Sunday, September 23, 2018

Gonggang: Nama yang hilang di Setiawangsa


Bila disebut tentang Gonggang, pasti ramai yang tercengang dan tertanya-tanya apakah maksud perkataan itu. Jika disemak pada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun, perkataan gonggang ini tidak dijumpai dan bermaksud perkataan ini bukanlah datang daripada Bahasa Melayu. Tetapi apakah signifikan perkataan Gonggang ini dengan kaitannya Wangsa Maju ini?

Gonggang merupakan salah satu daripada mukim di Kuala Lumpur yang mula wujud seawal kuala Lumpur dibuka oleh Raja Abdullah pada awal abad ke 19. Lokasi Gonggang ini dipercayai terletak di sekitar Jalan Ampang sehingga ke sempadan Ulu Kelang dan kini merangkumi kawasan sekitar Jelatek, Setiawangsa dan Wangsa Maju. Jika diselusuri sejarah, nama Gonggang dipercayai berasal daripada nama pokok sagu yang dikenali sebagai pokok Gonggang. Jika merujuk kepada buku Celia Lowe bertajuk  Wild Profusion: Biodiversity Conservation in an Indonesian Archipelago, pokok ini banyak dijumpai di Indonesia dan tidak mustahil banyak dijumpai di sekitar kawasan pinggir Kuala Lumpur pada masa dahulu dan menyebabkan kawasan itu dinamakan sebagai Gonggang. Selain itu, nama Gonggang juga boleh dikaitkan dengan satu suku kaum melayu di sekitar Kepulauan Riau di Indonesia. Terdapat kemungkinan suku kaum ini berhijrah ke Kuala Lumpur dan memberi nama kawasan tersebut sebagai Gonggang sebagai tanda kawasan suku kaum mereka itu.

Nama Gonggang dipercayai telah disebut seawal tempoh ketika berlakunya Perang Saudara Selangor atau Perang Klang yang meletus pada 1867 – 1874. Pada waktu itu, lokasi yang disebut sebagai Gonggang ini digunakan sebagai laluan ke Kuala Lumpur untuk menyerang dan berundur ke Pahang dan Kuala Kubu di Ulu Selangor oleh tentera yang menyokong Raja Mahadi. Berdasarkan semakan sejarah, antara lokasi yang menggunakan nama Gonggang adalah berikut:
  1. Kawasan Perkuburan Kg Gonggang (Kini dikenali Tanah Perkuburan Jalan Ampang yang terletak di sebelah KLCC)
  2. Kg Gonggang (Kini dikenali sebagai Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur)
  3.  Ladang Getah Gonggang Estate (Kini telah  dibangunkan dan dikenali sebagai Setiawangsa)



Keratan peta topografi Kuala Lumpur yang menunjukkan lokasi Gonggang Estate yang berhampiran dengan Hawthornden Estate.  
 Laporan pembangunan Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGKL) yang menunjukkan perubahan nama Gonggang Estate kepada Setiawangsa.


Sehingga kini, para sejarawan masih berdebat dan sedang menjejak lokasi kg Gonggang di mana terletaknya makam Raja Laut iaitu Kerabat Diraja Selangor yang menjadi Penghulu dan Majistret di Kuala Lumpur. Walaupun dipercayai beliau dikuburkan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, para sejarawan mempercayai bahawa terdapat kawasan perkuburan Diraja terletak di sekitar Gonggang di mana para kerabat Diraja dan raja-raja kerajaan lama terdahulu dimakamkan.  (sebelum Kesultanan Selangor bermula). Namun disebabkan oleh pembangunan pesat di Kuala Lumpur, lokasi makam tersebut mungkin sudah ditelan pembangunan ataupun telah dipindahkan ke lokasi lain yang tidak diketahui.

Raja Laut sebagai Penghulu dan Majistret Pertama Kuala Lumpur. Nama beliau diabadikan pada sebatang jalan yang sangat popular di Kuala Lumpur iaitu Jalan Raja Laut. (sumber daripada https://wangsamahkota.files.wordpress.com/2012/11/raja-muda-laut-raja-muda-selangor.jpg) 

Nama Gonggang kali terakhir digunakan pada tahun 1980an apabila pihak kerajaan melalui syarikat pemaju I&P mula untuk memajukan kawasan yang dikenali sebagai Gonggang Estate atau Ladang Gonggang. Ladang Getah yang dimiliki oleh Loke Yew ini telah mendapat kebenaran daripada kerajaan dan pemilik syarikat perladangan tersebut untuk ditebus dan dibangunkan sebagai kawasan komersial dan perumahan sebagai langkah untuk memajukan Kuala Lumpur. Kampung-kampung kecil yang berada di Ladang Gonggang ini dipindahkah ke Perumahan Kos Rendah yang terletak di Keramat dan nama Gonggang Estate telah ditukar kepada Setiawangsa selepas ia dibangunkan. Sejak daripada itu, nama Gonggang ini akhirnya hilang di dalam lipatan sejarah buat selama-lamanya. Nama Kg Gonggang juga kini telah hilang dan diganti dengan Kg Datok Keramat dan tiada lagi nama Gonggang disebut kecuali di dalam Sejarah Kuala Lumpur. Adalah dipercayai nama Jalan Enggang yang terletak di persimpangan Jelatek / Keramat adalah berasal daripada nama Gonggang dan ditukar oleh pemaju atas sebab yang tidak diketahui. Walaupun nama Gonggang ini telah berkubur, namun begitu sejarah nama Gonggang masih terpahat di dalam dokumen lama Kuala Lumpur dan menjadi sebahagian daripada sejarah Wangsa Maju yang menjadi salah satu daripada daerah yang termaju di Bandaraya Kuala Lumpur ini.

Sunday, September 2, 2018

SEJARAH WANGSA MAJU: KENANGAN PEJABAT POS SETAPAK


Pada zaman dahulu, pejabat pos merupakan perkhidmatan utama yang sangat penting bagi orang awam untuk sebarang urusan. Jika kita melihat filem-filem lama terutamanya filem P. Ramlee di tahun 1950-an dan 1960-an, pejabat pos dilihat sebagai tempat untuk bagi perkhidmatan seperti menyimpan wang, mengirim wang, mengutus surat dan menghantar telegram. Perkhidmatan ini pada waktu dahulu sangat penting kerana pergerakan dan servis perkhidmatan adalah sangat terhad dan pejabat pos telah bertindak sebagai pusat setempat atau one-stop center untuk semua jenis perkhidmatan tersebut.

Pejabat Pos Setapak tidaklah merupakan tempat bersejarah berbanding Pejabat Pos Taiping yang telah menjadi tapak warisan yang menjadi Pejabat Pos pertama di Malaysia. Namun begitu, Pejabat Pos Setapak menjadi sedikit popular kerana kemunculannya di dalam filem P. Ramlee iaitu Masam-masam Manis pada 1965. Kemunculan Pejabat Pos Setapak di dalam filem ini menjadi tarikan kepada penduduk sekitar Setapak dan Wangsa Maju dan menjadi tanda tanya tentang lokasi sebenar pejabat pos ini.


Poster filem Masam-Masam Manis (1965). Retrieve from http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/films/p-masammm.htm



Berdasarkan cerita orang lama, Pejabat Pos Setapak dahulu terletak di Jalan Pahang (dahulu dikenali sebagai Pahang Road). Tapak sebenarnya sukar hendak dikenalpasti tapi dianggarkan terletak berhampiran dengan Restoran McDonald’s dan Stesen Minyak Petron pada masa kini. Pejabat pos ini mungkin dipindahkan berikutan Jalan Pahang diperbesarkan dan menjadi lebuh raya bertol pada tahun 1990-an dan akhirnya ditutup pada 2002. Pejabat Pos Setapak kini terletak di simpang Jalan Gombak off Jalan Setapak berhampiran dengan Balai Polis Setapak dan masih lagi berfungsi sehingga kini.




 Babak yang menunjukkan pandangan dari hadapan Pejabat Pos Setapak.


 Lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa kini. 



Anggaran lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa dahulu.


Jika dilihat di dalam filem Masam-masam Manis (1965), kawasan di sekitar kawasan Setapak pada masa itu masih di dalam suasana kampung dan masih banyak pokok-pokok serta tanah lapang di kawasan sekitar. Keadaan trafik di sana juga masih lengang dan tidak sesibuk kini yang setiap hari sesak dengan kereta tanpa mengira hari ditambah pula dengan pembinaan dan penaiktarafan jalan yang menambah lagi kesesakan trafik hari ini. Filem ini menggamit kenangan penduduk Wangsa Maju kerana banyak lokasi penggambaran filem ini dijalankan di sekitar kawasan Setapak dan Ulu Klang. Ada tempat yang masih wujud dan ada juga yang sudah tiada dan hanya tinggal kenangan. Namun begitu, filem ini tetap akan menjadi kenangan penduduk Wangsa Maju dan Setapak dari dulu, kini dan selamanya.


Babak Nurkiah sedang menunggu bas sebelum dompetnya dicopet dan berkenalan dengan Cikgu Shaari. Lokasi penggambaran babak ini dianggarkan dijalankan di sekitar kawasan Setapak.

Friday, August 17, 2018

M3 MALL KEBANGGAAN WARGA TAMAN MELATI



Di celah-celah kawasan perkampungan dan rumah flat yang berselerak di Taman Melati, terbina sebuah pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah kawasan kediaman Melayu di sini dikenali sebagai M3 Mall. Pusat membeli-belah ini asalnya adalah kawasan perumahan setinggan yang telah dibersihkan untuk pembangunan di sekitar kawasan Taman Melati. Namun begitu, masih ramai orang luar yang tidak menyedari kewujudan pusat membeli-belah ini kerana lokasinya yang jauh daripada jalan utama. Tetapi ia menjadi kelebihan kepada mereka yang berkunjung di sini terutamanya orang tempatan kerana ia kurang sesak dan tempat parking yang luas dan memberi keselesaan kepada pengunjung pusat membeli –belah ini.

Tidak banyak kedai yang menarik dibuka di sini. Tetapi ia sangat sesuai untuk dikunjungi keluarga kerana kebanyakan perniagaan lebih tertumpu kepada golongan berkeluarga terutamanya yang memiliki anak kecil berbanding pusat membeli belah lain yang dipenuhi pasangan bercinta dan budak-budak nakal yang berpeleseran. Tempat ini sesuai dikunjungi tidak kira samada pada waktu hari biasa mahupun pada hari minggu dan boleh menjadi tempat untuk berlibur bagi keluarga berpendapatan sederhana berbanding untuk pergi ke pusat membeli belah yang lain seperti Sungei Wang Plaza, IKEA dan Midvalley yang sesak dan berkos tinggi.





 Pasaraya The Store mungkin sudah hampir pupus di Kuala Lumpur ini tetapi ia masih lagi berdiri megah di M3 Mall ini dan menawarkan harga barangan mampu milik kepada golongan sederhana.


 Kedai Outlet Store yang menawarkan barangan sukan bagi mereka yang gemar bersukan. Harga di sini juga berpatutan berbanding daripada harga di kedai-kedai berjenama sukan di tempat lain.


Booth jualan yang menawarkan barangan seperti tudung, jubah dan lain-lain.

 Food court mini. Boleh lah daripada tak ada langsung.

 Gelanggang Dodge Ball yang boleh disewa di sini. Tak sangka ada gelanggang DodgeBall di kawasan sini. Tempat lain rasanya tak ada lagi.

Macam biasa kedai kain Nagoya. Lepas ini tak perlu pergi ke Nagoya Jalan Tunku Abdul Rahman di KL tu. 

 Kedai faveret aku Mr DIY. Barang dia macam biasalah. Murah dan bermacam-macam.


Masih banyak lagi ruang kosong untuk sesiapa yang ingin berniaga di sini.

Bagi sesiapa yang nak berjalan-jalan tetapi ingin tempat yang santai untuk keluarga boleh lah datang di sini. Di sini juga banyak mainan untuk kanak-kanak kecil bagi mereka yang ingin bersantai bersama keluarga di hari minggu. Lokasi dia boleh lah Waze atau Google Maps lokasi M3 Mall, Taman Melati. Parking dia murah dalam RM4.00 sekali masuk. Kalau tak nak parking di dalam boleh parking di tepi jalan berhadapan dengan M3 Mall ni. Tapi jangan parking sesuka hati nanti terhalang kedai orang naya jadinya kerana banyak kedai-kedai kecil wujud di sepanjang jalan di hadapan M3 Mall ini.

Selamat berlibur.

Saturday, May 26, 2018

Sungai Bunus Trail Siri 2: Mata Air Sungai di Kuala Lumpur

Merujuk kepada tulisan sebelum ini, Sungai Bunus Trail telah dibangunkan oleh pihak DBKL bertujuan untuk memulihkan semula sungai yang tercemar ini di samping meningkatkan lagi kawasan rekreasi dan kawasan hijau di Bandaraya Kuala Lumpur khususnya di Wangsa Maju ini. Tindakan adalah selaras di dalam kempen pemulihan Sungai Klang yang dikenali sebagai River Of Life (RoL) yang telah dilancarkan oleh pihak kerajaan beberapa tahun dahulu. Sungai Bunus turut dimasukkan sekali di dalam kempen RoL ini berikutan aliran Sungai Bunus ini merupakan salah satu daripada cabang Sungai Klang yang bertembung di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Papan Tanda Sungai Bunus di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur

Sungai Bunus ini agak unik jika dibandingkan dengan sungai yang lain di Kuala Lumpur ini. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur, sungai ini adalah satu-satunya sungai yang bermula dan berakhir di Kuala Lumpur tanpa melalui Negeri Selangor. Kenyataan yang dibuat oleh pihak JPS KL ini agak menarik kerana umumnya telah diketahui seluruh kawasan Kuala Lumpur telah pun dibangunkan melainkan beberapa kawasan kecil sahaja yang telah digazetkan sebagai kawasan hutan atau kawasan hijau. Jadi di manakah mata air Sungai Bunus yang menjadi permulaan air sungai ini?

 Aliran Sungai Bunus di Setapak mengikut Google Maps

Menggunakan Google Maps, aliran air sungai ini dapat diselusuri untuk dilihat di mana bermulanya sungai ini. Secara awalnya, kawasan Wangsa Maju sememangnya telah disahkan tempat bermulanya sungai ini mengalir sebelum memasuki kawasan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur ini. Setelah membuat sedikit kajian dan pemerhatian, akhirnya mata air Sungai Bunus ini dapat dijumpai dan sememangnya ia bermula di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Aliran air jernih jelas kelihatan di Mata Air Sungai Bunus

 Punca mata air Sungai Bunus yang mungkin ditadah oleh penduduk berhampiran.


Mata air Sungai Bunus ini bermula di Wangsa Melawati di belakang Kem PULAPOT, Jalan Genting Klang. Aliran ini bermula di kawasan hutan kecil di hadapan kawasan perumahan Wangsa Melawati dan memasuki longkang dan akhirnya melalui longkang besar (monsoon drain) dan mengalir ke Setapak, Kg Bharu dan akhirnya bertembung dengan Sg Klang. Di sini, airnya agak jernih dan boleh digunakan sebagai alternatif untuk bekalan air sementara penduduk berhampiran sekiranya berlaku keputusan bekalan air. Ekosistem di sini tidaklah terlalu kompleks dan tiada kelibat ikan sungai di mata air ini melainkan hanyalah lumut dan air bersih semata-mata. Semoga mata air Sungai Bunus ini dapat dikekalkan dan tidak dimusnahkan di dalam episod pembangunan supaya ia dapat menjadi tatapan anak-anak Wangsa Maju di masa hadapan.

Wednesday, May 23, 2018

Bazar Ramadhan Wangsa Maju: Taman Sri Rampai

Apabila bulan Ramadhan menjelma, banyak Bazar Ramadhan dibuka yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa di seluruh negara. Bagi warga kota di Kuala Lumpur khususnya di Wangsa Maju ini, Bazar Ramadhan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesibukan untuk memasak terutamanya bagi pasangan keluarga yang bekerja. Di samping itu, ia juga menjadi sumber rezeki bagi mereka yang ingin berniaga di bulan yang mulia ini.

Di Wangsa Maju ini, terdapat banyak Bazar Ramadhan dibuka bagi memenuhi keperluan penduduk Wangsa Maju di bulan Ramadhan ini, Antaranya adalah di Bazar Ramadhan di Taman Sri Rampai.  Bazar Ramadhan ini agak kecil tetapi padat dan dipenuhi oleh peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan. Di sini, makanan tradisi daripada Kedah, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut dijual di sini. Agak kelakar gak bila dengar riuhnya para peniaga ini menjerit untuk menarik para pelanggan. Yang asal utara memanggil dengan loghat utara dan yang asal Kelantan memanggil dengan loghat Kelantan. Harga yang dijual di sini juga agak berpatutan berikutan kebanyakan yang datang ke sini merupakan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Boleh kata pasar juadah mampu beli la senang cerita.


Pandangan Bazar Ramadhan Taman Sri Rampai di jalan masuk. Penuh dengan warga Wangsa Maju yang jalan-jalan bershopping beli makanan untuk juadah berbuka puasa. 

 Ayam Percik ni nampak padu je tengok. Biasalah bulan puasa nampak apa pun sedap.

Jus Nenas yang diperah terus daripada buah. Siap tunjuk buah nenas sekali. Tak pasti dia jual sekali ke tak nenas tu.

 Sup Utara diterbangkan khas daripada Kedah untuk Warga Wangsa Maju

Coq Keria Gula Melaka. Manis dia memang potong kaki baq angg..



Bagi sesiapa yang mahu datang ke mari, bazar ini terletak di tepi Tasik Sri Rampai iaitu di Medan Selera di sebelah tasik dan berhadapan dengan Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah,Taman Sri Rampai. Di sini, tempat parking agak limited berikutan ramainya orang yang hadir ke sini terutamanya selepas pukul 5 petang. Jadi pandai-pandai la cari parking di sini ya. Di samping boleh membeli belah di sini, pengunjung juga boleh berehat-rehat menenangkan fikiran dengan berjalan-jalan di Tasik Sri Rampai yang terletak bersebelahan dengan Bazar Ramadhan di sini. Jika hendak berbuka puasa di sini pun boleh kerana di sini juga terdapat Medan Selera yang terletak di betul-betul bersebelahan dengan Bazar Ramadhan di sini. Tetapi berbelanjalah dengan berhemah dan jangan membazir. Seeloknya bolehlah bersedekah makanan kepada Masjid di sebelah Bazar Ramadhan ini dan jangan lupa solat Maghrib selepas berbuka di sini. Pahala dapat berkat pun dapat ye dok.


Sekian laporan daripada Wangsa Maju Boyz…

Friday, May 4, 2018

Kem Wardieburn Kebanggan Wangsa Maju



Pandangan Kem Wardieburn daripada Google StreetView. Tak boleh ambil gambar nanti kena tangkap

Kem  Wardieburn merupakan salah satu daripada kem Tentera Darat Diraja Malaysia yang masihlagi  wujud di ibu kota Kuala Lumpur ini. Kewujudan kem ini terletak di Jalan Genting Kelang berhadapan dengan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di dalam kawasan Wangsa Maju. Kem Wardieburn ini menempatkan Divisyen 4 Tentera Darat dan kewujudan tentera di kawasan Wangsa Maju dan Setapak ini telah menjadi norma kebiasaan di sini. Seringkali warga Wangsa Maju dapat melihat para tentera yang berpakaian segak dan kemas bersarapan pagi atau makan tengahari di sekitar kedai makan di Danau Kota, Sri Rampai dan kawasan berhampiran.

Jika melihat pada kewujudan sejarah kem ini, ada tulisan yang mengatakan nama Kem Wardieburn ini adalah bersempena dengan pengeboman tentera Jepun di sini sewaktu penjajahan Jepun  di Tanah Melayu dan diambil sempena dengan perkataan War, Die dan Burn yang bermaksud Perang Mati Terbakar. Namun begitu, jika dilihat pada sejarah kawasan ini, tidak terdapat sebarang catatan yang menguatkan dakwaan ini melainkan hanya sebagai anggapan daripada maksud terjemahan perkataan Wardieburn itu sendiri semata-mata.


Rekod Peta Kuala Lumpur pada Tahun 1955 yang menunjukkan kewujudan Wardieburn Estate.

Kem Wardieburn ini diambil sempena dengan nama kawasan kem ini diwujudkan iaitu di Wardieburn Estate yang merupakan nama asal kawasan Danau Kota dan Taman Melati. Wardieburn Estate ini dimiliki oleh KL Rubber Co. Ltd kini dikenali sebagai Kuala Lumpur-Kepong Amalgamated Limited. Syarikat ini masih lagi wujud sehingga kini dan bergerak sebagai syarikat antarabangsa yang terlibat di dalam aktiviti hartanah dan perladangan di Malaysia dan Indonesia. Nama Wardieburn Estate ini telah pun wujud seawal tahun 1890an dan menunjukkan dakwaan nama ini diambil sempena pengeboman tentera Jepun adalah diragui sama sekali. Adalah dipercayai nama Wardieburn diambil sempena nama kawasan perumahan (Housing Estate) Wardieburn yang terletak  di Edinburgh, United Kingdom. Ketika di zaman British dahulu, adalah menjadi kebiasaan untuk para peneroka dan pemilik ladang British untuk menamakan kawasan ladang mereka dengan nama tempat di tanah air mereka di Britain. Sebagai contoh, Wangsa Maju dahulu dikenali sebagai Hawthornden Estate dan juga sebahagian daripada Datuk Keramat dikenali sebagai Kent Estate.

Rekod yang menunjukkan tahun kewujudan Wardieburn Estate sebelum Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. 

Di waktu pendudukan Jepun, Wardieburn Estate ini telah ditinggalkan dan dibiarkan kerana pihak British telah bertindak menghapuskan kilang memproses getah dan merosakkan pokok getah untuk mengelakkan daripada pihak tentera Jepun untuk mengambil hasil daripada ladang ini. Selepas British kembali, ladang getah ini dipulihkan semula oleh pemilik ladang dan pekerja estet mula dipanggil semula untuk bekerja di ladang ini. Kewujudan Kem Wardieburn ini bermula seawal sebelum merdeka selepas pihak Kerajaan mengambil sebahagian tanah daripada Wardieburn Estate ini untuk digunakan sebagai Kem Tentera Ghurka. Ketika di waktu darurat sekitar tahun 1948-1960, kawasan ladang getah di sekitar Wardieburn Estate ini dipenuhi dengan binatang buas di samping terdapat juga ancaman serangan dan penyusupan (ambush & infiltration) daripada pihak Komunis. Malah beberapa orang pekerja ladang penyelia warga British yang bekerja di ladang ini juga telah dibunuh oleh pihak Komunis di waktu darurat dahulu. Oleh itu, kewujudan kem Wardieburn ini dilihat dapat membantu menumpaskan pihak Komunis di kawasan sekitar ini di samping memberi perlindungan keselamatan ke atas pemilik dan pekerja ladang di kawasan sekitar.



Lawatan Pesuruhjaya Edward Gent ke Kem Ghurka di Wardieburn Estate. Beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi di Tanah Melayu yang mengisytiharkan darurat pada 1948.

Pada waktu kini, banyak kem-kem di kawasan bandar Kuala Lumpur telah dipindakan seperti Kem Ampang dan Kem Pangkalan Udara Sungai Besi. Namun begitu, Kem Wardieburn masih berdiri megah dan warga Kem Wardieburn juga dianggap sebagai salah satu daripada komuniti Wangsa Maju juga. Ramai juga anak-anak askar daripada Kem Wardieburn ini bersekolah di sekitar Danau Kota dan Setapak dan ada warga tentera yang terus menjadi warga Wangsa Maju selepas menamatkan perkhidmatan mereka di Kem Wardieburn ini. Kewujudan mereka ini membantu memberi perlindungan keselamatan kepada warga kota di samping turut membantu menjana ekonomi setempat di sekitar kawasan Kem Wardieburn. Terima kasih kerana tetap setia bersama Warga Kota Wangsa Maju.



Saturday, April 21, 2018

Sejarah Wangsa Maju: The Battle of Bukit Dinding, The Forgotten War of Perang Kelang

Ketika aku sedang menelaah tentang sejarah Perang Saudara Selangor atau lebih dikenali sebagai Perang Kelang, aku telah terbaca satu artikel sejarah yang menarik yang berkaitan dengan lokasi di Wangsa Maju iaitu Bukit Dinding. Tulisan artikel ini memaparkan kisah siri perang Kelang yang berlaku pada 1870 dan lebih dikenali sebagai The Battle of Ampang. Tulisan artikel ini agak menarik berikutan ia melibatkan sedikit kawasan Wangsa Maju iaitu di sekitar kawasan Bukit Dinding dan kawasan Lembah Sungai Gisir, Hulu Kelang. Berikut merupakan sedutan daripada artikel berikut:

Kapitan Yap directed the fighting from Kuala Lumpur and did not take to the field himself. As soon as he learnt that Chong Chong was digging himself in near Ampang, he sent a force of 600 men under Hiu Fatt and Tung Khoon to Ulu Klang with the intention of cutting Chong Chong's line of retreat and threatening the right flank of his position. Immediately after arriving at Ulu Klang, Hiu Fatt’s men established contact with Mashhor’s contingent. The next day, they started to attack Mashhor’s army. Fighting began at about 10 or 11 in the morning and lasted until late in the afternoon. By then, Mashhor’s men were routed and suffered heavy losses. Mashhor himself made his way to Chong Chong’s camp near Batu Ampat and suggested an immediate counter-attack, before Kapitan Yap’s men could consolidate their postion. Chong Chong agreed with the proposal, and on the same night, he led a force of about 2,000 men (from the combined force) towards Ulu Klang.

In the meantime, Hiu Fatt and Tung Khoon had returned to their improvised camp at Ulu Klang. During the night, much to the surprised of Hiu Fatt and his men, they were woken up by sounds of firearms and shouting, and discovered that Mashhor’s force were in front of their position. Without hesitation, Hiu Fatt immediately gave orders for a direct attack to be made on the enemy. While the fighting was in progress, Chong Chong’s army emerged from the rear of Hiu Fatt's position (presumably along the north flank of Bukit Dinding and down the valley of the Sungei Gisir), thus Hiu Fatt and his men were trapped between two larger units of enemy forces.

Fortunately, Kapitan Yap had decided that evening to reinforce his troops at Ulu Klang, and had sent Chung Piang with 400 men to Hiu Fatt's camp. They arrived in the middle of the battle, and presumably at the rear of Chong Chong’s encircling force. After a long struggle, Chong Chong was forced to retreat to his stockade at Ampang. The Kapitan's force lost 40 men with another 100 wounded, but Chong Chong's force suffered heavier losses.

Berdasarkan artikel yang ditulis ini, maka aku cuba untuk membayangkan kisah sebenar yang berlaku di dalam Battle of Bukit Dinding ini menggunakan peta yang dilukis oleh British pada 1883.

========================================================================

Latar Belakang Perang Kelang (Perang Saudara Selangor)

Perang Kelang ataupun Perang Saudara Selangor berlaku dari tahun 1867 hingga 1874 bermula dengan perbalahan antara kerabat Diraja Selangor iaitu Raja Abdullah bin Raja Jaafar selaku Penguasa Daerah Klang dan Raja Mahdi bin Raja Sulaiman selaku anak bekas Penguasa Daerah Klang yang dipecat iaitu Raja Sulaiman. Perbalahan ini berlarutan sehinga menjadi perang saudara di mana Raja Abdullah yang disokong oleh pakatan Bangsawan Diraja Bugis dan Kongsi Gelap Hai San berperang dengan Raja Mahadi yang disokong oleh pakatan Melayu Sumatera Mandeling & Rawa dan Kongsi Gelap Ghee Hin. Pada awalnya, Raja Mahadi berjaya menewaskan Pakatan Raja Abdullah dan menawan keseluruhan Klang dan Kuala Lumpur di samping menaikkan Yap Ah Loy (Kongsi gelap Hai San) sebagai Kapitan Kuala Lumpur. Sultan Selangor kemudian melantik Tengku Kudin menggantikan tempat Raja Abdullah dan bekerjasama dengan pihak British dan tentera Negeri Pahang untuk menentang pemberontakan Raja Mahadi ini. Melihat keadaan yang lebih memihak kepada Tengku Kudin, maka Yap Ah Loy telah mengkhianati pakatan Raja Mahadi dan bertindak menyokong pakatan Tengku Kudin pula. Oleh kerana itu, Raja Mahadi telah berpakat dengan bekas ketua Yap Ah Loy iaitu Chong Chong dan Syed Mashoor untuk menyerang Kuala Lumpur dan memburu Yap Ah Loy yang telah mengkhianati beliau itu. Maka bermulalah di sini The Battle of Kuala Lumpur.


Gambar 1: Salah satu daripada lombong bijih timah terawal di Kuala Lumpur. Perebutan Hak Perlombongan dan Perdagangan Bijih Timah ini mengundang kepada tercetusnya Perang Kelang di antara Kerabat Diraja Selangor.

Babak Pertama.


Pasukan Pakatan Raja Mahadi seramai 2000 orang askar yang diketuai oleh Chong Chong telah berkubu di Batu 4 1/2 , Jalan Ampang (kini Jalan Doraysami) bersedia menyerang dan menawan Kuala Lumpur. Di Ulu Kelang pula, pasukan yang diketuai oleh Syed Mashoor bersedia untuk memberi bantuan kepada Pasukan Chong Chong untuk menyerang dan menawan Kuala Lumpur.

Babak Kedua


Mengetahui Pasukan Raja Mahadi akan menyerang Kuala Lumpur, Yap Ah Loy telah bertindak menghantar sepasukan tentera yang diketuai oleh orang kanannya, Hiu Fatt and Tung Khoon ke Ulu Kelang sebagai persediaan untuk menutup laluan bantuan Pasukan Chong Chong di samping mengelakkan daripada mereka melarikan diri sekiranya Pasukan Raja Mahadi ini kalah di dalam pertempuran. Tanpa diketahui oleh Yap Ah Loy, pasukan mereka ini telah bertembung dengan pasukan Syed Mashoor yang telah berkubu di Ulu Kelang ini sehingga menyebabkan pertempuran antara mereka berlangsung. Pasukan Syed Mashoor mengalami kekalahan dan berundur daripada Ulu Kelang untuk persiapan rancangan strategi baru.

Babak Ketiga


Syed Mashoor telah meminta bantuan daripada Pasukan Chong Chong untuk menyerang Pasukan Yap Ah Loy yang kini telah berkubu di Ulu Kelang. Seramai 600 orang askar Pasukan Chong Chong telah dihantar untuk tujuan tersebut dan mereka berkubu di kawasan Lembah Sungai Gisir di Utara Bukit Dinding. Pada waktu malam tanpa disedari oleh Hiu Fatt and Tung Khoon, Pasukan Syed Mashoor  telah menyerang mereka secara serang hendap manakala Pasukan Chong Chong pula menyerang mereka dari arah belakang. Keadaan ini menyebabkan Pasukan Yap Ah Loy terkepung dari arah depan dan belakang

Babak Keempat.

Yap Ah Loy telah bertindak menghantar pasukan bantuan tanpa menyedari Pasukan mereka di Ulu Kelang diserang dengan teruk oleh Pakatan Raja Mahadi itu. Pasukan bantuan Yap Ah Loy ini tiba di Sungai Gisir di belakang pasukan Chong Chong tepat pada ketika kedua-dua pasukan ini sedang bertempur. Maka Pasukan bantuan ini telah bertindak menyerang dari belakang Pasukan Chong – Chong untuk membantu pasukan Hiu Fatt and Tung Khoon yang sedang terkepung itu.

Babak Terakhir.


Pasukan Chong-Chong dan Pasukan Syed Mashoor mengalami kekalahan teruk daripada pertempuran ini. Akhirnya mereka telah berundur ke Ampang dan perancangan The Battle of Kuala Lumpur kini tergendala disebabkan kekalahan teruk daripada Pakatan Raja Mahadi. Pasukan Yap Ah Loy kemudian mengukuhkan kawasan Hulu Kelang dan menyebabkan Pakatan Raja Mahadi ini menukar strategi mereka untuk persediaan menawan Kuala Lumpur pada masa akan datang.

========================================================================

136 tahun selepas pertempuran ini berlangsung, aku telah cuba untuk menjejak kesan peperangan ini. Tidak banyak cerita yang diketahui berkenaan pertempuran Bukit Dinding ini (The Battle of Bukit Dinding) di dalam internet dan juga buku sejarah melainkan daripada rekod sejarah Yap Ah Loy. Namun begitu, peristiwa The Battle of Bukit Dinding ini seharusnya direkodkan sebagai satu sejarah Wangsa Maju dan menunjukkan bahawa Bukit Dinding di Wangsa Maju ini menjadi saksi keterlibatan kawasan ini di dalam peristiwa sejarah Perang Kelang atau Perang Saudara di Selangor.





Pemandangan Bukit Dinding dari arah AU4, Ulu Kelang, Selangor dan pemetaan Bukit Dinding di dalam peta British tahun 1883. Sejarah Bukit Dinding ini telah direkodkan seawal 1870 dan telah dipetakan oleh British pada 1883 berikutan terdapat aktiviti pembukaan lombong bijih timah di Ulu Kelang oleh Raja Abdullah.


Kawasan Padang di AU4 yang terletak di lembah Sungai Gisir, Hulu Kelang. Adalah dijangka di sinilah berlakunya pertempuran The Battle of Bukit Dinding di antara Pasukan Yap Ah Loy dan Pasukan Chong Chong / Syed Mashoor, Kawasan lapang ini terletak berhampiran dengan Sungai Gisir dan dahulunya terdapat kawasan perkampungan Melayu di sini yang dikenali sebagai Kampung Seri Lembah Keramat. Namun begitu tapak pertempuran sebenar masih tidak diketahui berikutan tiada rekod asal ditemui di dalam rekod sejarah dan kawasan sekitar Bukit Dinding dan Sungai Gisir juga telah dibangunkan dengan pesat.




Sungai Gisir di Lembah Keramat, Ulu Kelang. Kini telah menjadi longkang besar atau monsoon drain di lokasi. Pada waktu dahulu, Sungai Gisir ini dipenuhi dengan sumber bijih timah dan menarik perhatian Raja Abdullah untuk melombong di sekitar kawasan Sungai Gisir ini. Kesan lombong bijih timah ini telah pun hilang di dalam lipatan sejarah dan kawasan Ulu Kelang kini telah pesat membangun tanpa sedikit pun sebarang kesan sejarah yang ditinggalkan di sini. 



Monday, April 2, 2018

P116 - Parlimen Wangsa Maju




Ketika catatan ini ditulis, Pilihanraya Umum ke -14 (PRU-14)  bagi penggal 2018 sudah hampir bermula. Walaupun tiada lagi pengumuman daripada kerajaan berkenaan tarikh pilihanraya, terlihat bahawa Parti-parti politik sudah mula mengibarkan bendera dan menggerakkan jentera pilihanraya masing-masing. Tidak terkecuali di Wangsa Maju, parti-parti utama yang bertanding iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) sudah mula memasang bendera dan bilik gerakan mereka di sekitar kawasan Wangsa Maju. Sebagai pengundi di Wangsa Maju, maka adalah hak bagi setiap penduduk Wangsa Maju untuk mengundi dan memilih calon mereka di Parlimen. Pada penggal yang lepas (PRU-13 & PRU-12), kerusi Parlimen Wangsa Maju telah dimenangi oleh calon daripada PKR iaitu Dato’ Tan Kee Kwong sebanyak 2 kali mengalahkan calon daripada MCA (Dato’ Yew Teong Look) pada tahun 2008 dan calon daripada UMNO (Dato’ Shafei Abdullah) pada tahun 2013. Sebagai salah satu daripada kerusi parlimen di Wangsa Maju, Penduduk di Wangsa Maju ini sebenarnya tidaklah memandang jawatan Wakil Ahli Parlimen ini sebagai satu kepentingan berikutan kemajuan pembangunan di Wangsa Maju ini sudah pun mencukupi. Sekiranya terdapat sebarang masalah., penduduk Wangsa Maju juga boleh membuat aduan secara terus kepada badan-badan kerajaan atau NGO-NGO berkaitan tanpa perlu merujuk secara terus kepada Ahli Parlimen. Oleh itu, adalah sebagai tanggungjawab Ahli Parlimen Wangsa Maju ini untuk mewujudkan satu inovasi bagi meningkatkan lagi tahap mutu perkhidmatan mereka untuk diterima oleh penduduk Wangsa Maju ini.

Sebagai salah satu daripada kerusi panas di ibu negara, maka pihak kerajaan didapati telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas sekaligus daripada PKR pada PRU yang akan datang. Sehingga pada tarikh catatan ini ditulis, tiada sebarang maklumat rasmi berkenaan siapa yang akan bertanding pada PRU-14 ini melainkan hanya desas-desus yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Namun, pihak MCA telah mengeluarkan kenyataan yang akan merebut semula kerusi Wangsa Maju ini selepas diberi pinjam kepada UMNO untuk ditandingi pada PRU-13. Sebagai pengundi, maka mari kita lihat status calon yang akan bertanding berdasarkan pada calon yang lepas

Dato’ Dr Tan Kee Kwong



Merupakan seorang doktor yang berasal daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Dato’ Dr Tan Kee Kwong (TKK) telah berhijrah ke PKR dan memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU-13. Sejujurnya tak banyak yang aku tahu berkenaan siapa dan dari asal mana gerangan TKK ini kerana identiti beliau tidak banyak diperolehi di internet dan tidak pula aku rapat atau mengenali siapa-siapa yang ada dan aktif di PKR Cabang Wangsa Maju. Beliau juga jarang untuk turun memberi ceramah atau penerangan di sekitar kawasan Wangsa Maju mahupun membuat liputan secara live di media sosial tentang aktiviti beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju.

Rujukan website beliau yang terakhir hanyalah pada tahun 2012 dan akaun Twitter beliau juga hanya dikemaskini pada kali terakhir pada tahun 2013. Hanya di laman Facebook sahaja dilihat beliau aktif turun padang berjumpa penduduk tetapi jika dilihat beliau hanya fokus untuk turun padang di kawasan yang mengalami bencana seperti keputusan air dan mangsa ribut, berjumpa dengan ketua-ketua penduduk dan dilihat jarang sekali berjumpa dengan anak muda mahupun dengan penduduk biasa di Wangsa Maju. Ini menyebabkan tidak ramai malah boleh dikatakan sekiranya nama beliau ditanyakan kepada penduduk Wangsa Maju nescaya ramai yang tidak mengetahui siapakah beliau atau apakah sumbangan beliau kepada Wangsa Maju. Berikutan kawasan Wangsa Maju ini tela pesat membangun, PKR hanya memainkan isu sentimen nasional tanpa perlu memfokuskan kepada isu-isu setempat. Namun baru-baru ini, TKK telah menyuarakan bantahan di parlimen berkenaan isu pembangunan kondominium di hadapan Wangsa Melawati yang diterima oleh beliau daripada penduduk dan banyak membantu menjadi orang tengah di antara Air Selangor dan penduduk Wangsa Maju ketika berlakunya keputusan air baru-baru ini. Selain daripada itu, tidak banyak yang dilihat suara beliau untuk menyuarakan apa-apa isu samada isu setempat ataupun isu nasional di Parlimen atau media sosial. Aku tiada pengalaman berurusan secara peribadi dengan beliau dan tidak pula pernah melawat ke pejabat rasmi beliau di Danau Kota itu. Kerana aku beranggapan beliau yang seharusnya turun padang berjumpa penduduk dan bertanya khabar dan bukan kami penduduk yang seharusnya datang menunggu giliran untuk bertemu beliau.

Datuk Shafei Abdullah


Menjawat jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Pengerusi UDA, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Parlimen Wangsa Maju (MAYANG), Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Wangsa Perdana, Ppengerusi Syarikat Signature Kitchen Bhd, Pengerusi Century Software Sdn Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Profesor Negara dan pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Dato Seri Najib Razak (banyak gila jawatan), beliau telah bertanding dan kalah di kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU 13.
Macam biasa, aku pun tak kenal beliau sebab aku pun tak berapa aktif untuk join apa-apa program UMNO Wangsa Maju atau ada kenalan di kalangan ahli UMNO. Tetapi berdasarkan pengalaman, seharusnya seseorang Ahli Parlimen tidak memegang jawatan terlampau banyak kerana sudah pasti masa mereka untuk bersama penduduk akan dipotong dan akhirnya hanya menjadi rubber stamp sahaja nanti di Parlimen.
 Datuk Yew Teong Look



Seorang bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, beliau sebelum ini pernah menang bertanding di PRU-11 dengan majoriti hampir 20,000 undi ketika bertanding melawan Saifuddin Nasution yang pernan menjawat Naib Presiden PKR. Kemenangan beliau pada waktu itu bukanlah kerana kehebatan beliau tetapi kerana kelemahan parti pembangkang pada waktu itu kerana boleh dikatakan tahun 2004 (PRU-11) merupakan tahun di mana kerajaan berjaya mengalahkan pembangkang dengan kemenangan bergaya di seluruh Malaysia dan dapati dilihat Johor berjaya menang pada kadar sifar pembangkang dan Negeri Kelantan hampir sahaja tewas kepada UMNO pada kadar perbezaan 1 kerusi sahaja.

PRU-12 yang disebut sebagai tsunami politik, beliau juga mengalaminya dengan kekalahan majoriti 150 undi kepada En. Wee Choo Keong yang asalnya ahli DAP dan bertukar menyertai PKR. Tiada maklumat lanjut di internet dan media sosial berkenaan siapakah dan apakah jasa beliau kepada Wangsa Maju ini. Namun jika dilihat pada faktor demografi kawasan Wangsa Maju yang majoriti penduduk adalah cina, tidak mustahil beliau boleh memenangi kerusi Parlimen ini sekiranya beliau berjaya menawan hati penduduk cina di Wangsa Maju. Beliau ada memiliki sebuah blog berbahasa cina namun sudah tidak aktif sejak daripada tahun 2012 lagi.

Mungkin terdapat lagi calon lain yang akan bertanding di Wangsa Maju selain daripada yang telah disebutkan sebelum ini. Tetapi adalah diharapkan semoga calon anak muda yang berkaliber dapat bertanding di Parlimen Wangsa Maju selepas ini. Sebenarnya, terdapat banyak juga isu setempat yang perlu diambil kira dan diberi perhatian oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju ini. Antaranya adalah:

-       1.  Ketiadaan klinik kesihatan awam
Di Wangsa Maju ini tiada klinik kesihatan awam untuk digunakan kecuali di Klinik Kesihatan Setapak di Sri Rampai. Kebanyakannya penduduk wangsa maju terpaksa ke HKL untuk mendapatkan rawatan kesihatan ataupun ke klinik swasta yang harganya memang tinggi. Hospital Angkatan Tentera boleh digunakan tetapi itu adalah kemudahan untuk tentera dan seharusnya 1 atau 2 klinik kerajaan bari perlu dibuka di kawasan Wangsa Maju ini. Kita bayar GST kan

-        2. Kekurangan fasiliti awam seperti dewan orang ramai, tempat rekreasi dan padang
Di Wangsa Maju ini, dapat dilihat kurangnya fasiliti awam untuk digunakan penduduk Wangsa Maju. Yang ada dilihat tidak mencukupi kerana dilihat pertambahan penduduk yang semakin tinggi dan fasiliti yang ada pula masih juga seperti 10 tahun lepas. Tanah-tanah kosong dan hutan sudah habis ditebas menjadi kondo mampu lihat dan hanya mampu diduduki orang-orang kaya. Di mana suara Ahli Parlimen kita?

3. Bakat anak muda tidak ditonjolkan
Tiada program untuk menonjolkan bakat anak muda samada dari aspek akademik mahupun sukan. Setakat pertandingan karaoke tu tidak perlulah. Banyak anak muda hanya melepak di kedai mamak, cybercafe dan bermain motor atau basikal lajak. Tiada ideakah untuk menonjolkan bakat mereka ini?

Itu adalah sedikit sebanyak suara daripada pengundi Wangsa Maju untuk diutarakan kepada ahli Parlimen Wangsa Maju kita ini. Tidak kira siapa yang menang di PRU akan datang ini, jagalah Wangsa Maju ini sehabis mungkin dan jangan gunakan tiket kerusi Parlimen Wangsa Maju ini sebagai batu loncatan untuk memegang jawatan, pangkat dan mengumpulkan harta peribadi. Bukankah rezeki itu dikongsi bersama.

¬Wangsa Maju Boyz¬