Selepas peperangan di Bukit Dinding, tidak ramai yang mengetahui bahawa di Ulu Kelang juga berlaku satu pertempuran yang dasyat yang dikenali sebagai pengepungan Ulu Kelang atau Siege of Ulu Kelang Fort. Pertempuran ini memberi impak yang besar kepada keseluruhan Perang Saudara Selangor sehingga ia turut dilaporkan di dalam suratkhabar British di Singapura pada 10 April 1873
Apa yang sebenarnya berlaku di dalam peperangan ini?Dalam tempoh di antara 1871-1872, tentera Raja Mahadi bergabung dengan orang-orang Sumatera yang diketuai oleh Raja Asal, orang-orang Melayu yang diketuai Sayid Masahor dan sebahagian orang-orang Bugis yang terdiri daripada kerabat diraja Selangor menyerang pakatan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur dan berhasil menawannya sepenuhnya. Beratus-ratus orang Cina diketuai Yap Ah Loy dan tentera Tengku Kudin pada ketika itu termasuk beberapa askar upahan Eropah telah dibunuh, disembelih dan kepala mereka dipacak di pintu masuk Kuala Lumpur sebagai tanda kemenangan mereka. Kemenangan menawan Kuala Lumpur pada ketika itu menjadi simbolik kejayaan Raja Mahadi berikutan bekalan bijih timah yang banyak dilombong di Kuala Lumpur dan memberi kesan kepada ekonomi Negeri Selangor pada ketika itu.
Melihat jatuhnya Kuala Lumpur kepada Raja Mahadi, Tengku Kudin mula kerisauan kerana beliau telah berhutang banyak di dalam peperangan dan kejatuhan Kuala Lumpur akan memberi kesan buruk kepada beliau kerana hilang kawasan yang menjadi sumber ekonomi kepada Selangor pada ketika itu. Tengku Kudin kemudian telah bermudik ke Pahang dan berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang yang baru sahaja selesai menang Perang Saudara Pahang untuk memohon bantuan ketenteraan beliau. Tengku Kudin menawarkan hak cukai kepada Pahang sebagai cagaran sekiranya beliau menang di dalam peperangan ini. Selepas mendapat persetujuan daripada Pahang, beliau pun pulang ke Klang dan mula mengumpul tentera bersama-sama Yap Ah Loy untuk menawan semula Kuala Lumpur. Di sinilah bermulanya The Siege of Ulu Kelang Fortress.
Mengetahui orang Pahang akan datang menyerang Selangor, Raja Asal yang merupakan ketua orang Sumatera pada waktu itu telah membina kubu di sepanjang jalan masuk Selangor-Pahang pada ketika itu. Dikhabarkan sebanyak 5 kubu telah dibina daripada Ulu Kelang di Genting Bidai hinggalah ke Kuala Lumpur di Bukit Nanas. Raja Asal pernah berperang dengan orang Pahang sebelum ini dan beliau mengetahui bagaimana caranya orang Pahang berperang dan masing-masing menyusun strategi di dalam peperangan ini.
Orang Pahang pada waktu itu telah mengumpulkan hampir 2000 orang dan diketuai oleh Imam Perang Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah. Peperangan ini juga turut diceritakan sebagai perang menunjukkan kekuatan ilmu perang masing-masing dan ilmu kebal dipasang pada setiap tentera mengikut cara dan kaedah tersendiri. Apabila tiba masanya, tentera Pahang melintas Bentong dan bergerak menyerang secara 2 penjuru iaitu dari arah Kepong dan dari arah Ulu Kelang. Tujuan serangan 2 penjuru ini bertujuan mengelakkan tentera Raja Mahadi melarikan diri dan mengepong mereka (dari sini mulanya nama Kepong di kawasan Kuala Lumpur) manakala tentera Tengku Kudin dan Yap Ah Loy pula akan menyerang dari arah Klang menuju Damansara terus ke Kuala Lumpur. Tok Gajah pula mengetuai sepenuhnya serangan dari arah Ulu Kelang kerana beliau sememangnya mempunyai krisis peribadi dengan orang Sumatera terutamanya kepada Raja Asal di dalam Perang Saudara Pahang sebelum ini.
Raja Asal pula kemudian telah membina kubu di Ulu Kelang di Genting Bidai yang dikenali dengan nama Kota Pemulas dan terletak berhampiran dengan Bukit Tabor untuk menyekat serangan orang Pahang. Tidak diketahui bagaimana rupa bentuk kubu tersebut tetapi ia dipercayai menyerupai reka bentuk Kota Lukut. Mengikut sejarah, Raja Asal pada awalnya telah menawarkan tentera Pahang wang dan bekalan makanan sebagai balasan untuk tidak masuk menyerang mereka. Pada mulanya, tentera Pahang hampir bersetuju dengan tawaran itu namun tanpa disangka Tok Gajah telah memulakan serangan tanpa diketahui oleh pasukan tentera Pahang dan bermulalah Siege of Ulu Kelang Fort.
Babak 1:
Serangan bermula secara mengejut ketika Raja Asal masih berunding dengan pasukan tentera Pahang. Serangan mengejut Imam Perang Rasu atau Tok Gajah ini menyebabkan kubu ini ditawan sepenuhnya dalam tempoh yang pendek. Namun begitu, serangan melulu Tok Gajah tanpa diikuti pasukan utama menyebabkan pasukan Tok Gajah terpisah daripda pasukan utama.
Babak 2:
Selepas menawan kubu Ulu Kelang, tentera Raja Asal seramai 200 orang telah bertindak menyerang hendap tentera Pahang dan menyebabkan tentera Pahang mula terkepung dan tidak boleh bergerak keluar dan ke hadapan. Akhirnya selepas 15 hari, tentera Pahang diketuai Tok Gajah akhirnya berundur dan bergabung semula dengan pasukan utama yang berkumpul di Bentong
Babak 3:
Tentera Pahang telah berjaya membuat hubungan dengan Yap Ah Loy dan mendengar kejayaan Yap Ah Loy menawan Damansara dan menghampiri Kuala Lumpur, mereka telah membuat perbincangan dan bersetuju agar tentera Pahang tetap di kedudukan dan menutup jalan keluar tentera Raja Mahadi dari Kuala Lumpur. Tentera Pahang kemudian berjaya menawan Batu Arang di Gombak dan kemudian mereka mula menyerang dari arah belakang dan hadapan Kubu Raja Asal. Walaupun dikepung dari arah segenap arah, tentera Raja Asal tetap menyerang dan bertahan sehingga menyebabkan ramai pahlawan Pahang tercedera dan terkorban.
Pada 23 Mac 1873, secara rasminya, tentera Raja Asal dan orang-orang Sumatera telah berundur ke Kuala Lumpur untuk bergabung dengan Sayid Masahor di Bukit Nanas dan Kubu Raja Asal dan seluruh Ulu Kelang akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Pahang. Kejayaan tentera Pahang ini menjadi titik mula kekalahan Raja Mahadi di dalam Perang Saudara Selangor dan akhirnya keseluruhan tentera Raja Mahadi menyerah kalah kepada Tengku Kudin dan Perang Saudara Selangor tamat jua akhirnya. Selepas tamat perang, Tengku Kudin menunaikan janjinya dan Ulu Kelang diperintah oleh orang Pahang yang diwakili oleh Orang Kaya Semantan atau lebih dikenali sebagai Dato Bahaman dan segala cukai hasil bijih timah di Ulu Kelang diambil oleh kerajaan Pahang sehingga hutang mereka dilangsaikan pada tahun 1875,
Selepas 150 tahun berlalu, adakah masih ada kesan perang ini?
Berdasarkan peta tahun 1870, laluan Genting Bidai adalah di bahagian barat Bukit Tabor atau dikenali sebagai Tabor West pada ketika ini. Kesan kubu ini telah pun hilang namun jika dicari InsyaAllah sedikit kesan mungkin boleh dijumpai. Berdasarkan kedudukan Genting Bidai, Kubu Raja Asal atau Kota Pemulas terletak berhampiran dengan Tol Gombak pada ketika ini. Mungkin para sejarahwan atau arkeologi boleh menjalankan kajian untuk menjejaknya kerana ia adalah salah satu daripada sejarah Kuala Lumpur dan Selangor yang penting untuk kita semua hayati.
No comments:
Post a Comment