak kecil berbanding pusat membeli belah lain yang dipenuhi pasangan bercinta dan budak-budak nakal yang berpeleseran. Tempat ini sesuai dikunjungi tidak kira samada pada waktu hari biasa mahupun pada hari minggu dan boleh menjadi tempat untuk berlibur bagi keluarga berpendapatan sederhana berbanding untuk pergi ke pusat membeli belah yang lain seperti Sungei Wang Plaza, IKEA dan Midvalley yang sesak dan berkos tinggi.





 Pasaraya The Store mungkin sudah hampir pupus di Kuala Lumpur ini tetapi ia masih lagi berdiri megah di M3 Mall ini dan menawarkan harga barangan mampu milik kepada golongan sederhana.


 Kedai Outlet Store yang menawarkan barangan sukan bagi mereka yang gemar bersukan. Harga di sini juga berpatutan berbanding daripada harga di kedai-kedai berjenama sukan di tempat lain.


Booth jualan yang menawarkan barangan seperti tudung, jubah dan lain-lain.

 Food court mini. Boleh lah daripada tak ada langsung.

 Gelanggang Dodge Ball yang boleh disewa di sini. Tak sangka ada gelanggang DodgeBall di kawasan sini. Tempat lain rasanya tak ada lagi.

Macam biasa kedai kain Nagoya. Lepas ini tak perlu pergi ke Nagoya Jalan Tunku Abdul Rahman di KL tu. 

 Kedai faveret aku Mr DIY. Barang dia macam biasalah. Murah dan bermacam-macam.


Masih banyak lagi ruang kosong untuk sesiapa yang ingin berniaga di sini.

Bagi sesiapa yang nak berjalan-jalan tetapi ingin tempat yang santai untuk keluarga boleh lah datang di sini. Di sini juga banyak mainan untuk kanak-kanak kecil bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga di hari minggu. Lokasi dia boleh lah Waze atau Google Maps lokasi M3 Mall, Taman Melati. Parking dia murah dalam RM4.00 sekali masuk. Kalau tak nak parking di dalam boleh parking di tepi jalan berhadapan dengan M3 Mall ni. Tapi jangan parking sesuka hati nanti terhalang kedai orang naya jadinya kerana banyak kedai-kedai kecil wujud di sepanjang jalan di hadapan M3 Mall ini.

Selamat berlibur.

Saturday, May 26, 2018

Sungai Bunus Trail Siri 2: Mata Air Sungai di Kuala Lumpur

Merujuk kepada tulisan sebelum ini, Sungai Bunus Trail telah dibangunkan oleh pihak DBKL bertujuan untuk memulihkan semula sungai yang tercemar ini di samping meningkatkan lagi kawasan rekreasi dan kawasan hijau di Bandaraya Kuala Lumpur khususnya di Wangsa Maju ini. Tindakan adalah selaras di dalam kempen pemulihan Sungai Klang yang dikenali sebagai River Of Life (RoL) yang telah dilancarkan oleh pihak kerajaan beberapa tahun dahulu. Sungai Bunus turut dimasukkan sekali di dalam kempen RoL ini berikutan aliran Sungai Bunus ini merupakan salah satu daripada cabang Sungai Klang yang bertembung di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Papan Tanda Sungai Bunus di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur

Sungai Bunus ini agak unik jika dibandingkan dengan sungai yang lain di Kuala Lumpur ini. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur, sungai ini adalah satu-satunya sungai yang bermula dan berakhir di Kuala Lumpur tanpa melalui Negeri Selangor. Kenyataan yang dibuat oleh pihak JPS KL ini agak menarik kerana umumnya telah diketahui seluruh kawasan Kuala Lumpur telah pun dibangunkan melainkan beberapa kawasan kecil sahaja yang telah digazetkan sebagai kawasan hutan atau kawasan hijau. Jadi di manakah mata air Sungai Bunus yang menjadi permulaan air sungai ini?

 Aliran Sungai Bunus di Setapak mengikut Google Maps

Menggunakan Google Maps, aliran air sungai ini dapat diselusuri untuk dilihat di mana bermulanya sungai ini. Secara awalnya, kawasan Wangsa Maju sememangnya telah disahkan tempat bermulanya sungai ini mengalir sebelum memasuki kawasan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur ini. Setelah membuat sedikit kajian dan pemerhatian, akhirnya mata air Sungai Bunus ini dapat dijumpai dan sememangnya ia bermula di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Aliran air jernih jelas kelihatan di Mata Air Sungai Bunus

 Punca mata air Sungai Bunus yang mungkin ditadah oleh penduduk berhampiran.


Mata air Sungai Bunus ini bermula di Wangsa Melawati di belakang Kem PULAPOT, Jalan Genting Klang. Aliran ini bermula di kawasan hutan kecil di hadapan kawasan perumahan Wangsa Melawati dan memasuki longkang dan akhirnya melalui longkang besar (monsoon drain) dan mengalir ke Setapak, Kg Bharu dan akhirnya bertembung dengan Sg Klang. Di sini, airnya agak jernih dan boleh digunakan sebagai alternatif untuk bekalan air sementara penduduk berhampiran sekiranya berlaku keputusan bekalan air. Ekosistem di sini tidaklah terlalu kompleks dan tiada kelibat ikan sungai di mata air ini melainkan hanyalah lumut dan air bersih semata-mata. Semoga mata air Sungai Bunus ini dapat dikekalkan dan tidak dimusnahkan di dalam episod pembangunan supaya ia dapat menjadi tatapan anak-anak Wangsa Maju di masa hadapan.

Wednesday, May 23, 2018

Bazar Ramadhan Wangsa Maju: Taman Sri Rampai

Apabila bulan Ramadhan menjelma, banyak Bazar Ramadhan dibuka yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa di seluruh negara. Bagi warga kota di Kuala Lumpur khususnya di Wangsa Maju ini, Bazar Ramadhan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesibukan untuk memasak terutamanya bagi pasangan keluarga yang bekerja. Di samping itu, ia juga menjadi sumber rezeki bagi mereka yang ingin berniaga di bulan yang mulia ini.

Di Wangsa Maju ini, terdapat banyak Bazar Ramadhan dibuka bagi memenuhi keperluan penduduk Wangsa Maju di bulan Ramadhan ini, Antaranya adalah di Bazar Ramadhan di Taman Sri Rampai.  Bazar Ramadhan ini agak kecil tetapi padat dan dipenuhi oleh peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan. Di sini, makanan tradisi daripada Kedah, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut dijual di sini. Agak kelakar gak bila dengar riuhnya para peniaga ini menjerit untuk menarik para pelanggan. Yang asal utara memanggil dengan loghat utara dan yang asal Kelantan memanggil dengan loghat Kelantan. Harga yang dijual di sini juga agak berpatutan berikutan kebanyakan yang datang ke sini merupakan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Boleh kata pasar juadah mampu beli la senang cerita.


Pandangan Bazar Ramadhan Taman Sri Rampai di jalan masuk. Penuh dengan warga Wangsa Maju yang jalan-jalan bershopping beli makanan untuk juadah berbuka puasa. 

 Ayam Percik ni nampak padu je tengok. Biasalah bulan puasa nampak apa pun sedap.

Jus Nenas yang diperah terus daripada buah. Siap tunjuk buah nenas sekali. Tak pasti dia jual sekali ke tak nenas tu.

 Sup Utara diterbangkan khas daripada Kedah untuk Warga Wangsa Maju

Coq Keria Gula Melaka. Manis dia memang potong kaki baq angg..



Bagi sesiapa yang mahu datang ke mari, bazar ini terletak di tepi Tasik Sri Rampai iaitu di Medan Selera di sebelah tasik dan berhadapan dengan Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah,Taman Sri Rampai. Di sini, tempat parking agak limited berikutan ramainya orang yang hadir ke sini terutamanya selepas pukul 5 petang. Jadi pandai-pandai la cari parking di sini ya. Di samping boleh membeli belah di sini, pengunjung juga boleh berehat-rehat menenangkan fikiran dengan berjalan-jalan di Tasik Sri Rampai yang terletak bersebelahan dengan Bazar Ramadhan di sini. Jika hendak berbuka puasa di sini pun boleh kerana di sini juga terdapat Medan Selera yang terletak di betul-betul bersebelahan dengan Bazar Ramadhan di sini. Tetapi berbelanjalah dengan berhemah dan jangan membazir. Seeloknya bolehlah bersedekah makanan kepada Masjid di sebelah Bazar Ramadhan ini dan jangan lupa solat Maghrib selepas berbuka di sini. Pahala dapat berkat pun dapat ye dok.


Sekian laporan daripada Wangsa Maju Boyz…

Friday, May 4, 2018

Kem Wardieburn Kebanggan Wangsa Maju



Pandangan Kem Wardieburn daripada Google StreetView. Tak boleh ambil gambar nanti kena tangkap

Kem  Wardieburn merupakan salah satu daripada kem Tentera Darat Diraja Malaysia yang masihlagi  wujud di ibu kota Kuala Lumpur ini. Kewujudan kem ini terletak di Jalan Genting Kelang berhadapan dengan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di dalam kawasan Wangsa Maju. Kem Wardieburn ini menempatkan Divisyen 4 Tentera Darat dan kewujudan tentera di kawasan Wangsa Maju dan Setapak ini telah menjadi norma kebiasaan di sini. Seringkali warga Wangsa Maju dapat melihat para tentera yang berpakaian segak dan kemas bersarapan pagi atau makan tengahari di sekitar kedai makan di Danau Kota, Sri Rampai dan kawasan berhampiran.

Jika melihat pada kewujudan sejarah kem ini, ada tulisan yang mengatakan nama Kem Wardieburn ini adalah bersempena dengan pengeboman tentera Jepun di sini sewaktu penjajahan Jepun  di Tanah Melayu dan diambil sempena dengan perkataan War, Die dan Burn yang bermaksud Perang Mati Terbakar. Namun begitu, jika dilihat pada sejarah kawasan ini, tidak terdapat sebarang catatan yang menguatkan dakwaan ini melainkan hanya sebagai anggapan daripada maksud terjemahan perkataan Wardieburn itu sendiri semata-mata.


Rekod Peta Kuala Lumpur pada Tahun 1955 yang menunjukkan kewujudan Wardieburn Estate.

Kem Wardieburn ini diambil sempena dengan nama kawasan kem ini diwujudkan iaitu di Wardieburn Estate yang merupakan nama asal kawasan Danau Kota dan Taman Melati. Wardieburn Estate ini dimiliki oleh KL Rubber Co. Ltd kini dikenali sebagai Kuala Lumpur-Kepong Amalgamated Limited. Syarikat ini masih lagi wujud sehingga kini dan bergerak sebagai syarikat antarabangsa yang terlibat di dalam aktiviti hartanah dan perladangan di Malaysia dan Indonesia. Nama Wardieburn Estate ini telah pun wujud seawal tahun 1890an dan menunjukkan dakwaan nama ini diambil sempena pengeboman tentera Jepun adalah diragui sama sekali. Adalah dipercayai nama Wardieburn diambil sempena nama kawasan perumahan (Housing Estate) Wardieburn yang terletak  di Edinburgh, United Kingdom. Ketika di zaman British dahulu, adalah menjadi kebiasaan untuk para peneroka dan pemilik ladang British untuk menamakan kawasan ladang mereka dengan nama tempat di tanah air mereka di Britain. Sebagai contoh, Wangsa Maju dahulu dikenali sebagai Hawthornden Estate dan juga sebahagian daripada Datuk Keramat dikenali sebagai Kent Estate.

Rekod yang menunjukkan tahun kewujudan Wardieburn Estate sebelum Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. 

Di waktu pendudukan Jepun, Wardieburn Estate ini telah ditinggalkan dan dibiarkan kerana pihak British telah bertindak menghapuskan kilang memproses getah dan merosakkan pokok getah untuk mengelakkan daripada pihak tentera Jepun untuk mengambil hasil daripada ladang ini. Selepas British kembali, ladang getah ini dipulihkan semula oleh pemilik ladang dan pekerja estet mula dipanggil semula untuk bekerja di ladang ini. Kewujudan Kem Wardieburn ini bermula seawal sebelum merdeka selepas pihak Kerajaan mengambil sebahagian tanah daripada Wardieburn Estate ini untuk digunakan sebagai Kem Tentera Ghurka. Ketika di waktu darurat sekitar tahun 1948-1960, kawasan ladang getah di sekitar Wardieburn Estate ini dipenuhi dengan binatang buas di samping terdapat juga ancaman serangan dan penyusupan (ambush & infiltration) daripada pihak Komunis. Malah beberapa orang pekerja ladang penyelia warga British yang bekerja di ladang ini juga telah dibunuh oleh pihak Komunis di waktu darurat dahulu. Oleh itu, kewujudan kem Wardieburn ini dilihat dapat membantu menumpaskan pihak Komunis di kawasan sekitar ini di samping memberi perlindungan keselamatan ke atas pemilik dan pekerja ladang di kawasan sekitar.



Lawatan Pesuruhjaya Edward Gent ke Kem Ghurka di Wardieburn Estate. Beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi di Tanah Melayu yang mengisytiharkan darurat pada 1948.

Pada waktu kini, banyak kem-kem di kawasan bandar Kuala Lumpur telah dipindakan seperti Kem Ampang dan Kem Pangkalan Udara Sungai Besi. Namun begitu, Kem Wardieburn masih berdiri megah dan warga Kem Wardieburn juga dianggap sebagai salah satu daripada komuniti Wangsa Maju juga. Ramai juga anak-anak askar daripada Kem Wardieburn ini bersekolah di sekitar Danau Kota dan Setapak dan ada warga tentera yang terus menjadi warga Wangsa Maju selepas menamatkan perkhidmatan mereka di Kem Wardieburn ini. Kewujudan mereka ini membantu memberi perlindungan keselamatan kepada warga kota di samping turut membantu menjana ekonomi setempat di sekitar kawasan Kem Wardieburn. Terima kasih kerana tetap setia bersama Warga Kota Wangsa Maju.