Sejarah Kuala Lumpur ini penuh berwarna warni namun banyak cerita yang masih samar-samar dan tidak diketahui orang. Walaupun begitu, semua sejarawan bersetuju dengan kata sepakat bahawa sejarah Kuala Lumpur bermula apabila Raja Abdullah, penguasa Klang ketika itu membuka lombong bijih timah di Ulu Kelang dan Ulu Ampang dan di sinilah sejarah Kuala Lumpur mula ditulis.
Di sini sejarah menjadi agak menarik untuk warga Wangsa Maju kerana Ulu Kelang dan Ampang hanya terletak bersebelahan sahaja dan bahkan sebahagian Wangsa Maju ini juga turut dikenali sebagai Ulu Kelang suatu ketika dahulu. Tetapi di manakah letaknya lombong bijih timah di Ulu Kelang?
Pelan ini dikeluarkan oleh pihak British pada tahun 1883 pada anggaran 10 tahun selepas tamatnya Perang Klang. Berdasarkan pelan ini, hanya ada 2 sahaja lombong bijih timah yang wujud iaitu 1 di Ulu Kelang dan 1 lagi di Ampang tepat sebagaimana yang ditulis oleh sejarah iaitu kedua-dua lombong inilah lombong bijih timah asal dipunyai Raja Abdullah. Berdasarkan jaraknya yang hampir dengan Bukit Dinding, kita boleh mengganggarkan bahawa lombong ini terletak di berhampiran Sungai Kelang di lokasi yang dikenali sebagai Lembah Gisir mengikut catatan sejarah.
Jika kita melihat lokasi ini, kesan-kesan lombong di Ulu Kelang telah pun lenyap kerana pembangunan pesat di sini. Namun begitu, berdasarkan catatan sejarah, lombong bijih timah pertama yang dibuka oleh Raja Abdullah di Ulu Kelang ini terletak di sekitar Batu 7, Ulu Kelang pada tahun 1857. Jika kita melihat lokasi di sekitar ini pada waktu kini, kita dapat melihat terdapat Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kelang, Masjid Besar Hulu Klang (atau Masjid Al-Ridhuan) dan pekan kecil cina yang masih wujud hingga ke hari ini menunjukkan suatu ketika dahulu kawasan ini merupakan suatu kawasan bandar lama yang wujud disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang rancak. Namun setelah bijih timah sudah habis dilombong atau kemusnahan disebabkan peperangan yang berlaku semasa Perang Saudara Selangor atau Perang Kelang, lombong ini ditinggalkan dan tiada lagi kesannya sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment