Sunday, November 27, 2011

Gerai ala kampong di Kampong Pasir

Gerai makan atau warung adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan oleh mana-mana kaum atau bangsa di Malaysia ini. Gerai makan itu sendiri sudah menjadi budaya kita sebagai warga kota ini walaupun pembangunan dan kemodenan menguasai Bandaraya Kuala Lumpur yang serba maju ini. Bahkan kita sendiri pun akan berasa gelisah sekiranya sesuatu kawasan itu tidak mempunyai sebarang bentuk gerai sebagaimana seperti di kawasan terancang di Putrajaya dan Cyberjaya.

Gerai makan juga adalah satu simbolik pengagihan ekonomi di antara orang miskin dan orang kaya. Pergerakan kaum kapitalis yang berlumba-lumba mengumpul harta kekayaan dan menguasai hartanah sesuatu kawasan menyebabkan harga pasaran sesebuah premis perniagaan itu melonjak tinggi dan sewa yang dikenakan hampir tidak masuk akal harganya.Maka sudah tentu peniaga-peniaga kecil ini tidak mampu untuk menyewa premis 'moden' itu untuk dijadikan restoran. Maka menjaja lah mereka di gerai-gerai tepi jalan mengharapkan sedikit untung dan terpaksa menghadapi risiko disaman,dihalau dan diroboh oleh pihak yang berkuasa mengikut perintah untuk menjaga hati kaum kapitalis ini.

Gerai Pinang Sebatang, Kg Pasir Hulu Kelang

Pertama kali aku datang ke Gerai Pinang Sebatang di Kampong Pasir Hulu Kelang ini, terasa seolah-olah seperti aku betul-betul berada di dalam kawasan desa yang permai. Suasana bising daripada lebuhraya berdekatan dan pembinaan bangunan komersial baru seolah-olah tidak kedengaran di gerai ini. Yang didengari cuma bunyi Sungai Hulu Kelang yang mengalir jernih dipenuhi dengan ikan talapia dan bunyi radio yang memutarkan lagu-lagu nostalgia melayu daripada Klasik FM. Seolah-olah aku seperti berada di era P. Ramlee sedang menjalani penggambaran filem Masam-Masam Manis di Sekolah Hulu Kelang yang terletak hanya beberapa meter sahaja daripada gerai ini.

Layanan mesra daripada makcik kedai ini seperti membangkit kenangan silam di zaman 60 an dan tiada bangla, mat indon mahupun bangsa foreigner lain yang melayan aku seperti di restoran-restoran moden sekitar Wangsa Maju ini. Walaupun hanya bertiang kayu berbumbung zink serta berdinding papan, keunikan gerai ini memukau mana-mana pengunjung untuk datang semula ke gerai ini semata-mata untuk merasa semula pengalaman lampau menikmati juadah di gerai Melayu lama. Makanan dan minuman yang dijual juga sangat murah dan lebih murah daripada kedai 1 Malaysia yang diwar-warkan di dalam media itu. Nasi lemak yang aku nikmati seolah-olah seperti hidangan home-made dan kualiti air minumannya terasa jauh lebih baik dibandingkan daripada mapley2 di seluruh Wangsa Maju ini.

Bangku panjang kayu ala-ala bar di Modestos.Dah macam dalam cerita Labu Labi siot.

Pergh..Nostalgia habis gerai ni beb. Jangan sampai gerai ni keluar tv sudah lah.kang tak pasal2 jadi kedai batu lak kang..

Tapi sayang, asal aku pergi kedai ni mesti tutup. Biasalah kan orang Melayu yang berniaga..:)


Tuesday, September 20, 2011

Rumahku yang tinggi-tinggi

Di zaman di mana tanah sudah semakin mahal, sistem pembinaan rumah bertingkat seperti apartment, kondominium atau rumah pangsa dilihat salah satu pelaburan yang amat baik di mana penggunaan tanah adalah sangat minimum untuk pembinaan jumlah rumah yang maksimum. Bermula dari rumah pangsa kos rendah sehingga ke kondominium dan penthouse, semuanya boleh mendatangkan pulangan yang tinggi disebabkan tempat tinggal adalah salah satu keperluan asas yang setiap manusia perlukannya.

Aku juga dahulu pernah merasa tinggal di rumah pangsa di Lembah Keramat ketika di waktu kecil dahulu sebelum berpindah ke taman perumahan di Wangsa Maju ini. Walaupun rumah kecil, tetapi perasaan seronok tetap ada kerana terdapat ramai kawan-kawan di sekeliling dan kami semua rapat antara satu sama lain. Walaupun rumah lama kami sekeluarga telah disewa kepada orang lain, kadangkala dapat aku mengingati kemanisan pengalaman tinggal di rumah pangsa itu apabila aku melewati kawasan Lembah Keramat ini.

Sebenarnya, terdapat 1001 masalah yang timbul dari segi pengurusan sehingga kepada pembaikpulihan (maintenance) bagi perumahan bertingkat ini. Lebih memburukkan lagi apabila semua pihak menolak tanggungjawab masing-masing dan penghuni rumahlah yang menjadi mangsa keadaan ini. Maka kasihanlah sang penghuni rumah ini. Pinjaman rumah perlu dibayar tetapi keadaan rumah hanya cantik sedikit berbanding kandang kambing di Sg. Pusu.

Mari kita lihat apa punca mengapa semua ini boleh berlaku.

Rumah bertingkat ini terbahagi kepada 3 bahagian. Yang pertama, pengurusan adalah 100% diuruskan oleh pihak kerajaan. Kebiasaan bagi jenis rumah ini adalah seperti rumah PPR yang diuruskan oleh pihak DBKL contohnya di PPR Ayer Panas di Setapak dan PPR Ampang Hilir di Ampang. Yang kedua, pengurusan diuruskan oleh pihak pemaju atau syarikat pengurusan swasta yang dikenali sebagai Management Committee (MC). Dan terakhir adalah pengurusan diuruskan oleh penduduk sendiri yang dikendalikan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bersama atau Joint-Management Board (JMB). Segala permasalahan penduduk seperti isu kebersihan bangunan, masalah aduan kacauganggu dan 1001 masalah lagi akan diselesaikan oleh pihak-pihak ini bergantung kepada jenis-jenis pengurusan yang digunakan di kawasan masing-masing.

Jika dilihat di atas kertas, sememangnya segala-gala adalah sempurna dan tiada cacat cela. Tapi realitinya hanya penduduk sahaja yang menanggung bebannya. Walaupun penduduk membayar yuran pengurusan setiap bulan, masalah yang berlaku tetap ada. Kes-kes kecil seperti kebocoran air, penduduk membela anjing di dalam rumah dan kerosakan lampu pun kadang-kala lambat diselesaikan atau tidak diselesaikan langsung.Apabila kes besar berlaku seperti bangunan mula retak, kemudahan awam dan infrastruktur jahanam (lebih teruk dari rosak) dan perkara-perkara yang melibatkan kos kewangan yang tinggi, semuanya melepaskan tangan dan menyalahkan satu sama lain. Penduduk menyalahkan pengurusan kerana tidak bertindak dan pengurusan menyalahkan penduduk kerana ada penduduk yang tidak membayar yuran pengurusan.

Sampai bila isu ini akan berakhir. Kasihan pada mereka yang bergolok gadai membeli rumah idaman tapi akhirnya rumah mereka berstandard sebuah kandang kambing sahaja. Baru-baru ini, kerajaan Selangor ada mengumumkan bantuan kewangan sebanyak 80% kepada penduduk rumah bertingkat ini bagi membantu menampung kos membaikpulih dan menambahbaik infrastruktur dan keadaan rumah bertingkat ini. Perdana Menteri pula akan menanggung kos utk mengecat rumah bertingkat bagi mana-mana rumah bertingkat yang dilawati beliau.

Rumah Flat dan Apartment di Keramat Wangsa. Rupanya cantik sikit daripada kandang kambing menanti kedatangan Perdana Menteri utk bantuan cat.

Janganlah asyik difikirkan undi rakyat sahaja di pilihanraya. Setiap pemimpin tempatan tidak kira kecil atau besar patut turun padang membantu mereka ini. Kadar jenayah dan masalah sosial di kawasan PPR semakin meningkat dan menghantui penduduk setempat. Masalah kebersihan masih menjadi isu utama di kebanyakan rumah pangsa. Di sesetengah rumah Kondominium dan Apartment di Bukit Antarabangsa masih tidak memiliki Sijil Layak Menduduki atau CF walaupun mereka telah menduduki rumah itu selama 20 tahun!! . Itu tidak termasuk kondominium mewah yang retak seperti di Bukit WangsaMas tetapi masih lagi dijual pemaju, kondominium yang sudah mula senget dan tenggelam di Bukit Antarabangsa kesan tanah runtuh tetapi tiada tindakan dibuat oleh mana-mana pihak dan rupa rumah flat di Keramat Wangsa yang cuma cantik sedikit keadaannya berbanding kandang kambing.

Rumahku yang tinggi-tinggi,
Tapi sayang semua orang sudah lari..



Wednesday, August 31, 2011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54

Perhimpunan menyokong kemerdekaan oleh UMNO Setapak di Pekan Setapak

Salam kemerdekaan kepada semua penduduk2 Malaysia tak kira apa bangsa mahupun agama. Tanpa disedari sudah54 tahun kita merdeka dan membebaskan diri daripada penjajahan dan pengeksploitasi daripada pihak kolonial barat. Walaupun masih terdapat unsur-unsur barat di dalam masyarakat Malaysia ini, kita bersyukur atas suasana aman dan damai serta memiliki kehidupan yang lebih selesa berbanding dengan negara lain yg masih huru hara dan kucar kacir walaupun sudah bertahun-tahun merdeka daripada penjajah.

Seiring dengan arus politik dan gerakan media alternatif, kini dapat dilihat telah muncul gerakan yang mengkaji dan cuba untuk menukar semula kajian sejarah yang telah ada di buku teks sekolah pada masa kini. Mungkin kerana disebabkan sifat tidak puas hati terhadap pemerintah, ingin menjadi pelopor gerakan baru rakyat atau cuba untuk menjadi populis bak kata ahli politik. Pelbagai pandangan dan fatwa dikeluarkan seolah-olah sejarah buku teks itu semuanya salah belaka dan 100% perlu diubah mengikut cita rasa mereka. Kaum india menuntut sejarah mereka, kaum cina menuntut sejarah merekadan kaum melayu berlainan kaum seperti jawa, bugis dan mendailing juga mahu menuntut sejarah mereka untuk dicatat di dalam buku teks sekolah ini.

Sebenarnya, sejarah Malaysia ini sentiasa dikaji sepenuhnya sama ada daripada pihak kerajaan, pihak NGO mahupun daripada pihak luar daripada semasa ke semasa. Berlainan dengan sejarah negara lain, sejarah negara kita agak unik kerana negara kita memiliki sejarah yang pelbagai disebabkan oleh berbilang kaum, adat resam dan budaya walaupun negara kita tidaklah sebesar seperti negara-negara Asia dan Eropah yang lain. Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan kaum dan budaya, kerajaan Malaysia telah meletakkan silibus subjek sejarah yang terbaik dan tidak memihak mana-mana kaum kecuali bagi mengelakkan perpecahan kaum.

Tetapi yang kini menjadi persoalan aku sehingga kini adalah benarkah Malaysia ini dijajah?

Sepanjang yang aku baca dalam sejarah ini, kita sebenarnya cuma mengambil alih pejabat yang dahulu diduduki oleh British sahaja sedangkan kita dahulu pernah memiliki pemerintahan sendiri dan memiliki empayar yang besar pada suatu ketika dahulu. Pemerintahan kesultanan waktu kini hanya cuma untuk memberitahu tarikh puasa dan raya sahaja kepada rakyat berbanding dahulu yang memiliki kedaulatan yang kukuh dan dihormati oleh semua orang.

Kita sememangnya layak memuji British dan menghina komunis kerana kita telah mengambil alih pejabat mereka dan menggunapakai cara pentadbiran mereka. Perkara yang sama mungkin berlaku sekiranya komunis memerintah negara kita ini. Oleh itu, mengapa perlu bertelingkah atas siapa yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita ini?

Begitu juga dengan kebanyakan pahlawan-pahlawan negeri Melayu ini. Kebanyakan mereka berjuang hanya apabila jawatan mereka tergugat dan pendapatan mereka terjejas akibat campur tangan pihak barat. Sedangkan campur tangan barat itu sendiri adalah permintaan daripada ketua negeri itu sendiri iaitu Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan. Oleh itu, pahlawan ini sebenarnya MENDERHAKA ke atas perintah sultan itu sendiri. Adakah layak penderhaka dikenang sebagai pahlawan? maka jadilah seperti kisah Hang Jebat menentang Hang Tuah.

Mat Kilau dan Datuk Bahaman bangkin menentang British kerana kehilangan hak mengutip cukai yang telah diserahkan oleh Sultan Pahang kepada pihak British. Tok Janggut bangkit dan menentang pengutipan cukai oleh pihak Sultan lalu memberontak dan menubuhkan kerajaan sendiri di Kelantan. Datuk Maharajalela merancang pembunuhan J.W.W Birch yang mendapat kuasa mengutip cukai daripada Sultan Perak dan akhirnya dihukum bunuh oleh pihak British. Penghulu Dol Said bersama pengikut-pengikutnya di Naning menentang British kerana mendakwa seluruh Naning adalah hak milik mutlak beliau tanpa menyedari kerajaan Johor telah pun menyerahkan Melaka keseluruhannya kepada penjajah.

Ini adalah sedikit sebanyak tokoh-tokoh perjuangan yang disanjung tinggi dan dianggap pahlawan di negara kita ini. Tetapi malangnya tiada siapa yang memberontak apabila Undang-undang sivil ciptaan British dikuatkuasakan di Tanah Melayu menggantikan hukum Islam yang digunapakai sebelum ini. Walaupun British tidak mencampuri hal ehwal adat istiadat di negara kita, tetapi mereka telah mengenalkan sistem kapitalis dan sekular sehingga hukum Islam hanya tinggal adat sahaja. Kehebatan Kesultanan Melaka dan Aceh dalam sistem perundangan dan hukum-hukum Islam kini hanya tinggal sejarah sahaja tanpa ada yang cuba memulihkannya semula.

Mengapa disalahkan kaum-kaum lain seperti Cina dan India sedangkan mereka ini hanyalah imigran yang hanya datang mencari rezeki di bumi Tanah Melayu yang kaya dan subur ini. Apabila British membina Padang Lumba Kuda untuk tujuan perjudian dan membina kelab malam atau nite club, tiada yang memberontak dan menghalang apa yang mereka yang lakukan sehingga hari ini. Yang diperjuangkan hanyalah tari menari, berjoget lambak dan nyayian-nyanyian sahaja tanpa menyedari masjid dan surau semakin kosong di awal pasca kemerdekaan.

Walaupun begitu, bersyukurlah kerana kini kita sudah mampu memerintah sendiri tanpa perlunya campur tangan daripada pihak luar untuk membantu kita. Sudah tiada lagi keganasan dan rusuhan di bumi Malaysia ini. Semua orang bebas untuk mencari rezeki dan membina kehidupan sendiri tanpa rasa takut pada penindasan seperti yang berlaku di negara luar. Semoga keamanan ini akan kekal berpanjangan di tanah Malaysia yang indah dan permai ini.

Salam Kemerdekaan yang ke 54 daripada Wangsa Maju Boyz

MERDEKA DARIPADA PEMIKIRAN PENJAJAH


Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri ke atas pembaca blog aku yang tak seberapa ini samada yang mengikuti blog ini mahu pun yang tersesat masuk ke blog aku ni. Di hari yang mulia ini, aku ingin sekali memohon maaf zahir dan batinatas segala kesilapan dan kesalahan kepada pembaca sekalian dan juga kepada rakan-rakan aku sekalian sekiranya ada terkasar bahasa ataupun tersinggung hati atas post-post aku sebelum ini. Sebaiknya jangan lah kita terlalu berdendam dan sesekali tunjukkanlah sedikit kemaafan di dalam diri kita ini. Sesungguhnya kita semua makhluk yg lemah dan sering melakukan kesilapan samada sedar atau tidak termasuklah aku yang tak seberapa ni.

Raya tahun ni aku lihat sudah mula ramai yg beraya di Wangsa Maju ini. Mungkin kerana Wangsa Maju ini sudah mula menjadi kg halaman masing-masing memandangkan sudah hampir atau lebih 20 tahun usia kebanyakan taman perumahan di sini termasuk taman perumahan aku ni. Masjid-masjid pun penuh seperti biasa di waktu sembahyang raya berbanding tahun-tahun sebelum ini. Tak mustahil suatu hari nanti mungkin kawasan Wangsa Maju ini yang akan sesak kerana pulangnya anak perantauan balik ke sini di waktu raya sebagaimana di kg-kg di seluruh negeri di Malaysia ini khususnya.

Walau apapun, diharapkan semoga Aidilfitri pada tahun ini akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya dan syiar islam akan terus berkembang di Wangsa Maju yang tercinta ini. Aku berharap suatu hari nanti Wangsa Maju ni akan terhindar dari sebarang maksiat dan akan tertegak islam di Malaysia bermula di tanah tumpah darahku di Wangsa Maju ini.

Salam Aidilfitri ikhlas daripada blogger Wangsa Maju Boyz @ Budak Wangsa Maju

Friday, August 12, 2011

Bazar Ramadhan

Bazar Ramadhan adalah sesuatu yg sangat sinonim dengan kita di waktu bulan Ramadhan ini. Ibarat pasar malam, di waktu inilah tukang masak - tukang masak tempatan menonjolkan kemahiran mereka di samping membantu peniaga kecil meningkatkat pendapatan mereka. Bak kata seorang Ustaz dari Kg. Baru, di bulan ramadhan inilah kita akan berjumpa dengan makanan yang tak pernah kita jumpa di waktu bulan biasa. Memang betul apa yg ustaz tu cakap. Setiap tahun bulan puasa pasti aku akan jumpa makanan2 yg pelik di bazar ramadhan ni.

Tetapi sebagai peringatan kepada pembeli, berwaspada dan pastikan makanan selamat untuk dimakan sebelum dibeli. Baru-baru ini di Klang, seorang budak perempuan telah meninggal dunia akibat keracunan makanan akibat daripada jangkitan taun. Penyakit taun ini kalau ikut apa yang doktor cakap, siapa yg penah terkena sah2 korang dah termakan najis dia. Penyakit ini rasanya dah lama silent tapi bila ada yg dah terkena maka kenalah berjaga-jaga kalau beli makanan luar.

Ada beberapa petua utk memastikan makanan yg korang nak beli tu selamat atau tidak iaitu:
  1. Bakteria pembawa penyakit sakit perut ini memerlukan suhu yg sesuai dan tempoh masa tertentu utk membiakkan penyakit. Jadi pastikan makanan itu dimasak atau dipanaskan depan mata korang. Kalau boleh mintadia masak baru je senang.
  2. Tgk pengendali makanan tu sendiri. Kalau dia tak pakai apron dengan tutup kepala, cari je la gerai lain. Kita tak tau baju dia tu dah pergi mana sebelum ni. Entah pakai baju 3 hari tak basuh terus masak pun kita taktau. Kalau tak pakai tudung tu pon kena jaga2. Nanti balik korang menyumpah pulak makan berlauk rambut.
  3. Elakkan beli lauk-pauk yang sudah tersedia. Ini pernah didedahkan oleh Ustaz di Kg Baru di mana beliau melihat sendiri kebanyakan lauk-pauk ini sudah dimasak dari awal pagi lagi. Tapi kalau korang rasa nak flushing perut tu ok la kot. Sekali sekala nak merasa cirit birit apa salahnya ye tak.
  4. Beli air bungkus yang dijamin sudah dimasak seperti air soya. Kebanyakan penjual ini menggunakan air paip yg tidak dimasak utk menjimatkan kos. Susah-susah korang beli air tin atau air kotak je senang.
  5. Tgk lokasi tapak pasar juadah. pastikan tapak pasar juadah berada jauh dari jalan utama. Nanti tak pasal2 ada yg makan makanan perisa asap kereta takpun berlaukkan pasir-pasir dan batu-batu tepian jalan.
Ini adalah sedikit sebanyak tips yg aku dapat sendiri daripada Pejabat Kesihatan Daerah. Tak banyak pun tips dia. Tapi seeloknya masak la sendiri kan. Sudah tentu terjamin kebersihan dan kalau kotor pun sudah tentu terjamin angkara korang. Lagipun masak sendiri lebih menjimatkan di kala zaman semua benda sudah naik harga ini. Tapi semuanya di tangan korang lah. Pilih lah sendiri mana satu yg korang suka.

Gambar ni adalah salah satu daripada pasar juadah yg ada kat Wangsa Maju ini iaitu di Sri Rampai dan Setiawangsa. Meriah gila tapi taktau apa yg menarik orang ramai di sini. Pertama kali aku tgk orang beratur panjang nak beli popia basah, murtabak dengan roti bom. Bukan makanan ni bulan biasa pun boleh dapat ke.
Huh..tak paham aku..






Monday, August 1, 2011

Salam Ramadhan



Maaf kerana lama tak update blog. Akhir-akhir ni banyak pulak kerenah dan dugaan bila nak update blog ni. Biasa la awal2 memang rajin tapi dah lama2 jadi sebu lak otak nak cari story.

Walaubagaimanapun, selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada setiap muslimin dan muslimah di Wangsa Maju mahupun di seluruh Malaysia khususnya. Selamat menjalani ibadat puasa dan banyakkan beribadah. Insya Allah aku akan cuba update blog ini dalam bulan Ramadhan ni. Dah ada story tapi tak ada masa pula nak type.

Salam Ramadhan kepada semua..

Thursday, July 28, 2011

Durian oh Durian..

Hari ni aku nak cerita sikit pasal buah durian yang merupakan buah yang paling dimegahi di Malaysia ini khususnya. Musim durian yang bermula seawal bulan 5 sehingga bulan 7 menjadikan kawasan Semenanjung Malaysia khususnya daripada Perlis sehingga lah ke Johor berkenduri durian di samping memberi pendapatan sampingan kepada peniaga kecil.

Disebabkan aku lahir dan menetap di KL ini, aku tak pernah merasa memiliki walau sepohon pun pokok durian ni. Tapi Alhamdullilah setiap tahun pasti ada yang akan mengajak aku ke kebun durian mereka. Kadang2 segan juga sebab ikut2 kawan sampai tuan kebun pun aku tak kenal. Tapi dah rezeki kan. Sebat je la ye tak.

Tapi tahun ini istimewa sikit sebab aku diajak ke kebun durian yang betul2 dekat je dengan rumah aku di Wangsa Maju ni. Terkejut jugak sebab sepanjang aku duduk dekat sini baru aku tau dekat situ ada dusun durian. Tempat yang aku maksudkan adalah di Melawati berdekatan dengan Empangan Klang Gates. Mula-mula memang tak percaya tapi bila tgk dengan mata kepala sendiri baru aku tau walaupun dah berpuluh2 kali aku mandi sungai dekat sana.

Sebelum ni memang aku perasan ada pokok durian berdekatan dengan Empangan Klang Gates ni. Tapi cuma sebatang dua je la yang aku nampak. Tapi bila diajak masuk ke dalam kawasan hutan ni baru aku nampak. Rasanya lebih daripada 20-30 pokok ada di dusun ni. Tapi bukan sebarangan orang boleh masuk dusun ni. Kalau bukan orang kampung ni memang tak merasa la masuk beb. Aku pun hairan macam mana kawan aku boleh kenal tuan kebun ni. Rasanya orang Melawati sendiri tak kenal tuan kebun ni rasanya.

Sebab aku ikut kawan aku ni, dapat la merasa sebiji dua buah durian dan diorang bagi gak 3-4 biji buah seorang utk bawa balik. Memang rezeki sungguh dapat buah durian percuma ni. Walaupun aku tak kenal, terima kasih banyak la aku ucapkan kan tuan kebun ni. Aku doakan moga-moga Allah akan menambah rezeki yang halal kepada korang. Amin..




Banyak weh pokok diorang tanam.Puas aku makan durian hari tu.