Mukim Setapak merupakan antara daerah terawal yang dibuka di
Kuala Lumpur. Namun begitu, sejarah Mukim Setapak ini agak kelam berikutan
tidak banyak maklumat yang dapat diperolehi di internet mahu pun di dalam buku
sejarah. Kesilapan orang lama untuk tidak menulis rekod menyebabkan banyak
kisah-kisah bersejarah yang berlaku di Mukim Setapak ini hilang lenyap di arus
zaman tanpa diketahui oleh generasi terkini.
Mengikut rekod, Mukim Setapak asalnya diduduki oleh orang
asli dan orang Minangkabau iaitu seawal
tahun 1880an iaitu tahun di mana Kuala Lumpur mula dibuka. Sejarah yang
sebenar adalah perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur telah menyebabkan orang-orang
kanan Raja Abdullah membuka sekitar kawasan Kuala Lumpur sebagai kawasan baru
di dalam Negeri Selangor. Ini berikutan keadaan di Klang yang merupakan kawasan
komersial Negeri Selangor pada masa itu berada di dalam keadaan huru-hara
disebabkan oleh pertempuran yang dicetuskan oleh Raja Mahdi. Mukim Kerinci
(kini Bangsar), Mukim Petaling, Mukim Batu dan Mukim Setapak mula dibuka untuk
dibangunkan dengan perlombongan bijih timah dan tanaman padi. Ramai yang tidak
mengetahui bahawa pembesar Negeri Selangor iaitu Dato Alam Setapak merupakan
pemimpin tempatan pertama yang membuka mukim ini untuk dibangunkan. Beliau
telah membuka beratus-ratus ekar tanah untuk dibangunkan sawah padi bagi tujuan
bekalan makanan untuk penduduk di Kuala Lumpur selain membuka lombong bijih
timah secara kecil-kecilan di sekitar Sg. Gombak. Namun nama beliau tenggelam
dan hanya nama Sultan Puasa sahaja yang naik sebagai pembuka Kuala Lumpur
berikutan hubungan beliau yang rapat dengan Kapitan Cina seperti Yap Ah Loy
pada waktu itu.
Gambar yang diambil oleh British pada tahun 1892 di Setapak, Kuala Lumpur yang menunjukkan kegiatan orang kampung yang mengerjakan sawah padi pada ketika itu.
Peta pada tahun 1960 yang menunjukkan kewujudan sawah padi sekitar Kg Padang Balang. Kawasan ini kini menjadi Taman Greenwood dan Bandar Baru Sentul pada masa kini.
Pada waktu dahulu di sekitar tahun 1890an sehingga tahun
merdeka, kawasan Setapak dan sekitar mukim Gombak terkenal dengan sawah padi.
Malahan, terdapat gesaan pada waktu itu menyarankan agar negeri-negeri lain
seperti Pahang dan Negeri Sembilan untuk belajar kaedah menanam padi daripada
penduduk kampung di sekitar kawasan Setapak dan Gombak bagi menghasilkan sumber
beras yang mencukupi untuk negara. Namun begitu, bermula pada tahun 1960an,
kawasan sekitar Setapak ini mula tercemar kerana pembuangan sisa daripada kilang
dan bengkel yang dibina di sekitar kawasan tersebut. Pencemaran air ini
menyebabkan hasil padi merosot dan merosakkan hasil tanaman padi dan
menyebabkan penduduk kampung tidak lagi mahu menanam padi di kawasan Setapak
ini. Apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur diwujudkan, penduduk kampung memohon
untuk kawasan sawah padi ini dilupuskan dan digantikan dengan kawasan komersial
dan kediaman sejajar dengan arus pembangunan di Kuala Lumpur. Maka sedikit demi
sedikit, pemandangan sawah padi ini mula hilang dan diganti dengan bangunan
batu dan kawasan baru mula wujud menggantikan kawasan pertanian ini seperti di
Taman Dato Senu, Bandar Baru Sentul dan taman perumahan lain di sekitar
Setapak. Adalah diharapkan semoga pihak kerajaan dapat menyimpan rekod dan
membuat kajian sejarah di kawasan setapak ini supaya segala simpanan sejarah
lama ini dapat ditatap oleh generasi akan datang untuk mengenal sejarah asal
Wangsa Maju di masa akan datang.
Hai. saya student from IIUM Gombak. Boleh saya dapatkan contact number saudara untuk tanya pasal setapak sbb currently saya tgh working on reasearch abaout Masjid Lama Jamiul ehsan Setapak
ReplyDeleteGua respect lu bro! Mantap artikel ini walaupun ringkas, Sebenarnya sejarah Setapak ini byk yg telah di'spin' atas sebab2 yg hanya diketahui oleh pihak tertentu.
ReplyDelete