Kita jarang sekali mendengar sejarah yang berlaku pada tempoh masa di antara selepas kehadiran British sehingga kehadiran Jepun. Tidak banyak yang diceritakan sedangkan tempoh di antara bermulanya penjajahan British sehingga kehadiran penjajah Jepun adalah agak lama juga iaitu di antara 60-100 tahun. Yang kita selalu dengar adalah cerita British yang memodenkan ekonomi negeri, mengangkut hasil negeri balik ke England dan membawa masuk secara besar-besaran buruh imigran dari China dan India. Tetapi sebenarnya, banyak juga perkara yang berlaku pada tempoh itu dan sedikit sebanyak turut mewarnai sejarah kepada kawasan Wangsa Maju ini.
Alkisah selepas tamat Perang Klang dan Negeri Selangor mulai aman, penerokaan tanah dan perkembangan ekonomi di Negeri Selangor mulai berkembang pesat. Apabila British telah menjadi Residen (pangkat Menteri Besar pada waktu kini), ramai peniaga British mula melabur untuk membuka ladang-ladang dan lombong secara besar-besaran bersama peniaga Cina. Di kawasan Wangsa Maju sahaja, ladang seperti Hawthornden, Gonggang, Wardieburn, Amherst, Klang Gates dan Kent mula dibuka di kawasan sekitar Wangsa Maju. Walaupun begitu, kampung-kampung Melayu masih lagi wujud dan dirizabkan di kawasan-kawasan tertentu seperti di Kg Sg. Telaga (kini Dam Klang Gates) dan Gombak (kini Gombak Lama). Pembukaan ladang-ladang dan lombong ini meningkatkan populasi buruh imigran dari China dan India yang bekerja dengan mereka dan kini memberi kesan demografik kepada penduduk Wangsa Maju.
Kehadiran buruh-buruh ini membuka perniagaan sindiket pemerdagangan manusia. Mereka ini dikawal sepenuhnya, ada yang bekerja sehingga mati, dibaham harimau atau dipatuk ular kerana bekerja di dalam ladang, dibayar dengan gaji yang sangat murah dan tidak memperolehi sebarang faedah tambahan seperti perubatan dan bonus. Apabila pengaruh komunis mula masuk ke Malaya, mereka mula mempengaruhi para buruh-buruh ini untuk memberontak dan meminta supaya kehidupan mereka ditambah baik. Pada waktu itu, Parti Komunis mempengaruhi buruh untuk menubuhkan kesatuan (union) dan mengemukakan 19 permintaan (19th demand) kepada pemilik estet atau mereka akan melancarkan mogok. 19 permintaan tersebut adalah:
1. Mengurangkan tugasan menoreh getah daripada 400 pokok sehari kepada 250 pokok sehari (munasabah rasanya)
2. Mengehadkan tugasan menoreh getah sebanyak 50 pokok bagi kawasan bercerun tinggi (pun munasabah juga)
3. Setiap buruh menerima gaji tetap 1 dolar sehari (bukan kerja sambilan)
4. Setiap getah sekerap hendaklah dibayar dengan harga 3 sen untuk 1 paun dan tugas menanda pokok getah dibayar 50 sen sehari (tak berapa nak faham apa dia tugas menanda pokok getah?)
5. Bayaran pampasan pisau torehan 50 sen sebulan (atas alasan buruh tidak sepatutnya membayar sendiri kos untuk membeli pisau torehan yang telah tumpul atau rosak).
6. Elaun 2 dolar tambahan untuk tugasan mencuci mangkuk getah (kerja lebih gaji lebih)
7.Elaun 2 dolar tambahan sekiranya ada tugasan tambahan diberikan selepas tugasan hakiki selesai (kerja lebih gaji lebih)
8. Bayaran 6 dolar untuk pekerja wanita yang mengandung sebelum bersalin dan 6 dolar lagi selepas wanita bersalin (untung untuk perempuan)
9. Melantik pengasuh bagi setiap 4 orang kanak-kanak pada kos 18 dolar sebulan untuk menjaga anak pekerja (elaun taska. sekarang pun patut ada)
10. Pengurus perlu mematuhi Kod Buruh yang ditetapkan kerajaan pada waktu itu
11. Pengurus hendaklah membina sekolah dan melantik serta membayar Guru Besar untuk menguruskan sekolah tersebut pada kadar 15 dolar sebulan (gaji guru besar lagi kecil dari pengasuh)
12. Kerja-kerja tambahan (selain menoreh getah) yang diberikan perlu dibayar pada kadar 80 sen sehari dan hanya boleh disuruh pada tempoh 8 jam bekerja (tak boleh OT)
13. Tiada buruh yang boleh dipecat dan buruh yang baru tidak boleh diambil tanpa keizinan buruh sedia ada (siapa bos sekarang)
14. Duit pendahuluan gaji yang digelar duit sayur (mungkin untuk pekerja beli sayur) sebanyak 6 dolar hendaklah dibayar setiap 15hb dan notis pemberian gaji hendaklah dimaklumkan 3 hari sebelum.
15. Rumah pekerja yang disediakan hendaklah cerah dan bersih serta disimen lantainya.
16. Paip air hendaklah disediakan atau telaga yang disediakan hendaklah dibersihkan (nak bersihkan pun suruh bos)
17. Tiada kerja pada cuti umum (dah tau mana P.Ramlee dapat idea)
18. Jawapan permintaan ini hendaklah di dalam bahasa cina dan inggeris dan dicop dengan cop pengurus (nak jawapan black and white)
19. Wad Kelas Kedua dan gaji separuh jalan sekiranya pekerja sakit (agaknya tambah sebab lupa nak letak sebelum no 18)
-Nota: teks dalam kurungan tu tambahan ayat sendiri sahaja. Jgn ambil serius sangat.
19 Permintaan ini sangat popular di kalangan buruh cina sehinggakan buruh-buruh ladang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang turut dipengaruhi dengan perkara ini. Di dalam sejarah, mogok yang paling popular adalah mogok di Batu Arang yang dipengaruhi komunis tetapi ramai yang tidak tahu bahawa Ladang Hawthornden dan Ladang Wardieburn di Wangsa Maju ini antara salah satu lokasi pemogokan yang paling serius berlaku di Malaya pada tahun 1937. Diceritakan bahawa parti komunis melalui union telah menghasut para buruh wanita cina untuk tidak bekerja pada Hari Wanita Sedunia iaitu pada 8 Mac sebagai menghormati hari itu. Namun begitu, pengurus Ladang Hawthornden pada waktu itu mengambil langkah memecat buruh yang tidak bekerja dan menggantikan mereka dengan buruh jawa. Makanya, semua buruh-buruh cina di ladang Hawthornden dan ladang Wardieburn bertindak melakukan mogok. Mereka menuntut dan tidak mahu bekerja dan menghantar 19 Permintaan ini kepada pengurus untuk dipenuhi dan mengancam untuk terus mogok sekiranya ia tidak dipenuhi. Diceritakan bahawa mereka menunggu di hadapan pejabat pengurus dengan botol kaca dan pisau penoreh di tangan dan bersedia untuk merusuh sekiranya permintaan mereka tidak dilayan. Makanya pengurus ini telah menghubungi polis dan berlakunya rusuhan secara besar-besaran di ladang ini.
Pada waktu rusuhan berlaku, para buruh-buruh ini telah membina kubu pertahanan dengan bersenjatakan senjata tajam dan botol kaca dan mengancam untuk menyerang sesiapa yang mengganggu mereka. Polis yang hadir pada waktu itu kemudian menyerang dan berlaku pertempuran di antara para buruh dan polis dan akhirnya para buruh ini menyerah dan bersurai selepas ketua-ketua mereka ditangkap polis. Selepas itu barulah pihak pengurus dan wakil buruh berbincang untuk memenuhi permintaan masing-masing dengan diawasi oleh pihak polis. Kesan daripada peristiwa ini membawa kepada penubuhan cawangan komunis secara rahsia di ladang tersebut serta di kawasan setapak dan memberi kesan yang besar ketika berlakunya darurat sebelum merdeka.
Kisah ini mungkin tidak diceritakan tetapi kita sebagai warga Wangsa Maju seharusnya tahu sejarah yang berlaku di tempat kita suatu ketika dahulu. Para buruh-buruh inilah yang melahirkan generasi penduduk asal Wangsa Maju pada waktu ini dan merintis kepada undang-undang buruh yang ada sekarang.
Kehidupan buruh ladang getah pada waktu dahulu.
Buruh cina di Malaya satu ketika dahulu. Sekarang ni generasi mereka mungkin dah jadi tokei kedai di Low Yat.
Mengapa komunis boleh memenangi warga buruh pada waktu itu?yang itu nanti akan diceritakan kemudian. Tak boleh nak cerita semua nanti tak ada story dah.
Sekian sahaja sejarah untuk kali ni. Terima kasih kerana membaca walaupun anda bukan warga Wangsa Maju.
Menariknya 👍🏻
ReplyDelete