Sunday, July 17, 2016

Sungai Bunus Trail, Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Sungai Bunus merupakan antara salah satu daripada nama yang agak terkenal di Kuala Lumpur. Bagi yang biasa ke Masjid Jamek, pasti mereka pernah melihat papan tanda Sungai Bunus dan Jalan Bunus yang dipasang di kawasan sekitarnya. Sungai Bunus merupakan salah satu daripada cabang Sungai Klang yang bermula daripada Hulu Klang dan mengalir ke tengah ibu kota melalui Wangsa Maju dan Setapak. Disebabkan oleh pembangunan dan mengelakkan banjir, pihak berkuasa telah menambak konkrit di sekitar tebing sungai ini untuk mengawal banjir apabila hujan lebat  menyebabkan sungai ini berubah rupa menjadi seperti longkang besar atau monsoon drain. Sungai ini menjadi sangat kotor dan dipenuhi dengan sampah sarap berikutan terlampau banyak bahan pencemaran dan sampah yang dibuang ke dalam sungai ini.

Laluan Sungai Bunus di Kuala Lumpur

 Sungai Bunus di Wangsa Maju

Sebagai inisiatif bagi memulihkan semula sungai ini, pihak kerajaan  telah melaksanakan program pemulihan Sungai Klang di atas nama program River Of Life (ROL) atau Sungai Untuk Kehidupan (SUKA). Program ini melibatkan penglibatan komuniti awam dan badan kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan NGO Alam Sekitar di dalam usaha untuk memulihkan semula sungai yang tercemar ini. Antara inisiatif yang dibuat oleh pihak DBKL adalah melalui pembangunan kawasan rekreasi di kawasan tepi sungai seperti yang telah dilaksanakan di Wangsa Maju yang dikenali sebagai Sungai Bunus Trail.

Perangkap sampah yang dipasang di Sungai Bunus untuk mengurangkan pencemaran sampah

Sungai Bunus Trail mula dibangunkan pada awal tahun 2014 dan infrastruktur yang dibangunkan telah pun disiapkan pada tahun 2015. Lokasi Sungai Bunus Trail ini agak tersembunyi dan terletak di bahagian belakang di antara Rumah Pangsa Seksyen 1 dan Sekolah Menengah Vokasional Setapak. Disebabkan lokasi yang tersembunyi, laluan ini tidak ramai digunakan oleh orang awam dan dilihat agak bersemak dan dipenuhi dengan kebun kecil yang mungkin ditanam oleh penduduk berhampiran. Sungai ini mengalir agak perlahan dan sedikit kotor tetapi berkeadaan lebih baik berbanding aliran sungai ini di di kawasan hilir. Walaupun begitu, kawasan ini telah berjaya menarik beberapa spesies burung hutan untuk mencari makanan di sini dan suasana di sini agak sunyi dan tenang dengan bunyi kicauan burung dan jauh daripada bunyi bising kenderaan di jalan berhampiran.

Laluan Sg Bunus Trail yang dilihat bersemak dan kurang diselenggara oleh pihak berkuasa.




Pemandangan di sekitar kawasan Sg Bunus Trail.

Infrastruktur di sini juga dilihat agak lengkap dengan fasiliti seperti pondok wakaf, taman permainan, trek jogging sepanjang 2 kilometer dan peralatan senaman statik yang disediakan untuk kegunaan awam. Namun begitu, tiada tapak letak kereta disediakan di sini dan bagi pengguna yang hadir dengan kereta, mereka terpaksa meletakkan kereta mereka di tepi jalan atau di sekitar rumah pangsa Seksyen 1. Mungkin ini antara faktor mengapa kawasan ini jarang dikunjungi orang ramai berbanding dengan kawasan rekreasi lain di Kuala Lumpur.  

Peta laluan Sungai Bunus Trail


Antara kemudahan yang disediakan di Sungai Bunus Trail

Namun begitu, Sungai Bunus Trail tetap akan menjadi kebanggaan warga Wangsa Maju di mana tempat yang dahulunya bersemak di tepi longkang kini berubah wajah menjadi tempat rekreasi yang cantik dan indah. Bagi yang berminat untuk beriadah di sini, pengangkutan awam yang berhampiran adalah di Stesen LRT Wangsa Maju. Perjalanan daripada Stesen LRT Wangsa Maju ke Sungai Bunos Trail ini agak jauh untuk berjalan kaki dan perlu melintas jalan menggunakan jejantas ke arah Rumah Pangsa Seksyen dan berjalan ke arah barat laut di dalam anggaran 10-15 minit tempoh berjalan kaki daripada jenjantas LRT Wangsa Maju. Bagi yang menaiki kenderaan, tempat letak kereta terdekat adalah di sekitar sekitar  Jalan 3/27F dan Jalan 4/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju berhampiran dengan Pusat Latihan Polis Tentera PULAPOT Wangsa Maju di bahagian utara Sungai Bunos Trail dan di sekitar Rampai Business Park, Sri Rampai berdekatan dengan Tasik Sri Rampai di bahagian selatan Sungai Bunos Trail. Bagi yang menaiki motosikal atau basikal, tiada masalah untuk kenderaan anda diletakkan berhampiran pintu masuk Sungai Bunos Trail ini asalkan tidak menganggu laluan awam.  

Selamat beriadah J

Pintu masuk ke Sg Bunus Trail


No comments:

Post a Comment