Thursday, January 4, 2024

SEJARAH WANGSA MAJU: KESAN PENDUDUKAN PAHANG KE ATAS KUALA LUMPUR DAN SELANGOR

Perang Kelang atau Perang Saudara Selangor yang merebak sehingga melibatkan tentera Pahang memberi kesan kepada sejarah Kuala Lumpur. Apabila pakatan Raja Mahadi berjaya ditumbangkan oleh Tengku Kudin pada 1874, Sultan Pahang melalui orang-orang besar Diraja serta bangsawan Pahang telah menuntut bayaran kepada Tengku Kudin atas khidmat ketenteraan yang diberikan kepada beliau. Beribu-ribu tan bijih timah dihantar ke Pahang sebagai bayarn dan hampir kesemua lombong bijih timah bernilai tinggi di Selangor dan Kuala Lumpur diambil hasil cukainya kepada orang Pahang sehingga hutang peperangan selesai dibayar pada 1878. 

Walaupun Perang Kelang tamat secara rasminya, ramai orang Pahang menetap di Selangor dan Kuala Lumpur dan tidak pulang ke Pahang. Mereka membuka tanah dan berkampung di Selangor dan meninggalkan kesan kepada nama-nama tempat di Selangor dan Kuala Lumpur. Antara nama-nama tempat yang dikesan adalah seperti berikut:


Kampung Kuantan, Gombak

Kampung Kuantan, Kuala Selangor

Kampung Kuantan, Klang

Kampung Kuantan
Terdapat tiga Kampung Kuantan di Selangor. iaitu di Gombak , Klang dandi Kuala Selangor. Nama Kuantan diabadikan oleh orang-orang Pahang yang menetap di sana sempena nama ibu kota Pahang yang baharu saja dibuka oleh Bendahara Wan Ahmad atau Sultan Ahmad Shah selepas memenangi Perang Saudara Pahang.



Jalan Semantan dan LRT Semantan, Damansara

Jalan Semantan
Jalan Semantan terletak di Damansara, Kuala Lumpur merupakan sebuah jalan lama di Damansara. Pada zaman Perang Kelang, di sini terdapat sebuah pelabuhan sungai yang lama dikenali sebagai Labuhan Sara atau Pelabuhan Sara. Salah satu daripada kubu perang semasa Perang Kelang, kawasan ini juga ditawan oleh Tengku Kudin dan ia diberi nama sempena Orang Kaya Semantan atau Dato Bahaman yang menjadi penguasa kepada kawasan Batu sehingga ke Damansara.

Stesen KTM Sentul di Sentul Depot

Sentul
Ramai beranggapan nama Sentul adalah berasal daripada pokok Sentul. Sebenarnya, nama Sentul berasal daripada nama Tok Muda Sentul, seorang panglima Pahang daripada Lipis yang turut berperang semasa Perang Kelang. Kawasan ini dahulunya adalah tempat berkubu orang Pahang untuk menghalang tentera Raja Mahadi dan Syed Masahor daripada melarikan diri ke Ulu Selangor. Menariknya, terdapat juga nama Sentul di Pahang iaitu di Kampung Kuala Sentul, Maran.


Jalan Pahang, Kuala Lumpur

Jalan Pahang
Turut dikenali sebagai Jalan Kuala Lumpur -Pahang, dahulu ia merupakan salah satu kawasan lombong bijih timah terbesar di Kuala Lumpur (kini menjadi Tasik Titiwangsa). Di sini, tentera pahang membuat halangan atau blockade untuk menghalang tentera aja Mahadi dan Syed Masahor daripada melarikan diri.

Pekan Kepong tahun 2020

Kepong
Kawasan ini dinamakan sendiri oleh panglima Pahang iaitu Panglima Haji Muhammad Nor. Ia merupakan tempat pendaratan pertama tentera Pahang apabila tiba daripada Bentong. Kehadiran tentera Pahang di sini adalah berdasarkan strategi sebagaimana persetujuan di antara Tengku Kudin dan Yap Ah Loy bersama Bendahara Wan Ahmad (Sultan Ahmad Shah) iaitu menghapuskan kubu orang Mendeleng di Ulu Kelang dan membuat halangan atau blockade kepada tentera Syed Mashor di Kuala Lumpur.

Sekolah di Kampung Tok Muda, Kapar

Kampung Tok Muda, Kapar
Nama Tok Muda merupakan gelaran Orang Besar Berlapan di dalam struktur Diraja Pahang. Semasa Perang Kelang, terdapat 2 orang yang bergelar Tok Muda yang turut menyertai Perang Kelang iaitu Tok Muda Sentol (Orang Besar Lipis) dan Tok Muda Andak (Orang Besar Pahang). Berkemungkinan pengikut dari kalangan mereka membuka kampung di Kapar selepas tamat Perang Kelang dan memberi nama kampung sebagai Tok Muda sempena nama pemimpin mereka. 

Adakah Perang Kelang turut memberi kesan sejarah kepada Negeri Pahang?
Ya. Terdapat satu tempat di kawasan Pekan, Pahang yang diberi nama Kampung Tanjung Selangor. Dipercayai ia diberi nama sempena meraikan kemenangan Imam Perang Indera Mahkota atau Tok Gajah menawan Kubu Permulas Ulu Kelang dan membawa harta rampasan serta tawanan perang dari Selangor ke Pekan. 



Kejayaan menawan Ulu Kelang oleh Pahang diraikan dengan meriah oleh bangsawan Pahang sehingga beberapa panglima Pahang menerima hadiah beserta pangkat gelaran yang tinggi oleh Sultan Ahmad Shah atas kejayaan mereka. Dendam orang Pahang ke atas orang Mendeleng disebabkan oleh Perang Saudara Pahang akhirnya terbayar apabila mereka berjaya menumpaskan kubu kuat orang Mendeleng di Ulu Kelang dan sekaligus memenangi Perang Kelang melalui Tengku Kudin. 





Tuesday, January 2, 2024

SEJARAH WANGSA MAJU: THE LEGENDARY OF RAJA ASAL NASUTION, THE LOST WARLORD OF ULU KELANG

Kawasan Ulu Kelang pada waktu dahulu merangkumi hampir keseluruhan timur Kuala Lumpur bermula daripada sempadan Pahang-Selangor sehingga ke Kg Baru, Kuala Lumpur sebelum wujudnya Wangsa Maju, Setiawangsa dan pelbagai kawasan baru di sini. Kawasan ini menyimpan pelbagai sejarah yang sudah dilupakan oleh generasi kini kerana tenggelam dek pembangunan di Kuala Lumpur. Namun begitu, cebisan sejarah ini masih tertulis di merata-rata tempat untuk ditatap serta dikaji sebagai peringatan untuk generasi mendatang.

Antara yang sudah dilupakan adalah lagenda panglima perang (Man of War) yang dikenali sebagai Raja Asal. Walaupun namanya sudah tidak diingati, beliau merupakan lagenda dan sejarahnya tertulis di Sumatera, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan juga di Perak. Siapakah Raja Asal ini?

Merujuk kepada sejarah, nama sebenar beliau adalah Raja Asal Nasution Ibni Raja Ter'ala Kadhi Sakti. Beliau berketurunan dari Sumatera dari suku Mendeleng dan turut dikenali dengan pelbagai nama iaitu Ja Asai di dalam loghat sumatera, Imam Perang Raja Asal atau Tuanku Raja Asal. Mengikut sumber sejarah, beliau dilahirkan di Sumatera dan beliau bukanlah seorang yang berketurunan diraja namun beliau merupakan seorang pahlawan perang di dalam Perang Saudara Sumatera yang dikenali sebagai Perang Paderi. Apabila beliau tewas di dalam Perang Paderi, beliau membawa diri berhijrah ke Melaka, Lukut, Pahang, Selangor dan akhirnya ke Perak. Beliau meninggal dunia di Batu Gajah, Perak dan makam beliau masih wujud lagi di Kg Changkat Piatu, Perak sehingga ke hari ini.



Lakaran wajah Raja Asal (Daripada laman web Lembaga Adat Mandailing Malaysia atau LAMA)

Kepahlawanan dan kepimpinan beliau terserlah apabila beliau terlibat memimpin tentera di dalam banyak perang iaitu Perang Paderi Sumatera, Perang Rawa Sungai Ujong 1848, Perang Saudara Pahang, Perang Kelang dan Perang Saudara Perak di mana perang ini banyak mengubah lanskap Tanah Melayu dan memberi kesan yang besar kepada sejarah negara Malaysia. Pelbagai versi sejarah beliau terpahat di dalam Sejarah Sumatera, Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Selangor, Sejarah Pahang dan Sejarah Perak dan antara riwayat sejarah beliau turut tertulis di Ulu Kelang. 

Menurut sejarah, pada zaman dahulu sebelum Raja Abdullah membuka lombong bijih timah di Ulu Kelang, orang-orang Mandailing terlebih dahulu sudah membuka Ulu Kelang untuk bertani dan melombong bijih timah dengan rekod seawal tahun 1818. Pada zaman itu, kebanyak kawasan-kawasan utama di Selangor seperti Kelang, Kuala Selangor dan Kuala Langat dikuasai orang Bugis dan orang-orang Mendeleng telah membawa diri ke kawasan hulu Selangor untuk mencari rezeki. Ketika Perang Saudara Pahang, orang-orang Mendeleng ini telah menyokong Wan Mutahir dan apabila Wan Mutahir kalah di dalam peperangan kepada , panglima-panglima Pahang menganggap orang-orang Mendeleng sebagai musuh dan pengkhianat lalu mereka diburu dan dibunuh menyebabkan orang-orang Mendeleng di Pahang melarikan diri lalu menetap di Ulu kelang. 

Di Ulu Kelang, Raja Asal telah diangkat menjadi ketua kepada orang-orang Mendeleng dan beliau bersama Sutan Puasa, seorang peniaga Mendeleng telah menawarkan kepada pedagang cina untuk melabur di Ulu Kelang dan Kuala Lumpur maka pedagang cina ini telah menawarkan kepada Raja Abdullah selaku penguasa Kelang pada waktu itu untuk bersama-sama melabur membuka lombong bijih timah. Direkodkan walaupun lombong bijih timah telah dibuka di Ulu kelang oleh orang Mendeleng diketuai oleh Raja Asal, kebanyakan lombong ini adalah berskala kecil sehingga kehadiran kapitan serta buruh cina yang menyebabkan perlombongan bijih timah berskala besar dimulakan.

Apabila Perang Saudara Selangor atau Perang Kelang meletus, Raja Asal pada awalnya memilih untuk neutral dan membina kubu perang di Ulu Kelang dikenali sebagai kota Permulas untuk melindungi lombong-lombong bijih timah di Ulu Kelang dimiliki orang-orang Mendeleng. Namun begitu, atas sebab berlakunya perubahan politik, Raja Asal akhirnya memilih untuk memihak kepada Raja Mahadi dan Syed Mashor menentang Tengku Kudin. Peralihan sokongan ini disebabkan oleh pengisytiharan perang Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor pada waktu itu untuk menghapuskan orang-orang Mendeleng di Selangor kerana mereka dianggap menggugat kekuasaan Kesultanan Selangor pada waktu itu dan dikhabarkan ia disebabkan oleh perbuatan khianat Yap Ah Loy yang menuduh orang-orang Mendeleng mengganggu dan menyerang lombong-lombong bijih timah Sultan Selangor yang dipajak kepada Yap Ah Loy pada waktu itu. Di samping itu, orang-orang Mendeleng pada waktu itu berdendam dengan orang Bugis kerana peristiwa pembunuhan orang Sumatera oleh orang Bugis di Kelang dan pembunuhan itu tidak mendapat pembelaan dari pemerintah Selangor pada ketika itu. 

Apabila seluruh Kuala Lumpur hampir musnah akibat serangan di antara Raja Mahadi dan Yap Ah Loy pada waktu itu, Ulu Kelang masih bertahan dan menjadi kubu orang-orang Mendeleng untuk berlindung daripada peperangan. Namun begitu, berita kehadiran tentera Pahang untuk menyerang Kuala Lumpur mula kedengaran menyebabkan Raja Asal mula merangka strategi. Pada awalnya, Raja Asal telah berunding dengan tentera Pahang untuk tidak menyerang Ulu Kelang. Namun begitu, dendam panglima Pahang terhadap orang Mendeleng terutamanya kepada Raja Asal masih belum padam dan mereka menyerang sepenuhnya kota Permulas sehingga akhirnya ia tumbang kepada tentera Pahang. Raja Asal yang tersepit di antara serangan Pahang dari arah timur (Genting Sempah) dan serangan Tengku Kudin dari arah barat (Damansara) menyebabkan beliau bersama seluruh orang-orang Mendeleng yang sebelum ini mendiami Ulu Kelang berpindah ke Kubu Bukit Nanas di Kuala Lumpur untuk mengelakkan pembunuhan besar-besaran daripada tentera Pahang. Namun sejarah telah tertulis apabila Kubu Bukit Nanas juga akhirnya tumbang kepada tentera Tengku Kudin dan Raja Asal beserta orang-orang Mendeleng melarikan diri ke Perak terus tinggal di sana. Sejak itu, hilanglah legasi Raja Asal di Ulu Kelang dan semua kubu, kampung dan lombong bijih timah milik Raja Asal dirampas oleh Sultan Abdul Samad dan menjadi milik baginda. Orang-orang Mendeleng dibunuh secara besar-besaran sehingga tiada lagi kesan peninggalan mereka di Ulu Kelang ini.  Raja Asal akhirnya tinggal di Batu Gajah, Perak dan beliau meninggal dunia dan dikuburkan di Changkat Piatu pada 1878.



Pemandangan Plaza Tol Gombak yang menyaksikan Bukit Tabur di belakangnya. Adakah Kota Permulas satu ketika dahulu adalah tapak Plaza Tol ini?




Batu yang tertulis Makam Tuanku Raja Asal di Changkat Piatu, Perak (Daripada laman web SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART))

Kewujudan Raja Asal di Ulu Kelang memberi banyak kesan kepada Sejarah Kuala Lumpur dan sejarah negara. Raja Asal berkahwin dengan Wan Puteh, anak kepada Bendahara Wan Mutahir dan dari nama isterinya itulah nama tempat Che Puteh atau Seputeh di Kuala Lumpur dinamakan. Kehadiran tentera Pahang ke Kuala Lumpur untuk mengepung dan menawan kubu Permulas Ulu Kelang di mana lokasi pengumpulan tentera Pahang itu kemudian dinamakan sebagai Kepong sehingga ke hari ini. Di akhir hayatnya, dikatakan Raja Asal telah menghantar salah seorang pengikutnya iaitu Si Puntung atau Seputum untuk membunuh J.W.W Birch pada 1875. Sebagai warga Wangsa Maju, kita harus berbangga kerana seorang tokoh yang banyak memberi kesan sejarah kepada negara samada Malaysia mahupun Indonesia pernah memerintah Ulu Kelang suatu ketika dahulu. Mungkin sebatang jalan di Hulu Kelang boleh diabadikan kepada Raja Asal sebagai mengenang beliau selaku tokoh Ulu Kelang untuk diingati generasi yang akan datang.