Tuesday, September 20, 2011

Rumahku yang tinggi-tinggi

Di zaman di mana tanah sudah semakin mahal, sistem pembinaan rumah bertingkat seperti apartment, kondominium atau rumah pangsa dilihat salah satu pelaburan yang amat baik di mana penggunaan tanah adalah sangat minimum untuk pembinaan jumlah rumah yang maksimum. Bermula dari rumah pangsa kos rendah sehingga ke kondominium dan penthouse, semuanya boleh mendatangkan pulangan yang tinggi disebabkan tempat tinggal adalah salah satu keperluan asas yang setiap manusia perlukannya.

Aku juga dahulu pernah merasa tinggal di rumah pangsa di Lembah Keramat ketika di waktu kecil dahulu sebelum berpindah ke taman perumahan di Wangsa Maju ini. Walaupun rumah kecil, tetapi perasaan seronok tetap ada kerana terdapat ramai kawan-kawan di sekeliling dan kami semua rapat antara satu sama lain. Walaupun rumah lama kami sekeluarga telah disewa kepada orang lain, kadangkala dapat aku mengingati kemanisan pengalaman tinggal di rumah pangsa itu apabila aku melewati kawasan Lembah Keramat ini.

Sebenarnya, terdapat 1001 masalah yang timbul dari segi pengurusan sehingga kepada pembaikpulihan (maintenance) bagi perumahan bertingkat ini. Lebih memburukkan lagi apabila semua pihak menolak tanggungjawab masing-masing dan penghuni rumahlah yang menjadi mangsa keadaan ini. Maka kasihanlah sang penghuni rumah ini. Pinjaman rumah perlu dibayar tetapi keadaan rumah hanya cantik sedikit berbanding kandang kambing di Sg. Pusu.

Mari kita lihat apa punca mengapa semua ini boleh berlaku.

Rumah bertingkat ini terbahagi kepada 3 bahagian. Yang pertama, pengurusan adalah 100% diuruskan oleh pihak kerajaan. Kebiasaan bagi jenis rumah ini adalah seperti rumah PPR yang diuruskan oleh pihak DBKL contohnya di PPR Ayer Panas di Setapak dan PPR Ampang Hilir di Ampang. Yang kedua, pengurusan diuruskan oleh pihak pemaju atau syarikat pengurusan swasta yang dikenali sebagai Management Committee (MC). Dan terakhir adalah pengurusan diuruskan oleh penduduk sendiri yang dikendalikan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bersama atau Joint-Management Board (JMB). Segala permasalahan penduduk seperti isu kebersihan bangunan, masalah aduan kacauganggu dan 1001 masalah lagi akan diselesaikan oleh pihak-pihak ini bergantung kepada jenis-jenis pengurusan yang digunakan di kawasan masing-masing.

Jika dilihat di atas kertas, sememangnya segala-gala adalah sempurna dan tiada cacat cela. Tapi realitinya hanya penduduk sahaja yang menanggung bebannya. Walaupun penduduk membayar yuran pengurusan setiap bulan, masalah yang berlaku tetap ada. Kes-kes kecil seperti kebocoran air, penduduk membela anjing di dalam rumah dan kerosakan lampu pun kadang-kala lambat diselesaikan atau tidak diselesaikan langsung.Apabila kes besar berlaku seperti bangunan mula retak, kemudahan awam dan infrastruktur jahanam (lebih teruk dari rosak) dan perkara-perkara yang melibatkan kos kewangan yang tinggi, semuanya melepaskan tangan dan menyalahkan satu sama lain. Penduduk menyalahkan pengurusan kerana tidak bertindak dan pengurusan menyalahkan penduduk kerana ada penduduk yang tidak membayar yuran pengurusan.

Sampai bila isu ini akan berakhir. Kasihan pada mereka yang bergolok gadai membeli rumah idaman tapi akhirnya rumah mereka berstandard sebuah kandang kambing sahaja. Baru-baru ini, kerajaan Selangor ada mengumumkan bantuan kewangan sebanyak 80% kepada penduduk rumah bertingkat ini bagi membantu menampung kos membaikpulih dan menambahbaik infrastruktur dan keadaan rumah bertingkat ini. Perdana Menteri pula akan menanggung kos utk mengecat rumah bertingkat bagi mana-mana rumah bertingkat yang dilawati beliau.

Rumah Flat dan Apartment di Keramat Wangsa. Rupanya cantik sikit daripada kandang kambing menanti kedatangan Perdana Menteri utk bantuan cat.

Janganlah asyik difikirkan undi rakyat sahaja di pilihanraya. Setiap pemimpin tempatan tidak kira kecil atau besar patut turun padang membantu mereka ini. Kadar jenayah dan masalah sosial di kawasan PPR semakin meningkat dan menghantui penduduk setempat. Masalah kebersihan masih menjadi isu utama di kebanyakan rumah pangsa. Di sesetengah rumah Kondominium dan Apartment di Bukit Antarabangsa masih tidak memiliki Sijil Layak Menduduki atau CF walaupun mereka telah menduduki rumah itu selama 20 tahun!! . Itu tidak termasuk kondominium mewah yang retak seperti di Bukit WangsaMas tetapi masih lagi dijual pemaju, kondominium yang sudah mula senget dan tenggelam di Bukit Antarabangsa kesan tanah runtuh tetapi tiada tindakan dibuat oleh mana-mana pihak dan rupa rumah flat di Keramat Wangsa yang cuma cantik sedikit keadaannya berbanding kandang kambing.

Rumahku yang tinggi-tinggi,
Tapi sayang semua orang sudah lari..