Sunday, September 23, 2018

Gonggang: Nama yang hilang di Setiawangsa


Bila disebut tentang Gonggang, pasti ramai yang tercengang dan tertanya-tanya apakah maksud perkataan itu. Jika disemak pada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun, perkataan gonggang ini tidak dijumpai dan bermaksud perkataan ini bukanlah datang daripada Bahasa Melayu. Tetapi apakah signifikan perkataan Gonggang ini dengan kaitannya Wangsa Maju ini?

Gonggang merupakan salah satu daripada mukim di Kuala Lumpur yang mula wujud seawal kuala Lumpur dibuka oleh Raja Abdullah pada awal abad ke 19. Lokasi Gonggang ini dipercayai terletak di sekitar Jalan Ampang sehingga ke sempadan Ulu Kelang dan kini merangkumi kawasan sekitar Jelatek, Setiawangsa dan Wangsa Maju. Jika diselusuri sejarah, nama Gonggang dipercayai berasal daripada nama pokok sagu yang dikenali sebagai pokok Gonggang. Jika merujuk kepada buku Celia Lowe bertajuk  Wild Profusion: Biodiversity Conservation in an Indonesian Archipelago, pokok ini banyak dijumpai di Indonesia dan tidak mustahil banyak dijumpai di sekitar kawasan pinggir Kuala Lumpur pada masa dahulu dan menyebabkan kawasan itu dinamakan sebagai Gonggang. Selain itu, nama Gonggang juga boleh dikaitkan dengan satu suku kaum melayu di sekitar Kepulauan Riau di Indonesia. Terdapat kemungkinan suku kaum ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan memberi nama kawasan tersebut sebagai Gonggang sebagai tanda kawasan suku kaum mereka itu.

Nama Gonggang dipercayai telah disebut seawal tempoh ketika berlakunya Perang Saudara Selangor atau Perang Klang yang meletus pada 1867 – 1874. Pada waktu itu, lokasi yang disebut sebagai Gonggang ini digunakan sebagai laluan ke Kuala Lumpur untuk menyerang dan berundur ke Pahang dan Kuala Kubu di Ulu Selangor oleh tentera yang menyokong Raja Mahadi. Berdasarkan semakan sejarah, antara lokasi yang menggunakan nama Gonggang adalah berikut:
  1. Kawasan Perkuburan Kg Gonggang (Kini dikenali Tanah Perkuburan Jalan Ampang yang terletak di sebelah KLCC)
  2. Kg Gonggang (Kini dikenali sebagai Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur)
  3.  Ladang Getah Gonggang Estate (Kini telah  dibangunkan dan dikenali sebagai Setiawangsa)



Keratan peta topografi Kuala Lumpur yang menunjukkan lokasi Gonggang Estate yang berhampiran dengan Hawthornden Estate.  
 Laporan pembangunan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) yang menunjukkan perubahan nama Gonggang Estate kepada Setiawangsa.


Sehingga kini, para sejarawan masih berdebat dan sedang menjejak lokasi kg Gonggang di mana terletaknya makam Raja Laut iaitu Kerabat Diraja Selangor yang menjadi Penghulu dan Majistret di Kuala Lumpur. Walaupun dipercayai beliau dikuburkan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, para sejarawan mempercayai bahawa terdapat kawasan perkuburan Diraja terletak di sekitar Gonggang di mana para kerabat Diraja dan raja-raja kerajaan lama terdahulu dimakamkan.  (sebelum Kesultanan Selangor bermula). Namun disebabkan oleh pembangunan pesat di Kuala Lumpur, lokasi makam tersebut mungkin sudah ditelan pembangunan ataupun telah dipindahkan ke lokasi lain yang tidak diketahui.

Raja Laut sebagai Penghulu dan Majistret Pertama Kuala Lumpur. Nama beliau diabadikan pada sebatang jalan yang sangat popular di Kuala Lumpur iaitu Jalan Raja Laut. (sumber daripada https://wangsamahkota.files.wordpress.com/2012/11/raja-muda-laut-raja-muda-selangor.jpg) 

Nama Gonggang kali terakhir digunakan pada tahun 1980an apabila pihak kerajaan melalui syarikat pemaju I&P mula untuk memajukan kawasan yang dikenali sebagai Gonggang Estate atau Ladang Gonggang. Ladang Getah yang dimiliki oleh Loke Yew ini telah mendapat kebenaran daripada kerajaan dan pemilik syarikat perladangan tersebut untuk ditebus dan dibangunkan sebagai kawasan komersial dan perumahan sebagai langkah untuk memajukan Kuala Lumpur. Kampung-kampung kecil yang berada di Ladang Gonggang ini dipindahkah ke Perumahan Kos Rendah yang terletak di Keramat dan nama Gonggang Estate telah ditukar kepada Setiawangsa selepas ia dibangunkan. Sejak daripada itu, nama Gonggang ini akhirnya hilang di dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya. Nama Kg Gonggang juga kini telah hilang dan diganti dengan Kg Datok Keramat dan tiada lagi nama Gonggang disebut kecuali di dalam Sejarah Kuala Lumpur. Adalah dipercayai nama Jalan Enggang yang terletak di persimpangan Jelatek / Keramat adalah berasal daripada nama Gonggang dan ditukar oleh pemaju atas sebab yang tidak diketahui. Walaupun nama Gonggang ini telah berkubur, namun begitu sejarah nama Gonggang masih terpahat di dalam dokumen lama Kuala Lumpur dan menjadi sebahagian daripada sejarah Wangsa Maju yang menjadi salah satu daripada daerah yang termaju di Bandaraya Kuala Lumpur ini.

Sunday, September 2, 2018

SEJARAH WANGSA MAJU: KENANGAN PEJABAT POS SETAPAK


Pada zaman dahulu, pejabat pos merupakan perkhidmatan utama yang sangat penting bagi orang awam untuk sebarang urusan. Jika kita melihat filem-filem lama terutamanya filem P. Ramlee di tahun 1950-an dan 1960-an, pejabat pos dilihat sebagai tempat untuk bagi perkhidmatan seperti menyimpan wang, mengirim wang, mengutus surat dan menghantar telegram. Perkhidmatan ini pada waktu dahulu sangat penting kerana pergerakan dan servis perkhidmatan adalah sangat terhad dan pejabat pos telah bertindak sebagai pusat setempat atau one-stop center untuk semua jenis perkhidmatan tersebut.

Pejabat Pos Setapak tidaklah merupakan tempat bersejarah berbanding Pejabat Pos Taiping yang telah menjadi tapak warisan yang menjadi Pejabat Pos pertama di Malaysia. Namun begitu, Pejabat Pos Setapak menjadi sedikit popular kerana kemunculannya di dalam filem P. Ramlee iaitu Masam-masam Manis pada 1965. Kemunculan Pejabat Pos Setapak di dalam filem ini menjadi tarikan kepada penduduk sekitar Setapak dan Wangsa Maju dan menjadi tanda tanya tentang lokasi sebenar pejabat pos ini.


Poster filem Masam-Masam Manis (1965). Retrieve from http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/films/p-masammm.htm



Berdasarkan cerita orang lama, Pejabat Pos Setapak dahulu terletak di Jalan Pahang (dahulu dikenali sebagai Pahang Road). Tapak sebenarnya sukar hendak dikenalpasti tapi dianggarkan terletak berhampiran dengan Restoran McDonald’s dan Stesen Minyak Petron pada masa kini. Pejabat pos ini mungkin dipindahkan berikutan Jalan Pahang diperbesarkan dan menjadi lebuh raya bertol pada tahun 1990-an dan akhirnya ditutup pada 2002. Pejabat Pos Setapak kini terletak di simpang Jalan Gombak off Jalan Setapak berhampiran dengan Balai Polis Setapak dan masih lagi berfungsi sehingga kini.




 Babak yang menunjukkan pandangan dari hadapan Pejabat Pos Setapak.


 Lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa kini. 



Anggaran lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa dahulu.


Jika dilihat di dalam filem Masam-masam Manis (1965), kawasan di sekitar kawasan Setapak pada masa itu masih di dalam suasana kampung dan masih banyak pokok-pokok serta tanah lapang di kawasan sekitar. Keadaan trafik di sana juga masih lengang dan tidak sesibuk kini yang setiap hari sesak dengan kereta tanpa mengira hari ditambah pula dengan pembinaan dan penaiktarafan jalan yang menambah lagi kesesakan trafik hari ini. Filem ini menggamit kenangan penduduk Wangsa Maju kerana banyak lokasi penggambaran filem ini dijalankan di sekitar kawasan Setapak dan Ulu Klang. Ada tempat yang masih wujud dan ada juga yang sudah tiada dan hanya tinggal kenangan. Namun begitu, filem ini tetap akan menjadi kenangan penduduk Wangsa Maju dan Setapak dari dulu, kini dan selamanya.


Babak Nurkiah sedang menunggu bas sebelum dompetnya dicopet dan berkenalan dengan Cikgu Shaari. Lokasi penggambaran babak ini dianggarkan dijalankan di sekitar kawasan Setapak.