Tuesday, December 26, 2023

SEJARAH WANGSA MAJU: THE SIEGE OF ULU KELANG FORT, THE ENDGAME OF SELANGOR CIVIL WAR

Selepas peperangan di Bukit Dinding, tidak ramai yang mengetahui bahawa di Ulu Kelang juga berlaku satu pertempuran yang dasyat yang dikenali sebagai pengepungan Ulu Kelang atau Siege of Ulu Kelang Fort. Pertempuran ini memberi impak yang besar kepada keseluruhan Perang Saudara Selangor sehingga ia turut dilaporkan di dalam suratkhabar British di Singapura pada 10 April 1873

Apa yang sebenarnya berlaku di dalam peperangan ini?
Dalam tempoh di antara 1871-1872, tentera Raja Mahadi bergabung dengan orang-orang Sumatera yang diketuai oleh Raja Asal, orang-orang Melayu yang diketuai Sayid Masahor dan sebahagian orang-orang Bugis yang terdiri daripada kerabat diraja Selangor menyerang pakatan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur dan berhasil menawannya sepenuhnya. Beratus-ratus orang Cina diketuai Yap Ah Loy dan tentera Tengku Kudin pada ketika itu termasuk beberapa askar upahan Eropah telah dibunuh, disembelih dan kepala mereka dipacak di pintu masuk Kuala Lumpur sebagai tanda kemenangan mereka. Kemenangan menawan Kuala Lumpur pada ketika itu menjadi simbolik kejayaan Raja Mahadi berikutan bekalan bijih timah yang banyak dilombong di Kuala Lumpur dan memberi kesan kepada ekonomi Negeri Selangor pada ketika itu.

Melihat jatuhnya Kuala Lumpur kepada Raja Mahadi, Tengku Kudin mula kerisauan kerana beliau telah berhutang banyak di dalam peperangan dan kejatuhan Kuala Lumpur akan memberi kesan buruk kepada beliau kerana hilang kawasan yang menjadi sumber ekonomi kepada Selangor pada ketika itu. Tengku Kudin kemudian telah bermudik ke Pahang dan berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pahang yang baru sahaja selesai menang Perang Saudara Pahang untuk memohon bantuan ketenteraan beliau. Tengku Kudin menawarkan hak cukai kepada Pahang sebagai cagaran sekiranya beliau menang di dalam peperangan ini. Selepas mendapat persetujuan daripada Pahang, beliau pun pulang ke Klang dan mula mengumpul tentera bersama-sama Yap Ah Loy untuk menawan semula Kuala Lumpur. Di sinilah bermulanya The Siege of Ulu Kelang Fortress.

Mengetahui orang Pahang akan datang menyerang Selangor, Raja Asal yang merupakan ketua orang Sumatera pada waktu itu telah membina kubu di sepanjang jalan masuk Selangor-Pahang pada ketika itu. Dikhabarkan sebanyak 5 kubu telah dibina daripada Ulu Kelang di Genting Bidai hinggalah ke Kuala Lumpur di Bukit Nanas. Raja Asal pernah berperang dengan orang Pahang sebelum ini dan beliau mengetahui bagaimana caranya orang Pahang berperang dan masing-masing menyusun strategi di dalam peperangan ini. 

Orang Pahang pada waktu itu telah mengumpulkan hampir 2000 orang dan diketuai oleh Imam Perang Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah. Peperangan ini juga turut diceritakan sebagai perang menunjukkan kekuatan ilmu perang masing-masing dan ilmu kebal dipasang pada setiap tentera mengikut cara dan kaedah tersendiri. Apabila tiba masanya, tentera Pahang melintas Bentong dan bergerak menyerang secara 2 penjuru iaitu dari arah Kepong dan dari arah Ulu Kelang. Tujuan serangan 2 penjuru ini bertujuan mengelakkan tentera Raja Mahadi melarikan diri dan mengepong mereka (dari sini mulanya nama Kepong di kawasan Kuala Lumpur) manakala tentera Tengku Kudin dan Yap Ah Loy pula akan menyerang dari arah Klang menuju Damansara terus ke Kuala Lumpur. Tok Gajah pula mengetuai sepenuhnya serangan dari arah Ulu Kelang kerana beliau sememangnya mempunyai krisis peribadi dengan orang Sumatera terutamanya kepada Raja Asal di dalam Perang Saudara Pahang sebelum ini. 


Raja Asal pula kemudian telah membina kubu di Ulu Kelang di Genting Bidai yang dikenali dengan nama Kota Pemulas dan terletak berhampiran dengan Bukit Tabor untuk menyekat serangan orang Pahang. Tidak diketahui bagaimana rupa bentuk kubu tersebut tetapi ia dipercayai menyerupai reka bentuk Kota Lukut. Mengikut sejarah, Raja Asal pada awalnya telah menawarkan tentera Pahang wang dan bekalan makanan sebagai balasan untuk tidak masuk menyerang mereka. Pada mulanya, tentera Pahang hampir bersetuju dengan tawaran itu namun tanpa disangka Tok Gajah telah memulakan serangan tanpa diketahui oleh pasukan tentera Pahang dan bermulalah Siege of Ulu Kelang Fort. 



Babak 1:

Serangan bermula secara mengejut ketika Raja Asal masih berunding dengan pasukan tentera Pahang. Serangan mengejut Imam Perang Rasu atau Tok Gajah ini menyebabkan kubu ini ditawan sepenuhnya dalam tempoh yang pendek. Namun begitu, serangan melulu Tok Gajah tanpa diikuti pasukan utama menyebabkan pasukan Tok Gajah terpisah daripda pasukan utama.



Babak 2:

Selepas menawan kubu Ulu Kelang, tentera Raja Asal seramai 200 orang telah bertindak menyerang hendap tentera Pahang dan menyebabkan tentera Pahang mula terkepung dan tidak boleh bergerak keluar dan ke hadapan. Akhirnya selepas 15 hari, tentera Pahang diketuai Tok Gajah akhirnya berundur dan bergabung semula dengan pasukan utama yang berkumpul di Bentong


Babak 3:

Tentera Pahang telah berjaya membuat hubungan dengan Yap Ah Loy dan mendengar kejayaan Yap Ah Loy menawan Damansara dan menghampiri Kuala Lumpur, mereka telah membuat perbincangan dan bersetuju agar tentera Pahang tetap di kedudukan dan menutup jalan keluar tentera Raja Mahadi dari Kuala Lumpur. Tentera Pahang kemudian berjaya menawan Batu Arang di Gombak dan kemudian mereka mula menyerang dari arah belakang dan hadapan Kubu Raja Asal. Walaupun dikepung dari arah segenap arah, tentera Raja Asal tetap menyerang dan bertahan sehingga menyebabkan ramai pahlawan Pahang tercedera dan terkorban.

Pada 23 Mac 1873, secara rasminya, tentera Raja Asal dan orang-orang Sumatera telah berundur ke Kuala Lumpur untuk bergabung dengan Sayid Masahor di Bukit Nanas dan Kubu Raja Asal dan seluruh Ulu Kelang akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Pahang. Kejayaan tentera Pahang ini menjadi titik mula kekalahan Raja Mahadi di dalam Perang Saudara Selangor dan akhirnya keseluruhan tentera Raja Mahadi menyerah kalah kepada Tengku Kudin dan Perang Saudara Selangor tamat jua akhirnya. Selepas tamat perang, Tengku Kudin menunaikan janjinya dan Ulu Kelang diperintah oleh orang Pahang yang diwakili oleh Orang Kaya Semantan atau lebih dikenali sebagai Dato Bahaman dan segala cukai hasil bijih timah di Ulu Kelang diambil oleh kerajaan Pahang sehingga hutang mereka dilangsaikan pada tahun 1875,

Selepas 150 tahun berlalu, adakah masih ada kesan perang ini?

Berdasarkan peta tahun 1870, laluan Genting Bidai adalah di bahagian barat Bukit Tabor atau dikenali sebagai Tabor West pada ketika ini. Kesan kubu ini telah pun hilang namun jika dicari InsyaAllah sedikit kesan mungkin boleh dijumpai. Berdasarkan kedudukan Genting Bidai, Kubu Raja Asal atau Kota Pemulas terletak berhampiran dengan Tol Gombak pada ketika ini. Mungkin para sejarahwan atau arkeologi boleh menjalankan kajian untuk menjejaknya kerana ia adalah salah satu daripada sejarah Kuala Lumpur dan Selangor yang penting untuk kita semua hayati. 








Thursday, December 14, 2023

SEJARAH WANGSA MAJU: LOMBONG BIJIH TIMAH PERTAMA DI KUALA LUMPUR

Sejarah Kuala Lumpur ini penuh berwarna warni namun banyak cerita yang masih samar-samar dan tidak diketahui orang. Walaupun begitu, semua sejarawan bersetuju dengan kata sepakat bahawa sejarah Kuala Lumpur bermula apabila Raja Abdullah, penguasa Klang ketika itu membuka lombong bijih timah di Ulu Kelang dan Ulu Ampang dan di sinilah sejarah Kuala Lumpur mula ditulis.

Di sini sejarah menjadi agak menarik untuk warga Wangsa Maju kerana Ulu Kelang dan Ampang hanya terletak bersebelahan sahaja dan bahkan sebahagian Wangsa Maju ini juga turut dikenali sebagai Ulu Kelang suatu ketika dahulu. Tetapi di manakah letaknya lombong bijih timah di Ulu Kelang?

Pelan ini dikeluarkan oleh pihak British pada tahun 1883 pada anggaran 10 tahun selepas tamatnya Perang Klang. Berdasarkan pelan ini, hanya ada 2 sahaja lombong bijih timah yang wujud iaitu 1 di Ulu Kelang dan 1 lagi di Ampang tepat sebagaimana yang ditulis oleh sejarah iaitu kedua-dua lombong inilah lombong bijih timah asal dipunyai Raja Abdullah. Berdasarkan jaraknya yang hampir dengan Bukit Dinding, kita boleh mengganggarkan bahawa lombong ini terletak di berhampiran Sungai Kelang di lokasi yang dikenali sebagai Lembah Gisir mengikut catatan sejarah. 

Jika kita melihat lokasi ini, kesan-kesan lombong di Ulu Kelang telah pun lenyap kerana pembangunan pesat di sini. Namun begitu, berdasarkan catatan sejarah, lombong bijih timah pertama yang dibuka oleh Raja Abdullah di Ulu Kelang ini terletak di sekitar Batu 7, Ulu Kelang pada tahun 1857. Jika kita melihat lokasi di sekitar ini pada waktu kini, kita dapat melihat terdapat Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kelang, Masjid Besar Hulu Klang (atau Masjid Al-Ridhuan) dan pekan kecil cina yang masih wujud hingga ke hari ini menunjukkan suatu ketika dahulu kawasan ini merupakan suatu kawasan bandar lama yang wujud disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang rancak. Namun setelah bijih timah sudah habis dilombong atau kemusnahan disebabkan peperangan yang berlaku semasa Perang Saudara Selangor atau Perang Kelang, lombong ini ditinggalkan dan tiada lagi kesannya sehingga ke hari ini.


Kawasan sungai di sekitar Batu 7, Ulu Kelang ini dahulunya adalah kawasan berpasir yang menunjukkan kesan perlombongan bijih timah di sini suatu ketika dahulu, Peredaran zaman menyebabkan kawasan ini ditumbuhi rumput dan semak samun dan menghilangkan kesan-kesan lombong bijih timah di sini. 




Pekan kecil cina di Ulu Kelang ini masih wujud hingga ke hari ini. Pada zaman dahulu, pekan ini menjadi tempat penduduk tempatan membeli barang keperluan termasuk menjual bijih timah hasil dari aktiviti perlombongan sebelum bijih timah ini dijual secara pukal ke Kuala Lumpur. Kini kawasan ini bertukar menjadi bengkel-bengkel kenderaan sesuai dengan peredaran zaman.

Di lombong Ulu Kelang ini, Raja Abdullah pada mulanya menggunakan khidmat pelombong dari kalangan orang Mandeleing untuk melombong. Namun begitu, hasil bijih timah yang dilombong oleh orang mandeleing ini sangat sedikit dan Raja Abdullah telah meminjam 30,000 pound daripada tauke cina di Melaka dan turut membawa bersama t seramai 87 buruh cina daripada Lukut dengan menaiki sampan untuk melombong bijih timah. Daripada 87 buruh cina yang tiba, hanya 18 orang sahaja yang masih kekal melombong selepas 2 tahun ia dibuka dan bakinya meninggal dunia akibat daripada serangan demam malaria. Bermula di sini, lombong bijih timah Ulu Kelang mula mendatangkan hasil dan kemudian Raja Abdullah membuka pula 1 lagi lombong di Ulu Ampang dan mendapatkan hasil yang lebih banyak lagi di sana.


Kini terdapat satu papan tanda dipasang di pinggir sungai di Ulu Klang oleh waris Raja Abdullah yang menunjukkan bahawa lokasi ini dahulunya adalah lombong bijih timah pertama di Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Raja Abdullah. Kawasan Lombong Ulu Kelang ini harus dipelihara kerana di sinilah bermulanya sejarah Kuala Lumpur. Sayang sekali sekiranya dibiarkan begitu sahaja kerana generasi mendatang malahan generasi kini yang tinggal di sekitar Ulu Kelang ini pun tidak mengetahui bahawa terdapat lombong bijih timah yang menjadi titik mula sejarah Kuala Lumpur di sini suatu ketika dahulu.

Monday, July 17, 2023

SEJARAH WANGSA MAJU: THE RIOT OF WANGSA MAJU 2

Cerita sebelum ini mengisahkan bagaimana buruh ladang di Hawthornden Estate atau Wangsa Maju kini merusuh pada tahun 1937 sehingga menyebabkan rejimen askar British dipanggil untuk menenteramkan keadaan dan hampir 26 buruh telah ditahan kerana memulakan rusuhan. Berita pada waktu itu tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab tetapi peristiwa itu melahirkan generasi komunis pertama yang membawa kepada pembentukan sayap bersenjata Parti Komunis Malaya sebelum Perang Dunia Kedua.

Sekitar awal 1900, ketenteraman dan keamanan mula dinikmati di Semenanjung Malaya. British telah memasang penasihat atau residen yang setaraf Menteri Besar di seluruh negeri di Malaya. Banyak syarikat-syarikat British mula melabur di Malaya dengan lebih banyak lombong-lombong bijih timah serta ladang getah dibuka di seluruh negara dan menyumbang kepada kekayaan British. Dikhabarkan, sumber kewangan British untuk Perang Dunia Pertama adalah hampir separuh disumbangkan dari hasil bumi Malaya yang menunjukkan betapa bertuah bumi kita ini walaupun terjajah.

Apabila lombong-lombong dan ladang-ladang getah ini dibuka, berlakunya kekurangan tenaga kerja untuk bekerja di lombong dan ladang ini. Orang melayu tempatan pada ketika itu lebih memilih untuk berkebun sendiri berbanding bekerja di bawah syarikat British atas faktor kebebasan untuk bekerja di samping upah yang amat kecil dibayar kepada pekerja. Di Tanah Besar China, berlakunya kekacauan disebabkan gerakan revolusi untuk menumbangkan Maharaja China pada waktu itu dan di India pula, berlakunya masalah kemiskinan dan kebuluran yang menyebabkan pendatang dari India dan China hadir beramai-ramai untuk mencari kerja di Malaya. Mereka ini akhirnya ditempatkan untuk bekerja di ladang-ladang termasuk di Ladang Hawthornden yang turut merubah lanskap demografi kaum di Wangsa Maju. 

Namun, tidak ramai yang tahu kesengsaraan para pekerja yang bekerja di ladang ini. Dengan upah yang kecil, mereka terpaksa bekerja dari pagi hingga ke petang membersihkan ladang dan terbeban dengan hutang sehingga mereka terpaksa menjadi hamba sepanjang hidup mereka. Banyak kes pekerja ladang di Hawthornden Estate mati dibaham harimau atau dipatuk ular ketika bekerja dan selepas bekerja, mereka dihiburkan dengan samsu haram, perjudian dan candu yang membebankan mereka dengan tambahan hutang. Tiada pendidikan formal pada waktu itu dan kebanyakan anak-anak mereka hanya mengikut pekerjaan ibu bapa mereka dan kemiskinan ini melingkar dari generasi ke generasi yang  seterusnya. 

Kehadiran Parti Komunis Malaya dilihat membawa sinar kepada mereka pada waktu itu. Mereka tidak mempunyai suara untuk disuarakan kepada kerajaan dan komunis melihatnya sebagai satu peluang untuk merekrut pekerja ladang ini sebagai penyokong kuat mereka dengan menjanjikan bahawa mereka akan berjuang untuk kebajikan mereka. Di waktu darurat, kebanyakan kawasan di Hawthornden Estate seperti Setapak, Gombak dan Ampang menjadi kubu kuat komunis. Pada satu ketika, pernah dikhabarkan bahawa pengurus ladang di sekitar Hawthonden Estate serta estet-estet sekitar makan malam sambil mendengar bunyi tembakan perang setiap malam di rumah mereka yang menunjukkan betapa kuat pengaruh komunis di sekitar estet mereka.

Selepas merdeka 1957, Setapak (kini Wangsa Maju) masih menjadi kubu kuat kepada haluan kiri serta masih ramai penduduk yang masih lagi bersimpati kepada komunis. Ini dibuktikan apabila pembangkang pada waktu itu yang dikenali sebagai sosialis front berjaya menang di dalam pilihanraya selepas merdeka menewaskan calon kerajaan. Hanya selepas peristiwa 13 Mei barulah kawasan Setapak dan Wangsa Maju berpihak kepada kerajaan sehingga 2008 iaitu apabila PKR pula menang di dalam pilihanraya menewaskan calon kerajaan.

Siapakah calon yang berjaya memenangi kawasan Setapak (Wangsa Maju) di dalam pilihanraya selepas merdeka?

Jawapannya adalah Ahmad Boestamam. Bekas pemimpin haluan kiri Angkatan Pemuda Insaf (API) yang terkenal dengan kata-kata 'Merdeka dengan Darah'.