Wednesday, August 31, 2016

Street art di Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Street art atau seni jalanan merupakan salah satu daripada fenomena kreatif yang telah lama muncul di Kuala Lumpur sejak dari awal tahun 2000 lagi. Dikenali juga sebagai graffiti, seni jalanan yang menggunakan cat sembur atau spray painting ini memperlihatkan kreativiti anak muda yang menggunakan tempat awam sebagai kanvas seni mereka. Walaupun pada awalnya disalaherti sebagai kegiatan vandalisme dan merosakkan tempat awam, fenomena street art ini kini mula diterima oleh orang awam dan kerajaan sebagai salah satu daripada ikon seni  yang membantu mencantikkan lagi pemandangan bandar di samping menarik perhatian para pelancong asing dan domestik untuk melihat karya kreatif ini.

Di Wangsa Maju ini juga tidak terkecuali di dalam fenomena street art ini. Di bawah ini merupakan karya street art yang boleh dijumpai di sekitar kawasan Wangsa Maju.


Street Art yang ditemui di Seksyen 4, Wangsa Maju (berhadapan Kedai Rakyat 1 Malaysia) 

Street Art yang ditemui di padang permainan di Taman Wangsa Ceria, Wangsa Melawati 

 Street Art yang ditemui di padang permainan di Taman Wangsa Ceria, Wangsa Melawati (2)

 Street Art yang ditemui di padang permainan di Taman Wangsa Ceria, Wangsa Melawati (3) 

Street Art yang ditemui di Stesen Minyak Shell Seksyen 5, Wangsa Maju (Berhadapan dengan Affin Bank) 


Pencarian street art masih lagi dijalankan di sekitar Wangsa Maju dan akan disiarkan selepas siap didokumentasikan.



Saturday, July 23, 2016

Ladang Hawthornden: Dari Ladang getah ke Bandar Moden Wangsa Maju

Bagi generasi kini, pasti ramai yang tidak pernah mendengar tentang ladang Hawthornden dan mungkin jika ditanya, ramai yang akan menganggap ladang ini terletak di luar negara. Ini mungkin disebabkan tiada sebarang tanda atau maklumat yang diberikan berkenaan ladang hawthornden dan hasil carian di Google juga tidak memberi sebarang maklumat yang jelas berkenaan ladang ini.

Pelan Pembangunan Taman Sri Rampai. Tidak diketahui tahun berapa pelan ini dilukis tetapi dapat dilihat nama Ladang Hawthornden diletakkan pada pelan ini. Kawasan Ladang Hawthornden di dalam pelan ini kini menjadi asrama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rumah PPR Desa Rejang.

Ladang Hawthornden merupakan nama asal bagi Wangsa Maju sebelum ditukar oleh pihak kerajaan pada 1984. Ladang ini dimiliki oleh hartawan cina yang bernama Loke Yew di atas nama syarikatnya yang bernama Hawthornden Rubber Estate Company Ltd. Loke Yew merupakan seorang pendatang daripada Cina pada asalnya dan menjadi hartawan selepas melibatkan diri dalam perniagaan lombong bijih timah dan ladang getah di Malaya pada sekitar awal tahun 1900 an. Beliau telah banyak berjasa kepada kemajuan Kuala Lumpur dan seorang yang dermawan di mana antara jasa beliau yang sangat diingati adalah beliau telah mendermakan bangunan milik beliau untuk menjadi sekolah di tengah-tengah kuala lumpur yang kini dinamakan sebagai Victoria Institution School. Beliau dikebumikan di Kampung Loke Yew di Jalan Semarak, Kuala Lumpur berdekatan dengan UTM Jalan Semarak di mana kini telah pun menjadi kawasan rizab untuk Kementerian Pertahanan. Atas jasa beliau yang banyak berjasa kepada Kuala Lumpur, nama beliau telah diabadikan pada nama jalan di Pudu yang dinamakan sebagai Jalan Loke Yew sebagai mengenang sumbangan beliau ke atas pembangunan awal Kuala Lumpur.

Wong Loke Yew atau lebih dikenali dengan nama Loke Yew. 

Kubur Loke Yew di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.



Selain Ladang Hawthornden, terdapat juga beberapa ladang getah di sekitarnya seperti Ladang Gonggang, Ladang Kent dan Ladang Wardieburn yang kini telah pun lenyap menjadi kawasan perumahan dan komersial di sekitar Wangsa Maju. Ladang Hawthornden dipilih untuk dibangunkan menjadi Bandar Baru Wangsa Maju di era zaman pemerintahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan kerjasama di antara pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat Perumba yang merupakan pemaju utama bagi kawasan Wangsa Maju ini. Antara tujuan utama kawasan ini dibangunkan adalah berikutan polisi kerajaan pada waktu itu untuk mewujudkan bandar baru di pinggi bandar Kuala Lumpur bagi meningkatkan populasi penduduk bandar, mengurangkan kawasan perkampungan setinggan, menarik penduduk luar bandar untuk tinggal di kawasan bandar dan memberi peluang kepada warga bumiputra untuk memiliki hartanah di kawasan Kuala Lumpur khususnya.

Bagi yang sering membaca blog, pasti anda semua pernah membaca atau mendengar kisah serangan ‘dawn raid’ atau serangan subuh yang menyaksikan pemilikan syarikat Guthrie oleh negara Malaysia dalam tempoh 5 jam sahaja pada tahun 1981. Kisah ini sebenarnya sedikit sebanyak turut berkait kepada kewujudan wangsa maju dan pembangunan di sekitar kawasan Kuala Lumpur. Di awal tahun 1980an, kawasan sekitar Kuala Lumpur masih merupakan kawasan luar bandar dan hanya dikelilingi oleh ladang getah, lombong bijih timah dan kampung setinggan. Pada waktu itu, pembangunan di sekitar Kuala Lumpur sukar untuk dijalankan berikutan kebanyakan pemilik-pemilik ladang getah dan lombong bijih timah ini enggan untuk menyerahkan pemilikan tanah mereka kepada kerajaan untuk dibangunkan. Ini menyebabkan kawasan sekitar kuala lumpur kekal menjadi kawasan luar bandar yang hanya dihuni oleh penduduk kampung dan pekerja ladang. Selain itu, ekonomi Malaysia pada waktu itu juga masih mengharapkan kepada pertanian dan bijih timah dan tidak banyak kilang perusahaan ditubuhkan dan beroperasi pada waktu itu.

Kejayaan Malaysia menawan syarikat gergasi British Guthrie di dalam serangan subuh atau 'dawn raid' (Petikan suratkhabar NST, 1981)

Dr Mahathir selaku perdana menteri pada waktu itu berpandangan jauh di dalam membangunkan ekonomi Malaysia, meningkatkan daya pembangunan di kawasan bandar dan mengurangkan jurang ekonomi yang sangat melebar di antara orang kaya dan orang miskin di kawasan bandar. Beliau melihat keperluan mewujudkan bandar baru dapat menarik warga bumiputra untuk tinggal di kawasan bandar di samping merancakkan lagi ekonomi bandar melalui peningkatan populasi penduduk bandar. Namun keengganan pemilik ladang getah untuk memberi kerjasama terutamanya pemilik ladang British menyebabkan beliau merancang untuk melaksanakan serangan dawn raid untuk mengajar pemilik-pemilik ladang yang sombong ini. Selepas kejayaan kerajaan Malaysia ‘menawan’ syarikat perladangan gergasi British Guthrie, maka barulah pemilik-pemilik ladang dan lombong ini membuka mata dan mula memberi kerjasama untuk menyerahkan tanah mereka di sekitar Kuala Lumpur untuk dibangunkan kepada kerajaan. Perlahan-lahan, kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur mula dibangunkan satu persatu dan antara tempat yang mula-mula dibangunkan kerajaan pada waktu itu adalah di Taman Setapak Jaya dan Seksyen 1 Wangsa Maju. Pembangunan Wangsa Maju ini turut dirasmikan sendiri oleh Dr Mahathir sebagai menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan beliau untuk melihat sendiri kawasan ini dibangunkan.

Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Turut dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Perasmian Wangsa Maju oleh Dr Mahathir yang dihadiri oleh Datuk Bandar dari seluruh dunia. Nama Wangsa Maju diumumkan sendiri oleh Dr Mahathir menggantikan nama asal kawasan ini iaitu Ladang Hawthornden.


Kini ladang getah Hawthornden di Wangsa Maju hanya menjadi kenangan lalu dan saki-baki ladang getah ini masih boleh dilihat di Bukit Dinding, Seksyen 6 Wangsa Maju. Tinggalan kilang memproses getah di Kg Puah, Gombak juga telahpun dirobohkan pada tahun 2012 bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan sekitarnya. Dalam tempoh tidak sampai 20 tahun, Ladang Hawthornden yang dahulunya hanyalah ladang getah berubah rupa menjadi Bandar Wangsa Maju yang pesat membangun. Memori ladang getah ini kini mungkin hanya diingati oleh generasi lama yang pernah melihat sendiri tempat ini suatu ketika dahulu.

Tinggalan pokok getah di Bukit Dinding, Wangsa Maju

Sunday, July 17, 2016

Sungai Bunus Trail, Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Sungai Bunus merupakan antara salah satu daripada nama yang agak terkenal di Kuala Lumpur. Bagi yang biasa ke Masjid Jamek, pasti mereka pernah melihat papan tanda Sungai Bunus dan Jalan Bunus yang dipasang di kawasan sekitarnya. Sungai Bunus merupakan salah satu daripada cabang Sungai Klang yang bermula daripada Hulu Klang dan mengalir ke tengah ibu kota melalui Wangsa Maju dan Setapak. Disebabkan oleh pembangunan dan mengelakkan banjir, pihak berkuasa telah menambak konkrit di sekitar tebing sungai ini untuk mengawal banjir apabila hujan lebat  menyebabkan sungai ini berubah rupa menjadi seperti longkang besar atau monsoon drain. Sungai ini menjadi sangat kotor dan dipenuhi dengan sampah sarap berikutan terlampau banyak bahan pencemaran dan sampah yang dibuang ke dalam sungai ini.

Laluan Sungai Bunus di Kuala Lumpur

 Sungai Bunus di Wangsa Maju

Sebagai inisiatif bagi memulihkan semula sungai ini, pihak kerajaan  telah melaksanakan program pemulihan Sungai Klang di atas nama program River Of Life (ROL) atau Sungai Untuk Kehidupan (SUKA). Program ini melibatkan penglibatan komuniti awam dan badan kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan NGO Alam Sekitar di dalam usaha untuk memulihkan semula sungai yang tercemar ini. Antara inisiatif yang dibuat oleh pihak DBKL adalah melalui pembangunan kawasan rekreasi di kawasan tepi sungai seperti yang telah dilaksanakan di Wangsa Maju yang dikenali sebagai Sungai Bunus Trail.

Perangkap sampah yang dipasang di Sungai Bunus untuk mengurangkan pencemaran sampah

Sungai Bunus Trail mula dibangunkan pada awal tahun 2014 dan infrastruktur yang dibangunkan telah pun disiapkan pada tahun 2015. Lokasi Sungai Bunus Trail ini agak tersembunyi dan terletak di bahagian belakang di antara Rumah Pangsa Seksyen 1 dan Sekolah Menengah Vokasional Setapak. Disebabkan lokasi yang tersembunyi, laluan ini tidak ramai digunakan oleh orang awam dan dilihat agak bersemak dan dipenuhi dengan kebun kecil yang mungkin ditanam oleh penduduk berhampiran. Sungai ini mengalir agak perlahan dan sedikit kotor tetapi berkeadaan lebih baik berbanding aliran sungai ini di di kawasan hilir. Walaupun begitu, kawasan ini telah berjaya menarik beberapa spesies burung hutan untuk mencari makanan di sini dan suasana di sini agak sunyi dan tenang dengan bunyi kicauan burung dan jauh daripada bunyi bising kenderaan di jalan berhampiran.

Laluan Sg Bunus Trail yang dilihat bersemak dan kurang diselenggara oleh pihak berkuasa.




Pemandangan di sekitar kawasan Sg Bunus Trail.

Infrastruktur di sini juga dilihat agak lengkap dengan fasiliti seperti pondok wakaf, taman permainan, trek jogging sepanjang 2 kilometer dan peralatan senaman statik yang disediakan untuk kegunaan awam. Namun begitu, tiada tapak letak kereta disediakan di sini dan bagi pengguna yang hadir dengan kereta, mereka terpaksa meletakkan kereta mereka di tepi jalan atau di sekitar rumah pangsa Seksyen 1. Mungkin ini antara faktor mengapa kawasan ini jarang dikunjungi orang ramai berbanding dengan kawasan rekreasi lain di Kuala Lumpur.  

Peta laluan Sungai Bunus Trail


Antara kemudahan yang disediakan di Sungai Bunus Trail

Namun begitu, Sungai Bunus Trail tetap akan menjadi kebanggaan warga Wangsa Maju di mana tempat yang dahulunya bersemak di tepi longkang kini berubah wajah menjadi tempat rekreasi yang cantik dan indah. Bagi yang berminat untuk beriadah di sini, pengangkutan awam yang berhampiran adalah di Stesen LRT Wangsa Maju. Perjalanan daripada Stesen LRT Wangsa Maju ke Sungai Bunos Trail ini agak jauh untuk berjalan kaki dan perlu melintas jalan menggunakan jejantas ke arah Rumah Pangsa Seksyen dan berjalan ke arah barat laut di dalam anggaran 10-15 minit tempoh berjalan kaki daripada jenjantas LRT Wangsa Maju. Bagi yang menaiki kenderaan, tempat letak kereta terdekat adalah di sekitar sekitar  Jalan 3/27F dan Jalan 4/27F, Desa Setapak, Wangsa Maju berhampiran dengan Pusat Latihan Polis Tentera PULAPOT Wangsa Maju di bahagian utara Sungai Bunos Trail dan di sekitar Rampai Business Park, Sri Rampai berdekatan dengan Tasik Sri Rampai di bahagian selatan Sungai Bunos Trail. Bagi yang menaiki motosikal atau basikal, tiada masalah untuk kenderaan anda diletakkan berhampiran pintu masuk Sungai Bunos Trail ini asalkan tidak menganggu laluan awam.  

Selamat beriadah J

Pintu masuk ke Sg Bunus Trail


Thursday, July 14, 2016

IKS Putra Damai

 Papan tanda IKS Putra Damai

IKS Putra Damai merupakan salah satu daripada kawasan perindustrian berskala kecil dan sederhana yang lebih dikenali sebagai IKS yang terdapat di Wangsa Maju. Kawasan ini wujud bermula pada tahun 1995 apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan bengkel-bengkel kecil yang wujud di sekitar kawasan Datuk Keramat bagi memberi laluan kepada pembinaan sistem Transit Aliran Ringat (LRT) di Kuala Lumpur. Kebanyakan daripada pemilik-pemilik bengkel ini adalah terdiri daripada orang Melayu dan segelintir India Muslim dan pihak DBKL juga turut membangunkan gerai Majlis di sini dan menyewakannya untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan di sini.


Pada tahun 2012, timbul isu bahawa kawasan ini akan diambil alih bagi tujuan untuk dibangunkan dan pemilik-pemilik bengkel yang kebanyakannya dimiliki kaum melayu ini bangun membantah kepada pihak DBKL apabila mereka diberi notis untuk mengosongkan premis masing-masing di dalam tempoh 30 hari. Isu ini kemudian menjadi lebih melarat apabila parti-parti politik mula campur tangan samada dari pihak pembangkang dan juga di pihak parti pemerintah. Selepas itu, isu berkenaan ini mula senyap dan tidak lagi berkumandang di media.



Lokasi IKS Putra Damai ini adalah terletak di Taman Setapak Jaya berhampiran dengan Taman Sri Rampai dan PPR Sungai Bunus serta Kg Baru Cina Ayer Panas, Setapak. Lokasi ini sangat strategik berikutan kawasan ini berhampiran dengan laluan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur di dalam tempoh anggaran 15 minit ke bangunan KLCC dan Kampong Baru KL jika tiada kesesakan trafik. Kebanyakan premis di sini menjalankan aktiviti membaiki dan mengecat kenderaan dan terdapat juga lain-lain aktiviti seperti perniagaan barang lusuh dan penjualan barangan hardware.  Walaupun terletak berhampiran dengan pusat Bandar, keadaan infrastruktur dan kebersihan di kawasan ini berada dalam keadaan sangat menyedihkan dan tidak terurus. Rata-rata pemilik bengkel di sini masih menggunakan bangunan kayu dan kenderaan buruk dilihat diletakkan di merata-rata tempat dan mencacatkan pemandangan bagi sesiapa yang melihatnya. Adalah agak menyedihkan apabila melihat kawasan yang tidak terurus ini dan ditambah pula dengan sampah – sarap yang berlonggok dan menimbun hampir di setiap penjuru kawasan ini.

Suasana di bengkel di sekitar kawasan IKS Putra Damai

Kadangkala penulis berfikir mengapakan pemilik-pemilik bengkel ini tidak mahu menaiktaraf kedai mereka ini. Faktor kewangan tidak mencukupi pasti menjadi alasan utama                                     jika kita bertanya pada pemilik bengkel ini. Tetapi alasan itu seperti tidak munasabah kerana mereka telah pun mula beroperasi menjalankan perniagaan mereka sejak lebih 20 tahun yang lalu dan kerajaan juga telah pun menganugerahkan pemilikan tanah secara sementara kepada mereka. Bukankah lebih elok jika masing-masing menaiktaraf kedai mereka menjadi lebih cantik dan tersusun berbanding daripada keadaan sekarang yang seolah-olah seperti di kawasan setinggan awal tahun 70an. Dengan keadaan bangunan yang sangat usang dan uzur, kawasan ini juga terletak di atas rizab pencawang elektrik TNB dan sangat berisiko untuk terjadinya kebakaran dan kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan mungkin boleh mengancam keselamatan kawasan perumahan berhampiran.

Tiang pylon pencawang elektrik yang terletak di tengah-tengah IKS Putra Damai

Jika dibandingkan dengan kawasan IKS lain seperti di Sungai Besi dan Ampang, kawasan mereka adalah jauh lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan kawasan IKS Putra Damai ini. Jika mereka masih selesa dengan keadaan sekarang ini, adalah tidak mustahil jika suatu hari nanti tanah mereka ini akan diambil-alih oleh kerajaan untuk dibangunkan semula. Seharusnya mereka perlu peka dengan keadaan masa kini di kala masih ramai peniaga yang masih tidak mempunyai tapak untuk berniaga dan permintaan kawasan perindustrian kecil ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.


Bangunlah dari tidur dan janganlah mengharapkan pertolongan kerajaan semata-mata. Jika mereka merasakan mereka tidak mampu, serahkanlah kepada mereka yang lebih berhak. Jika kamu masih di takuk lama dan enggan berubah maka tindakan kamu ini beerti menyia-nyiakan peluang yang ada dan hanya akan membawa kerugian kepada kamu sendiri di masa akan datang. 

Sunday, July 3, 2016

Akademi TV3 dalam kenangan



Bangunan Zetro yang dahulunya dikenali sebagai Akademi TV3. Menjadi mercu tanda bagi sesiapa yang memasuki kawasan Seksyen 5, Wangsa Maju


Bangunan Zetro yang berdiri megah di atas bukit di Seksyen 5 Wangsa Maju adalah sebuah bangunan yang kini dimiliki oleh Kementerian Pertahanan Malaysia. Ia merupakan mercu tanda bagi sesiapa yang menghala ke arah Wangsa Maju dari arah Setiawangsa ataupun daripada Sri Rampai. Tiada apa yang menarik perhatian mengenai bangunan ini melainkan ia pernah menjadi pusat perkumpulan dan pendaftaran bagi pelatih PLKN sebelum PLKN dibubarkan. Namun begitu, bangunan ini memiliki kisahnya yang tersendiri di mana suatu ketika dahulu menjadi isu besar dan menggegarkan institut pengajian swasta di Malaysia sehingga menyebabkan Kementerian Pengajian Tinggi merombak dan mengkaji semula sistem penganugerahan akreditasi institut pengajian tinggi swasta atau MQA (Malaysian Qualifications Register).


Semasa aku masih kecil lagi iaitu ketika kami sekeluarga baru sahaja berpindah ke Wangsa Maju ketika di tahun 1993, aku masih mengingati bangunan ini masih di dalam proses pembinaannya. Namun yang paling kuingati adalah lanskap tanaman yang membentuk perkataan TV3 yang terletak betul-betul di tepi jalan utama Seksyen 5 Wangsa Maju sehingga pada waktu aku menganggap studio TV3 berada di situ. Bangunan ini agak mengambil masa yang lama untuk disiapkan dan tidak salah aku di dalam 3-4 tahun baru ia siap terbina. Bangunan ini pada awalnya dimiliki oleh TV3 dan diswastakan kepada syarikat Cosmo Focus Sdn Bhd untuk dijadikan Akademi TV3 dan kemudian digelar sebagai Koleh MIIM (Malaysia Institute of Integrative Media). Perancangan awal TV3 pada ketika itu mungkin untuk melahirkan produk mereka yang tersendiri di dalam bidang professional media seperti wartawan, pengacara, penyampai berita dan artis. Aku pun tidak berapa tahu sangat kerana ia merupakan perancangan dalaman pihak pengurusan dan eksekutif TV3 yang pasti tidak diketahui oleh orang biasa kecuali mereka yang bertugas atau mempunyai kenalan di dalamnya.


Ketika awal penubuhannya, ramailah anak muda yang mahu menyertai dan menyambung pengajian di kolej ini dengan harapan dapat menjamin kerjaya mereka untuk bekerja di TV3 selepas mereka menamatkan pengajian mereka. Tetapi tidak diketahui mengapa, pihak TV3 telah menjual hak milik Kolej MIIM kepada SAL Group of Colleges pada tahun 2003. Maka hilanglah lanskap rumput yang membentuk perkataan TV3 dan diganti dengan papan tanda SAL College atau Kolej SAL yang tak berapa menarik dilihat bagi aku. Memang aku agak terasa sebab aku memang suka sangat tengok lanskap tu bila aku melalui jalan itu. Rasa rugi pula zaman dulu tak ambil gambar lanskap tu.


Pada tahun 2007, ketika aku menyambung pengajian di UiTM, kecoh sebentar kisah berkenaan Kolej SAL ini di dalam berita. Para pelajar dan pensyarah kolej ini tiba-tiba diarah berhenti disebabkan kolej mereka telah bankrap dan terpaksa ditutup dan dilelong disebabkan masalah hutang. Daripada berita yang aku baca, mereka memang dapat merasakan perkara ini akan terjadi kerana telah beberapa kali mereka diarah pulang dan kelas mereka dibatalkan tanpa sebab sebelum ini. Tetapi mereka langsung tidak menyangka apabila kolej mereka ditutup serta-merta dan mereka diberhentikan tanpa sebarang notis awal diberikan kepada mereka terdahulu. Bayangkanlah kita dah bayar yuran mahal-mahal, belajar macam nak gila dan mengharapkan segulung ijazah, tiba-tiba tengah belajar kolej pula kena tutup. Menyirap habis la darah bila tahu. Masa tu siap habis panggil press conference minta kerajaan selesaikan pasal hal ini. Rupanya bila disemak, kolej ni memang dah lama tak ada pengesahan akreditasi MQA dan sijil mereka tidak diiktiraf walaupun mereka dah habis belajar. Dan bila aku bertanya pensyarah UiTM aku, baru aku dapat tau yang pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah mengetatkan syarat pagi sijil MQA dan universiti awam juga terlibat bagi memastikan sistem pendidikan di Malaysia terjaga dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dan aku juga dapat tahu banyak kolej swasta yang agak popular telah ditutup bila pihak Kementerian bertindak mempamerkan senarai kolej yang ditarik sijil MQA ini. Masa aku tgk berita ni, bersyukur betul aku sebab dapat belajar dekat UiTM. Takda dah isu MQA ni langsung, sijil pun laku dan yuran pun tak berapa mahal. Bayangkan satu diploma di Kolej SAL ni berharga RM18,000 seorang untuk satu pengajian. Tu tak masuk kos tambahan lain-lain lagi dan silap-silap boleh cecah +RM20K seorang tu. Boleh bayangkan betawa kecewanya diorang. Lagi-lagi kalau anak orang yang tak berapa mampu. Kalau anak orang kaya RM20k tu macam 20 sen je. Tapi bagi yang datang dari keluarga yang tak berapa mampu macam aku, RM20k tu dah macam harga pesawat Boeing tu.


Aku tak tahu apa nasib pelajar yang terkontang – kanting tu bila dah jadi macam ni. Bagi yang mampu boleh lah sambung pengajian di tempat lain. Tapi yang dah tak berapa mampu, terpaksalah cari kerja kosong dan cuma mampu memandang duit yang dah hangus tu. Dianggarkan nak dekat 700 orang pelajar yang terlibat di dalam isu ini. Bayangkan RM18K kalau kali 700 dah berapa ribu dah tokey kolej ni dapat.Tu tak masuk pelajar yg dah graduate lagi tu.  Aku ada juga buat search dekat Google nak cari kot2 ada CEO atau pengarah syarikat SAL College dengan MIIM College ni kena tangkap polis atau SPRM sebab pecah amanah. Tapi takda pulak keluar cerita. Yang ada cuma cerita pasal Pemuda UMNO tolong bantu mangsa pelajar yang ditipu ini. Aku takda la nak salahkan pihak berkuasa tetapi kalau boleh bantulah mereka yang menjadi mangsa ini. Sekurang-kurangnya buatlah tindakan penguatkuasaan dan siarkan di media tentang tindakan mereka. Nampaklah ada tindakan dibuat untuk membela nasib mereka yang tertindas. Tapi biasalah negara kita yang tercinta ini memang saling mencintai antara satu sama lain selagi mereka memiliki kertas berlogo Yang Dipertuan Agong yang tercinta ini yang merupakan sebuah karya yang paling agung di Malaysia.


Sekarang dah nak dekat 10 tahun cerita ini berlalu. Kisah ini pun sudah dilupakan oleh warga Wangsa Maju melainkan kepada mangsa yang tertindas. Kepada mereka, bersabarlah InsyaAllah ada hikmah di sebalik semua yang terjadi.


 Semoga bersemadi dengan aman wahai Akademi TV3.



Friday, July 1, 2016

Legend of The Gamerz Base: Seksyen 2 Wangsa Maju

Kemunculan permainan komputer sudah lama memasuki pasaran di awal tahun 90an lagi seiring dengan kemasukan industri komputer di Malaysia. Namun kegilaan ke atas permainan computer ini pada awalnya hanya tertumpu kepada pemilik komputer persendirian sebelum munculnya kafe siber. Apabila permainan awal seperti Starcraft, Warcraft, Red Alert dan Half-life mula memasuki pasaran Malaysia, maka ketika itu bermulalah era gamer dan kafe siber mula muncul sebagai salah satu daripada perniagaan komersial yang menguntungkan sehingga ke hari ini.



Antara permainan komputer yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. 

Perniagaan kafe siber mula memasuki pasaran di wangsa maju di awal tahun 90an dengan permulaannya di Seksyen 2 Wangsa Maju. Apabila permainan komputer CounterStrike mula menjadi popular di awal tahun 2000, maka bermulalah era gamers sejati dilahirkan di Wangsa Maju. Pada tahun 2005 pula, bermulalah era permainan Warcraft Dota menjajah industri permainan computer di seluruh Malaysia. Kafe siber di Seksyen 2 Wangsa Maju mula muncul dengan lebih banyak dan masing-masing menawarkan servis yang terbaik bagi menawan hati para gamer utk datang ke tempat mereka. Kemeriahan perlumbaan kafe siber ini perlahan-lahan menarik pelanggan dari luar wangsa maju dan akhirnya menjadikan Seksyen 2 sebagai pusat permainan komputer terbaik jika dibandingkan dengan lokasi lain di seluruh Kuala Lumpur. Pertandingan permainan seperti DoTA dan lain-lain diadakan yang diadakan di sini memanaskan lagi suasana di sini dan sekaligus menarik lebih ramai lagi para gamers dari seluruh kl dan lembah klang utk hadir di sini.




T-Bun Cafe adalah salah satu daripada kafe siber yang popular satu ketika dahulu dan masih lagi menjadi pilihan gamerz sehingga ke hari ini.

Pada kemuncaknya di tahun 2007 hingga 2011, dikatakan para mat rempit yang merempit di Jalan raya sebelum ini sanggup berhenti merempit dan datang ke seksyen 2 ini semata-mata utk bermain DoTA di sini. Populariti gamers yang awalnya didominasi oleh bangsa cina kini mula ditandingi oleh bangsa melayu dan india tanpa disedari. Pelajar-pelajar IPTA di Kuala Lumpur menghabiskan hujung minggu mereka utk outing ke wangsa maju semata-mata untuk bertanding permainan DoTA yang menjadi kegilaan para gamers ini. Malah ada pelajar IPTA dari luar Kuala Lumpur sejauh di Perak dan Johor sanggup hadir semata-mata untuk bermain DoTA di sini. Setiap kali hujung minggu, mereka akan datang ke sini untuk bermain sehingga 5-6 jam dan kadangkala ada yang bermain dari pukul 8.00 mlm sehingga subuh keesokan harinya. Begitulah dasyatnya penangan seksyen 2 wangsa maju pada waktu itu kepada anak muda yang mengabdikan diri menjadi gamers sejati.



Jalan masuk ke Seksyen 2 Wangsa Maju. Suasana parking kereta yang penuh di tepi jalan adalah perkara biasa pada setiap hari di sini.

Penulis juga sebenarnya tidak ketinggalan untuk menyertai kegilaan ini pada waktu itu. Pada waktu itu, penulis bersama rakan-rakan sanggup menunggu berjam-jam di kedai mamak berhampiran di sini untuk menunggu kekosongan komputer di kafe siber bagi menghilangkan ketagihan permainan DoTA ini. Sekali bermain, sekurang-kurangnya kami akan bermain selama 4 jam dan adakalanya terlajak sehingga 6-7 jam kerana terlampau asyik melayan permainan DoTA ini. Namun penulis sudah mula berhenti bermain pada tahun 2009 apabila penulis melihat kami rakan-rakan bermain permainan ini dengan terlampau emosi sehingga kadangkala menimbulkan pergaduhan di antara kami. Perkara ini juga terjadi kepada gamers lain dan diceritakan ada yang membawa rakan-rakan mereka untuk bertumbuk di dalam kafe siber ini semata-mata disebabkan oleh tidak puas hati dan terlampau emosi  di dalam bermain.

Kini permainan computer seperti DoTA ini telah pun diiktiraf oleh kerajaan sebagai permainan sihat dan telah pun wujud wakil gamerz yang ditaja mewakili Malaysia untuk bertanding di peringkat antarabangsa. Begitu hebatnya penangan permainan ini sehinggakan pertandingan permainan ini menawarkan hadiah sehingga beratus-ratus ribu ringgit bagi setiap pemenang. Kegilaan yang dulunya dianggap membazir masa kini diiktiraf sebagai satu sukan sihat yang ditaja sendiri oleh kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Seksyen 2 kini tidaklah meriah sebagaimana yang dahulu berikutan permainan DoTA kini boleh dimainkan secara online di rumah masing-masing dan kos bil internet kini juga lebih murah jika dibandingkan dengan dahulu. Namun tempat ini akan tetap diingati sebagai pusat gamerz terbaik di seluruh KL dan menjadi tempat lahirnya lagenda-lagenda gamerz sejati di seluruh Malaysia. Jika sesiapa yang berminat untuk merasakan sendiri bolehlah mencuba bermain di sini tetapi jangan salahkan penulis jikalau anda menjadi ketagih untuk hadir ke sini setiap hari selepas terkena penangan kafe siber di sini.



P/S: penulis lebih terkenangkan nasi lemak ayam BRJ di sebelah T-Bun CafĂ©. Memang padu dan setiap hari penuh dengan orang. J