Sunday, November 28, 2021

Sejarah Wangsa Maju: The historic trail of Jalan Genting Klang (Siri 1)

 Bagi penduduk Wangsa Maju, Jalan Genting Klang mungkin tidak asing bagi mereka. Jalan ini merupakan jalan yang menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur yang bermula daripada Kg Klang Gates dan berakhir di Jalan Pahang. Walaupun jalan ini hanyalah sekadar jalan biasa di Wangsa Maju, Jalan ini menyimpan sejarah yang mungkin tidak diingati oleh generasi Wangsa Maju sekarang ini. Ditambah dengan pembangunan pesat di sekitar Jalan Genting Klang, tidak ramai menyangka satu masa dahulu jalan ini pernah menentukan hidup mati penduduk di Kuala Lumpur.

Suatu ketika dahulu apabila Kuala Lumpur mula dibuka pada tahun 1870an, akses ke Kuala Lumpur hanyalah melalui Sungai Klang semata-mata dan jalan darat hanya dibuka selepas ekonomi berkembang dengan kewujudan lombong bijih timah. Pada waktu itu, Raja Abdullah iaitu penguasa Kuala Lumpur pada ketika itu telah membuka lombong bijih timah di sekitar Kuala Lumpur sehingga ke Hulu Klang. Beliau bekerjasama dengan Kapitan Cina pada waktu itu dengan mengimport para kuli daripada Tanah Besar China pada waktu itu untuk menguruskan lombong bijih timah yang semakin lama semakin banyak dibuka di sepanjang Sungai Klang. Kewujudan lombong bijih timah ini juga menjadi magnet kepada para pedagang daripada Sumatra dan Bugis untuk berniaga dan mengusahakan tanah di sekitar Kuala Lumpur. 

Jalan-jalan darat kemudian mula dibuka di sekitar Kuala Lumpur di samping pengangkutan air di Sungai Klang yang masih menjadi pengangkutan utama di Kuala Lumpur pada awal tahun 1880an. Pada waktu ini, para pedagang (bukan pendatang) dari Sumatra dari suku Mendailing dan Rawa mula mengusahakan tanah di sekitar Setapak dan Gombak dan dari sinilah Jalan Genting Klang wujud. Namun begitu jalan ini masih tidak bernama kerana suasana Setapak (dahulu dikenali Sungai Tapak - InsyaAllah diizinkan akan diceritakan di post akan datang) masih lagi hutan belantara dan tidak banyak rumah kediaman wujud pada masa itu. 

Maka ditakdirkan berlakulah perang saudara yang kini dikenali sebagai Perang Klang. Perang yang asalnya meletus di Klang disebabkan perbalahan di antara Raja Abdullah (kemudian Tengku Kudin) dan Raja Mahadi merebak sehingga ke Kuala Lumpur dan berlarutan sehingga 10 tahun lamanya. Jalan Genting Klang pada waktu itu menjadi laluan tentera Raja Mahadi untuk menyerang Kuala Lumpur daripada Rawang dan akhirnya tentera Raja Mahadi yang diketuai Che Soho atau Shariff Masahor berjaya menawan Kuala Lumpur dengan pertempuran yang dikenali sebagai Fall of Kuala Lumpur. Dikhabarkan Kuala Lumpur pada waktu itu bermandi darah dan penduduk setempat ketika itu tiada pilihan samada menyokong Raja Mahadi yang disokong Chong chong serta puak Ghee Hin  ataupun menyokong Tengku Kudin yang disokong Yap Ah Loy serta puak Hai San dan masing-masing berbunuh semasa sendiri tanpa mengira bangsa samada Cina ataupun Melayu. 

Tidak lama kemudian, hadir pula tentera bantuan daripada Pahang diketuai Imam Perang Rosu untuk membantu Tengku Kudin menawan semula Kuala Lumpur. Kehadiran tentera Pahang ini menambah lagi penderitaan orang Kuala Lumpur pada waktu itu apabila mereka bertindak membunuh penduduk tempatan dan membakar hampir kesemua kampung dan pekan yang ada di Kuala Lumpur. Kampung-kampung melayu dan cina yang wujud di sekitar Jalan Genting Klang pada waktu itu hampir habis dimusnahkan sepanjang perjalanan mereka melalui jalan tersebut untuk menawan Kuala Lumpur. Akhirnya melalui serangan 2 arah iaitu daripada arah Petaling-Damansara oleh tentera Tengku Kudin-Yap Ah Loy dan dari arah Setapak oleh tentera Pahang. Beribu-ribu orang telah disembelih dan kepala mereka dipacak di sekitar jeti di Kuala Lumpur (kini Pasar Seni) sebagai membalas dendam di dalam peperangan. Pada waktu ini Selangor dikenali dikenali sebagai Zaman Keris dan Pemuras iaitu zaman apabila 2orang berjumpa, orang menyerang dan membunuh satu sama lain dahului sebelum bertanya khabar dan menyatakan mereka di pihak mana (Tengku Kudin atau Raja Mahadi).

Jalan Genting Klang pada waktu dahulu merupakan salah satu laluan pintas ke Pahang dengan melalui jalan yang dipanggil sebagai Genting Bidai. Jalan ini juga merupakan salah satu laluan orang Ulu Klang pada zaman dahulu untuk ke Kuala Lumpur dan terus ke Klang untuk menghantar barang dagangan bijih Timah samada melalui Jeti Kuala Lumpur ataupun melalui jalan darat. Maka sebab itulah nama Jalan Genting Klang ini diperolehi iaitu Jalan dari Genting Bidai ke Klang yang dipendekkan menjadi Jalan Genting Klang. Perubahan dan fenomena semasa menyebabkan tinggalan sejarah Perang Klang di Jalan Genting Klang kini sudah pun hilang ditelan zaman. Diharapkan tulisan ini dapat memberi sedikit maklumat kepada mereka yang membacanya dan memberi peringatan tentang peristiwa berdarah yang pernah berlaku di jalan ini suatu ketika dahulu.


Jalan ke Genting Bidai yang kini telah ditutup dan menjadi Empangan Klang Gates.

Jalan Genting Klang pada masa kini yang telah membangun pesat.


Laluan Jalan Genting Klang pada waktu dahulu yang tembus sehingga ke Pahang. Peta ini dilukis oleh Frank Swettenham, Residen British di Selangor pada ketika dahulu. Pada bulatan merah sini dapat dilihat laluan perjalanan tentera Pahang melalui Jalan Genting Klang melalui Genting Bidai untuk menyerang Kuala Lumpur
Lombong bijih timah yang dibuka di sekitar Setapak suatu ketika dahulu.


Sambungan: Jalan Genting Klang- Saksi keperitan pekerja ladang meneruskan hidup.