Wednesday, August 31, 2011

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54

Perhimpunan menyokong kemerdekaan oleh UMNO Setapak di Pekan Setapak

Salam kemerdekaan kepada semua penduduk2 Malaysia tak kira apa bangsa mahupun agama. Tanpa disedari sudah54 tahun kita merdeka dan membebaskan diri daripada penjajahan dan pengeksploitasi daripada pihak kolonial barat. Walaupun masih terdapat unsur-unsur barat di dalam masyarakat Malaysia ini, kita bersyukur atas suasana aman dan damai serta memiliki kehidupan yang lebih selesa berbanding dengan negara lain yg masih huru hara dan kucar kacir walaupun sudah bertahun-tahun merdeka daripada penjajah.

Seiring dengan arus politik dan gerakan media alternatif, kini dapat dilihat telah muncul gerakan yang mengkaji dan cuba untuk menukar semula kajian sejarah yang telah ada di buku teks sekolah pada masa kini. Mungkin kerana disebabkan sifat tidak puas hati terhadap pemerintah, ingin menjadi pelopor gerakan baru rakyat atau cuba untuk menjadi populis bak kata ahli politik. Pelbagai pandangan dan fatwa dikeluarkan seolah-olah sejarah buku teks itu semuanya salah belaka dan 100% perlu diubah mengikut cita rasa mereka. Kaum india menuntut sejarah mereka, kaum cina menuntut sejarah merekadan kaum melayu berlainan kaum seperti jawa, bugis dan mendailing juga mahu menuntut sejarah mereka untuk dicatat di dalam buku teks sekolah ini.

Sebenarnya, sejarah Malaysia ini sentiasa dikaji sepenuhnya sama ada daripada pihak kerajaan, pihak NGO mahupun daripada pihak luar daripada semasa ke semasa. Berlainan dengan sejarah negara lain, sejarah negara kita agak unik kerana negara kita memiliki sejarah yang pelbagai disebabkan oleh berbilang kaum, adat resam dan budaya walaupun negara kita tidaklah sebesar seperti negara-negara Asia dan Eropah yang lain. Oleh itu, bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan kaum dan budaya, kerajaan Malaysia telah meletakkan silibus subjek sejarah yang terbaik dan tidak memihak mana-mana kaum kecuali bagi mengelakkan perpecahan kaum.

Tetapi yang kini menjadi persoalan aku sehingga kini adalah benarkah Malaysia ini dijajah?

Sepanjang yang aku baca dalam sejarah ini, kita sebenarnya cuma mengambil alih pejabat yang dahulu diduduki oleh British sahaja sedangkan kita dahulu pernah memiliki pemerintahan sendiri dan memiliki empayar yang besar pada suatu ketika dahulu. Pemerintahan kesultanan waktu kini hanya cuma untuk memberitahu tarikh puasa dan raya sahaja kepada rakyat berbanding dahulu yang memiliki kedaulatan yang kukuh dan dihormati oleh semua orang.

Kita sememangnya layak memuji British dan menghina komunis kerana kita telah mengambil alih pejabat mereka dan menggunapakai cara pentadbiran mereka. Perkara yang sama mungkin berlaku sekiranya komunis memerintah negara kita ini. Oleh itu, mengapa perlu bertelingkah atas siapa yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita ini?

Begitu juga dengan kebanyakan pahlawan-pahlawan negeri Melayu ini. Kebanyakan mereka berjuang hanya apabila jawatan mereka tergugat dan pendapatan mereka terjejas akibat campur tangan pihak barat. Sedangkan campur tangan barat itu sendiri adalah permintaan daripada ketua negeri itu sendiri iaitu Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan. Oleh itu, pahlawan ini sebenarnya MENDERHAKA ke atas perintah sultan itu sendiri. Adakah layak penderhaka dikenang sebagai pahlawan? maka jadilah seperti kisah Hang Jebat menentang Hang Tuah.

Mat Kilau dan Datuk Bahaman bangkin menentang British kerana kehilangan hak mengutip cukai yang telah diserahkan oleh Sultan Pahang kepada pihak British. Tok Janggut bangkit dan menentang pengutipan cukai oleh pihak Sultan lalu memberontak dan menubuhkan kerajaan sendiri di Kelantan. Datuk Maharajalela merancang pembunuhan J.W.W Birch yang mendapat kuasa mengutip cukai daripada Sultan Perak dan akhirnya dihukum bunuh oleh pihak British. Penghulu Dol Said bersama pengikut-pengikutnya di Naning menentang British kerana mendakwa seluruh Naning adalah hak milik mutlak beliau tanpa menyedari kerajaan Johor telah pun menyerahkan Melaka keseluruhannya kepada penjajah.

Ini adalah sedikit sebanyak tokoh-tokoh perjuangan yang disanjung tinggi dan dianggap pahlawan di negara kita ini. Tetapi malangnya tiada siapa yang memberontak apabila Undang-undang sivil ciptaan British dikuatkuasakan di Tanah Melayu menggantikan hukum Islam yang digunapakai sebelum ini. Walaupun British tidak mencampuri hal ehwal adat istiadat di negara kita, tetapi mereka telah mengenalkan sistem kapitalis dan sekular sehingga hukum Islam hanya tinggal adat sahaja. Kehebatan Kesultanan Melaka dan Aceh dalam sistem perundangan dan hukum-hukum Islam kini hanya tinggal sejarah sahaja tanpa ada yang cuba memulihkannya semula.

Mengapa disalahkan kaum-kaum lain seperti Cina dan India sedangkan mereka ini hanyalah imigran yang hanya datang mencari rezeki di bumi Tanah Melayu yang kaya dan subur ini. Apabila British membina Padang Lumba Kuda untuk tujuan perjudian dan membina kelab malam atau nite club, tiada yang memberontak dan menghalang apa yang mereka yang lakukan sehingga hari ini. Yang diperjuangkan hanyalah tari menari, berjoget lambak dan nyayian-nyanyian sahaja tanpa menyedari masjid dan surau semakin kosong di awal pasca kemerdekaan.

Walaupun begitu, bersyukurlah kerana kini kita sudah mampu memerintah sendiri tanpa perlunya campur tangan daripada pihak luar untuk membantu kita. Sudah tiada lagi keganasan dan rusuhan di bumi Malaysia ini. Semua orang bebas untuk mencari rezeki dan membina kehidupan sendiri tanpa rasa takut pada penindasan seperti yang berlaku di negara luar. Semoga keamanan ini akan kekal berpanjangan di tanah Malaysia yang indah dan permai ini.

Salam Kemerdekaan yang ke 54 daripada Wangsa Maju Boyz

MERDEKA DARIPADA PEMIKIRAN PENJAJAH


No comments:

Post a Comment