Sunday, September 2, 2018

SEJARAH WANGSA MAJU: KENANGAN PEJABAT POS SETAPAK


Pada zaman dahulu, pejabat pos merupakan perkhidmatan utama yang sangat penting bagi orang awam untuk sebarang urusan. Jika kita melihat filem-filem lama terutamanya filem P. Ramlee di tahun 1950-an dan 1960-an, pejabat pos dilihat sebagai tempat untuk bagi perkhidmatan seperti menyimpan wang, mengirim wang, mengutus surat dan menghantar telegram. Perkhidmatan ini pada waktu dahulu sangat penting kerana pergerakan dan servis perkhidmatan adalah sangat terhad dan pejabat pos telah bertindak sebagai pusat setempat atau one-stop center untuk semua jenis perkhidmatan tersebut.

Pejabat Pos Setapak tidaklah merupakan tempat bersejarah berbanding Pejabat Pos Taiping yang telah menjadi tapak warisan yang menjadi Pejabat Pos pertama di Malaysia. Namun begitu, Pejabat Pos Setapak menjadi sedikit popular kerana kemunculannya di dalam filem P. Ramlee iaitu Masam-masam Manis pada 1965. Kemunculan Pejabat Pos Setapak di dalam filem ini menjadi tarikan kepada penduduk sekitar Setapak dan Wangsa Maju dan menjadi tanda tanya tentang lokasi sebenar pejabat pos ini.


Poster filem Masam-Masam Manis (1965). Retrieve from http://www.p-ramlee.com/p-ramlee/films/p-masammm.htm



Berdasarkan cerita orang lama, Pejabat Pos Setapak dahulu terletak di Jalan Pahang (dahulu dikenali sebagai Pahang Road). Tapak sebenarnya sukar hendak dikenalpasti tapi dianggarkan terletak berhampiran dengan Restoran McDonald’s dan Stesen Minyak Petron pada masa kini. Pejabat pos ini mungkin dipindahkan berikutan Jalan Pahang diperbesarkan dan menjadi lebuh raya bertol pada tahun 1990-an dan akhirnya ditutup pada 2002. Pejabat Pos Setapak kini terletak di simpang Jalan Gombak off Jalan Setapak berhampiran dengan Balai Polis Setapak dan masih lagi berfungsi sehingga kini.




 Babak yang menunjukkan pandangan dari hadapan Pejabat Pos Setapak.


 Lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa kini. 



Anggaran lokasi Pejabat Pos Setapak pada masa dahulu.


Jika dilihat di dalam filem Masam-masam Manis (1965), kawasan di sekitar kawasan Setapak pada masa itu masih di dalam suasana kampung dan masih banyak pokok-pokok serta tanah lapang di kawasan sekitar. Keadaan trafik di sana juga masih lengang dan tidak sesibuk kini yang setiap hari sesak dengan kereta tanpa mengira hari ditambah pula dengan pembinaan dan penaiktarafan jalan yang menambah lagi kesesakan trafik hari ini. Filem ini menggamit kenangan penduduk Wangsa Maju kerana banyak lokasi penggambaran filem ini dijalankan di sekitar kawasan Setapak dan Ulu Klang. Ada tempat yang masih wujud dan ada juga yang sudah tiada dan hanya tinggal kenangan. Namun begitu, filem ini tetap akan menjadi kenangan penduduk Wangsa Maju dan Setapak dari dulu, kini dan selamanya.


Babak Nurkiah sedang menunggu bas sebelum dompetnya dicopet dan berkenalan dengan Cikgu Shaari. Lokasi penggambaran babak ini dianggarkan dijalankan di sekitar kawasan Setapak.

No comments:

Post a Comment