Saturday, May 26, 2018

Sungai Bunus Trail Siri 2: Mata Air Sungai di Kuala Lumpur

Merujuk kepada tulisan sebelum ini, Sungai Bunus Trail telah dibangunkan oleh pihak DBKL bertujuan untuk memulihkan semula sungai yang tercemar ini di samping meningkatkan lagi kawasan rekreasi dan kawasan hijau di Bandaraya Kuala Lumpur khususnya di Wangsa Maju ini. Tindakan adalah selaras di dalam kempen pemulihan Sungai Klang yang dikenali sebagai River Of Life (RoL) yang telah dilancarkan oleh pihak kerajaan beberapa tahun dahulu. Sungai Bunus turut dimasukkan sekali di dalam kempen RoL ini berikutan aliran Sungai Bunus ini merupakan salah satu daripada cabang Sungai Klang yang bertembung di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Papan Tanda Sungai Bunus di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur

Sungai Bunus ini agak unik jika dibandingkan dengan sungai yang lain di Kuala Lumpur ini. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Lumpur, sungai ini adalah satu-satunya sungai yang bermula dan berakhir di Kuala Lumpur tanpa melalui Negeri Selangor. Kenyataan yang dibuat oleh pihak JPS KL ini agak menarik kerana umumnya telah diketahui seluruh kawasan Kuala Lumpur telah pun dibangunkan melainkan beberapa kawasan kecil sahaja yang telah digazetkan sebagai kawasan hutan atau kawasan hijau. Jadi di manakah mata air Sungai Bunus yang menjadi permulaan air sungai ini?

 Aliran Sungai Bunus di Setapak mengikut Google Maps

Menggunakan Google Maps, aliran air sungai ini dapat diselusuri untuk dilihat di mana bermulanya sungai ini. Secara awalnya, kawasan Wangsa Maju sememangnya telah disahkan tempat bermulanya sungai ini mengalir sebelum memasuki kawasan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur ini. Setelah membuat sedikit kajian dan pemerhatian, akhirnya mata air Sungai Bunus ini dapat dijumpai dan sememangnya ia bermula di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Aliran air jernih jelas kelihatan di Mata Air Sungai Bunus

 Punca mata air Sungai Bunus yang mungkin ditadah oleh penduduk berhampiran.


Mata air Sungai Bunus ini bermula di Wangsa Melawati di belakang Kem PULAPOT, Jalan Genting Klang. Aliran ini bermula di kawasan hutan kecil di hadapan kawasan perumahan Wangsa Melawati dan memasuki longkang dan akhirnya melalui longkang besar (monsoon drain) dan mengalir ke Setapak, Kg Bharu dan akhirnya bertembung dengan Sg Klang. Di sini, airnya agak jernih dan boleh digunakan sebagai alternatif untuk bekalan air sementara penduduk berhampiran sekiranya berlaku keputusan bekalan air. Ekosistem di sini tidaklah terlalu kompleks dan tiada kelibat ikan sungai di mata air ini melainkan hanyalah lumut dan air bersih semata-mata. Semoga mata air Sungai Bunus ini dapat dikekalkan dan tidak dimusnahkan di dalam episod pembangunan supaya ia dapat menjadi tatapan anak-anak Wangsa Maju di masa hadapan.

Wednesday, May 23, 2018

Bazar Ramadhan Wangsa Maju: Taman Sri Rampai

Apabila bulan Ramadhan menjelma, banyak Bazar Ramadhan dibuka yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa di seluruh negara. Bagi warga kota di Kuala Lumpur khususnya di Wangsa Maju ini, Bazar Ramadhan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesibukan untuk memasak terutamanya bagi pasangan keluarga yang bekerja. Di samping itu, ia juga menjadi sumber rezeki bagi mereka yang ingin berniaga di bulan yang mulia ini.

Di Wangsa Maju ini, terdapat banyak Bazar Ramadhan dibuka bagi memenuhi keperluan penduduk Wangsa Maju di bulan Ramadhan ini, Antaranya adalah di Bazar Ramadhan di Taman Sri Rampai.  Bazar Ramadhan ini agak kecil tetapi padat dan dipenuhi oleh peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan. Di sini, makanan tradisi daripada Kedah, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut dijual di sini. Agak kelakar gak bila dengar riuhnya para peniaga ini menjerit untuk menarik para pelanggan. Yang asal utara memanggil dengan loghat utara dan yang asal Kelantan memanggil dengan loghat Kelantan. Harga yang dijual di sini juga agak berpatutan berikutan kebanyakan yang datang ke sini merupakan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Boleh kata pasar juadah mampu beli la senang cerita.


Pandangan Bazar Ramadhan Taman Sri Rampai di jalan masuk. Penuh dengan warga Wangsa Maju yang jalan-jalan bershopping beli makanan untuk juadah berbuka puasa. 

 Ayam Percik ni nampak padu je tengok. Biasalah bulan puasa nampak apa pun sedap.

Jus Nenas yang diperah terus daripada buah. Siap tunjuk buah nenas sekali. Tak pasti dia jual sekali ke tak nenas tu.

 Sup Utara diterbangkan khas daripada Kedah untuk Warga Wangsa Maju

Coq Keria Gula Melaka. Manis dia memang potong kaki baq angg..



Bagi sesiapa yang mahu datang ke mari, bazar ini terletak di tepi Tasik Sri Rampai iaitu di Medan Selera di sebelah tasik dan berhadapan dengan Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah,Taman Sri Rampai. Di sini, tempat parking agak limited berikutan ramainya orang yang hadir ke sini terutamanya selepas pukul 5 petang. Jadi pandai-pandai la cari parking di sini ya. Di samping boleh membeli belah di sini, pengunjung juga boleh berehat-rehat menenangkan fikiran dengan berjalan-jalan di Tasik Sri Rampai yang terletak bersebelahan dengan Bazar Ramadhan di sini. Jika hendak berbuka puasa di sini pun boleh kerana di sini juga terdapat Medan Selera yang terletak di betul-betul bersebelahan dengan Bazar Ramadhan di sini. Tetapi berbelanjalah dengan berhemah dan jangan membazir. Seeloknya bolehlah bersedekah makanan kepada Masjid di sebelah Bazar Ramadhan ini dan jangan lupa solat Maghrib selepas berbuka di sini. Pahala dapat berkat pun dapat ye dok.


Sekian laporan daripada Wangsa Maju Boyz…

Friday, May 4, 2018

Kem Wardieburn Kebanggan Wangsa Maju



Pandangan Kem Wardieburn daripada Google StreetView. Tak boleh ambil gambar nanti kena tangkap

Kem  Wardieburn merupakan salah satu daripada kem Tentera Darat Diraja Malaysia yang masihlagi  wujud di ibu kota Kuala Lumpur ini. Kewujudan kem ini terletak di Jalan Genting Kelang berhadapan dengan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di dalam kawasan Wangsa Maju. Kem Wardieburn ini menempatkan Divisyen 4 Tentera Darat dan kewujudan tentera di kawasan Wangsa Maju dan Setapak ini telah menjadi norma kebiasaan di sini. Seringkali warga Wangsa Maju dapat melihat para tentera yang berpakaian segak dan kemas bersarapan pagi atau makan tengahari di sekitar kedai makan di Danau Kota, Sri Rampai dan kawasan berhampiran.

Jika melihat pada kewujudan sejarah kem ini, ada tulisan yang mengatakan nama Kem Wardieburn ini adalah bersempena dengan pengeboman tentera Jepun di sini sewaktu penjajahan Jepun  di Tanah Melayu dan diambil sempena dengan perkataan War, Die dan Burn yang bermaksud Perang Mati Terbakar. Namun begitu, jika dilihat pada sejarah kawasan ini, tidak terdapat sebarang catatan yang menguatkan dakwaan ini melainkan hanya sebagai anggapan daripada maksud terjemahan perkataan Wardieburn itu sendiri semata-mata.


Rekod Peta Kuala Lumpur pada Tahun 1955 yang menunjukkan kewujudan Wardieburn Estate.

Kem Wardieburn ini diambil sempena dengan nama kawasan kem ini diwujudkan iaitu di Wardieburn Estate yang merupakan nama asal kawasan Danau Kota dan Taman Melati. Wardieburn Estate ini dimiliki oleh KL Rubber Co. Ltd kini dikenali sebagai Kuala Lumpur-Kepong Amalgamated Limited. Syarikat ini masih lagi wujud sehingga kini dan bergerak sebagai syarikat antarabangsa yang terlibat di dalam aktiviti hartanah dan perladangan di Malaysia dan Indonesia. Nama Wardieburn Estate ini telah pun wujud seawal tahun 1890an dan menunjukkan dakwaan nama ini diambil sempena pengeboman tentera Jepun adalah diragui sama sekali. Adalah dipercayai nama Wardieburn diambil sempena nama kawasan perumahan (Housing Estate) Wardieburn yang terletak  di Edinburgh, United Kingdom. Ketika di zaman British dahulu, adalah menjadi kebiasaan untuk para peneroka dan pemilik ladang British untuk menamakan kawasan ladang mereka dengan nama tempat di tanah air mereka di Britain. Sebagai contoh, Wangsa Maju dahulu dikenali sebagai Hawthornden Estate dan juga sebahagian daripada Datuk Keramat dikenali sebagai Kent Estate.

Rekod yang menunjukkan tahun kewujudan Wardieburn Estate sebelum Pendudukan Jepun di Tanah Melayu. 

Di waktu pendudukan Jepun, Wardieburn Estate ini telah ditinggalkan dan dibiarkan kerana pihak British telah bertindak menghapuskan kilang memproses getah dan merosakkan pokok getah untuk mengelakkan daripada pihak tentera Jepun untuk mengambil hasil daripada ladang ini. Selepas British kembali, ladang getah ini dipulihkan semula oleh pemilik ladang dan pekerja estet mula dipanggil semula untuk bekerja di ladang ini. Kewujudan Kem Wardieburn ini bermula seawal sebelum merdeka selepas pihak Kerajaan mengambil sebahagian tanah daripada Wardieburn Estate ini untuk digunakan sebagai Kem Tentera Ghurka. Ketika di waktu darurat sekitar tahun 1948-1960, kawasan ladang getah di sekitar Wardieburn Estate ini dipenuhi dengan binatang buas di samping terdapat juga ancaman serangan dan penyusupan (ambush & infiltration) daripada pihak Komunis. Malah beberapa orang pekerja ladang penyelia warga British yang bekerja di ladang ini juga telah dibunuh oleh pihak Komunis di waktu darurat dahulu. Oleh itu, kewujudan kem Wardieburn ini dilihat dapat membantu menumpaskan pihak Komunis di kawasan sekitar ini di samping memberi perlindungan keselamatan ke atas pemilik dan pekerja ladang di kawasan sekitar.



Lawatan Pesuruhjaya Edward Gent ke Kem Ghurka di Wardieburn Estate. Beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi di Tanah Melayu yang mengisytiharkan darurat pada 1948.

Pada waktu kini, banyak kem-kem di kawasan bandar Kuala Lumpur telah dipindakan seperti Kem Ampang dan Kem Pangkalan Udara Sungai Besi. Namun begitu, Kem Wardieburn masih berdiri megah dan warga Kem Wardieburn juga dianggap sebagai salah satu daripada komuniti Wangsa Maju juga. Ramai juga anak-anak askar daripada Kem Wardieburn ini bersekolah di sekitar Danau Kota dan Setapak dan ada warga tentera yang terus menjadi warga Wangsa Maju selepas menamatkan perkhidmatan mereka di Kem Wardieburn ini. Kewujudan mereka ini membantu memberi perlindungan keselamatan kepada warga kota di samping turut membantu menjana ekonomi setempat di sekitar kawasan Kem Wardieburn. Terima kasih kerana tetap setia bersama Warga Kota Wangsa Maju.