Thursday, June 23, 2011

Realiti Sebuah Hidupan: Kisah penduduk di Wangsa Maju

Apis masih duduk di dalam pondok di tepi sungai itu. Pondok yang dibina dengan penat lelah bersama adiknya digunakan sebagai tempat pertanyaan pelanggan yang ingin menggunakan khidmat perniagaan keluarga beliau kini semakin bersih dan dihiasi pokok-pokok ubi dan pisang. Suasana bising kenderaan yang lalu di tepi jalan besar di hadapan pondoknya tenggelam dengan keindahan suara air sungai yang mengalir diiringi burung tekukur yang terbang mencari makan di tebing sungai itu.

Hari ini tiada panggilan daripada bapanya mahu pun daripada orang luar yang hendak memberikan tugas kepadanya. Bekerja mengangkut barang dengan lori sewa bersama keluarganya menjadikan pendapatannya kadang – kala tidak menentu. Kalau ramai orang menggunakan khidmatnya, maka murahlah rezekinya. Kalau tidak, maka dia duduk-duduk sahajalah memerhatikan sungai yang mengalir laju di sebelah pondok kecil itu.

Dia teringat di waktu zaman ketika dia masih di bangku sekolah dahulu. Siapa yang tak kenal namanya itu. Gelaran Mat Besi yang diberikan kepadanya cukup membuat dia megah. Siapa yang mencari pasal dengannya sudah tentu makan penendang atau penumbuk darinya.. Setakat budak sekolah luar cari hal memang cari nahas betul dengan dia. Sebab itu ramai orang terutamanya juniornya mahu berkawan dengannya. Kononnya nak ‘backup’ besarlah daripada dia. Kalau datang malam-malam ke Restoran NZ mesti ramai yang ajak dia minum. Pernah dia membelasah orang yang lebih tua umurnya daripada dia. Berdarah-darah kepala ‘brother’ tu dihentamnya. Sejak daripada itu semakin ramai yang mendekatinya. Nah, makin besar lah kepada dia.

Tapi itu cerita dulu. Dia tidak mahu mengungkit cerita lama.Yang lepas itu kalau boleh dia mahu lupakan sahaja. “Menyesal weh dulu aku tak belajar rajin-rajin. Kalau aku ikut kau, dah tentu aku tak ada di sini”, keluh Apis menyesali zaman lalunya. Keputusan SPM dia cuma cukup makan. Tapi rezekinya murah. Dia dapat sambung belajar di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Tapi sayang dia terjebak dengan aktiviti maksiat. Ramai gadis bohsia telah digodamnya. Bukan itu sahaja, malah dia juga memberi kongsi rakan-rakan sekelasnya bohsia yang telah dibahamnya itu. Hasilnya, dia gagal menghabiskan pengajiannya di kolej itu. Mungkin kifarah atas dosa-dosa yang pernah dilakukannya itu.

Dia mencuba nasib bekerja di syarikat swasta. Walaupun cuma seorang penghantar surat, kerjanya diakui rajin oleh bosnya. Malah diberi insentif tambahan dan motor syarikat. Tapi atas dasar sifat melayu, dia diadu domba dan difitnah oleh rakan sekerjanya. Dia dituduh atas kesalahan yang kecil dan kadang-kala tidak pun dilakukannya. Dihina hingga hilang maruah, dia mengambil keputusan berhenti kerja. Dia cuba memohon kerja di syarikat lain. Tapi selepas 6-7 bulan, perkara yang sama berulang lagi. Kerana tidak tahan, dia berhenti kerja sekali lagi.

Kini dia bekerja dengan ayahnya mengangkat barang utk lori sewa. Walaupun kerja berat, dia tidak kisah sebab kali ini tiada siapa yang akan menghinanya lagi. Dia bebas berpakaian dan tiada lagi orang yg akan mengadu domba dan memfitnahnya lagi.

Tapi kadang-kala dia teringat akan kisah lalu. Kesal di mukanya masih kelihatan. Kini dia bersendirian sahaja bekerja dengan keluarganya. Rakan-rakan lamanya sudah dia tinggalkan jauh. Dia terasa rendah diri atas kerja yang dilakukan olehnya. Tetapi dia pasrah atas takdir yang telah ditetapkan kepadanya. Apakan daya masa tidak mungkin dapat berpatah balik lagi buat selama-lamanya.

* Apis adalah salah seorang remaja yang pernah mendiami setinggan di Wangsa Maju. Setelah rumahnya diroboh oleh pihak DBKL, kini dia menetap di salah satu rumah PPR di Setapak. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah meminta-meminta atau memohon pertolongan kewangan daripada kerajaan, Ahli Parlimen mahupun rakan-rakannya. Berkat kerajinannya, dia kini memiliki lori sewa sendiri dan berjaya dalam perniagaan yang dijalankan olehnya di kala rakan-rakan sebayanya masih bekerja makan gaji atau sedang menyambung pelajaran.

No comments:

Post a Comment