Monday, July 17, 2023

SEJARAH WANGSA MAJU: THE RIOT OF WANGSA MAJU 2

Cerita sebelum ini mengisahkan bagaimana buruh ladang di Hawthornden Estate atau Wangsa Maju kini merusuh pada tahun 1937 sehingga menyebabkan rejimen askar British dipanggil untuk menenteramkan keadaan dan hampir 26 buruh telah ditahan kerana memulakan rusuhan. Berita pada waktu itu tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab tetapi peristiwa itu melahirkan generasi komunis pertama yang membawa kepada pembentukan sayap bersenjata Parti Komunis Malaya sebelum Perang Dunia Kedua.

Sekitar awal 1900, ketenteraman dan keamanan mula dinikmati di Semenanjung Malaya. British telah memasang penasihat atau residen yang setaraf Menteri Besar di seluruh negeri di Malaya. Banyak syarikat-syarikat British mula melabur di Malaya dengan lebih banyak lombong-lombong bijih timah serta ladang getah dibuka di seluruh negara dan menyumbang kepada kekayaan British. Dikhabarkan, sumber kewangan British untuk Perang Dunia Pertama adalah hampir separuh disumbangkan dari hasil bumi Malaya yang menunjukkan betapa bertuah bumi kita ini walaupun terjajah.

Apabila lombong-lombong dan ladang-ladang getah ini dibuka, berlakunya kekurangan tenaga kerja untuk bekerja di lombong dan ladang ini. Orang melayu tempatan pada ketika itu lebih memilih untuk berkebun sendiri berbanding bekerja di bawah syarikat British atas faktor kebebasan untuk bekerja di samping upah yang amat kecil dibayar kepada pekerja. Di Tanah Besar China, berlakunya kekacauan disebabkan gerakan revolusi untuk menumbangkan Maharaja China pada waktu itu dan di India pula, berlakunya masalah kemiskinan dan kebuluran yang menyebabkan pendatang dari India dan China hadir beramai-ramai untuk mencari kerja di Malaya. Mereka ini akhirnya ditempatkan untuk bekerja di ladang-ladang termasuk di Ladang Hawthornden yang turut merubah lanskap demografi kaum di Wangsa Maju. 

Namun, tidak ramai yang tahu kesengsaraan para pekerja yang bekerja di ladang ini. Dengan upah yang kecil, mereka terpaksa bekerja dari pagi hingga ke petang membersihkan ladang dan terbeban dengan hutang sehingga mereka terpaksa menjadi hamba sepanjang hidup mereka. Banyak kes pekerja ladang di Hawthornden Estate mati dibaham harimau atau dipatuk ular ketika bekerja dan selepas bekerja, mereka dihiburkan dengan samsu haram, perjudian dan candu yang membebankan mereka dengan tambahan hutang. Tiada pendidikan formal pada waktu itu dan kebanyakan anak-anak mereka hanya mengikut pekerjaan ibu bapa mereka dan kemiskinan ini melingkar dari generasi ke generasi yang  seterusnya. 

Kehadiran Parti Komunis Malaya dilihat membawa sinar kepada mereka pada waktu itu. Mereka tidak mempunyai suara untuk disuarakan kepada kerajaan dan komunis melihatnya sebagai satu peluang untuk merekrut pekerja ladang ini sebagai penyokong kuat mereka dengan menjanjikan bahawa mereka akan berjuang untuk kebajikan mereka. Di waktu darurat, kebanyakan kawasan di Hawthornden Estate seperti Setapak, Gombak dan Ampang menjadi kubu kuat komunis. Pada satu ketika, pernah dikhabarkan bahawa pengurus ladang di sekitar Hawthonden Estate serta estet-estet sekitar makan malam sambil mendengar bunyi tembakan perang setiap malam di rumah mereka yang menunjukkan betapa kuat pengaruh komunis di sekitar estet mereka.

Selepas merdeka 1957, Setapak (kini Wangsa Maju) masih menjadi kubu kuat kepada haluan kiri serta masih ramai penduduk yang masih lagi bersimpati kepada komunis. Ini dibuktikan apabila pembangkang pada waktu itu yang dikenali sebagai sosialis front berjaya menang di dalam pilihanraya selepas merdeka menewaskan calon kerajaan. Hanya selepas peristiwa 13 Mei barulah kawasan Setapak dan Wangsa Maju berpihak kepada kerajaan sehingga 2008 iaitu apabila PKR pula menang di dalam pilihanraya menewaskan calon kerajaan.

Siapakah calon yang berjaya memenangi kawasan Setapak (Wangsa Maju) di dalam pilihanraya selepas merdeka?

Jawapannya adalah Ahmad Boestamam. Bekas pemimpin haluan kiri Angkatan Pemuda Insaf (API) yang terkenal dengan kata-kata 'Merdeka dengan Darah'.